Tuesday, December 28, 2021

Terence Gomez Letak Jawatan Panel SPRM, Dakwa Dakwaan Babit Pegawai Tinggi Tak Dibincangkan

PETALING JAYA: Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez, meletak jawatan sebagai ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM.

Gomez dalam surat letak jawatannya berkata timbul persoalan berhubung “hubungan antara perniagaan dan pihak penguatkuasa”, dan situasi “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Gomez juga berkata bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan “ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera”.

Gomez berkata beliau sudah tiga kali menulis kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Borhan Dolah, menggesa panel membincangkan perkara itu.

FMT sedang mendapatkan respons Borhan.

Beliau juga tiga kali menulis kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Abu Zahar Ujang, menyarankan perkara itu dibincangkan di lembaganya.

Gomez ketika dihubungi memaklumkan surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada Borhan.

Salinan surat turut diserahkan kepada media kerana beliau khuatir panel perundungan dan lembaga penasihat tidak bertindak ke atas dakwaan yang mengaitkan pegawai tinggi SPRM terbabit, katanya.

Gomez menamakan pegawai terbabit dalam suratnya bagi melindungi integriti SPRM.

Gomez berkata beliau mula sedari tentang dakwaan terhadap pegawai tinggi SPRM itu dalam artikel yang disiarkan di satu laman sesawang, dan menulis kepada Borhan tentang artikel berkenaan.

“Saya tekankan bahawa maklumat yang saya terima itu amat membimbangkan kerana ia berdasarkan penyelidikan yang ekstensif. Penulis laporan itu turut menamakan dirinya, menunjukkan panel boleh menghubunginya untuk membincangkan perkara itu,” katanya.

Gomez dukacita lembaga penasihat tidak membincangkan perkara itu meskipun isu itu timbul di Parlimen pada 14 Dis, dan mendapat liputan meluas.

Beliau menambah pegawai tinggi SPRM terbabit belum membuat sebarang kenyataan terbuka atau menjawab kenyataan wakil rakyat berhubung dakwaan-dakwaan itu.

Gomez beritahu FMT beliau sedang mendorong panel untuk respons kepada isu berbangkit.

“Surat itu dihantar kepada media untuk menguar-uarkan kengganan untuk bertindak ke atas isu penting ini.

“Media harus bantu laporkan perkara ini sehingga siasatan bebas dilakukan. Perdana Menteri juga harus bertindak bagi melindungi integriti SPRM,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen PKR pada 14 Dis menarik perhatian Dewan Rakyat kepada dakwaan membabitkan seorang pegawai tinggi SPRM. Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivara Rasiah, menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan bebas terhadap pegawai berkenaan.

Gomez dilantik ke panel itu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Jun 2020, dan sepatutnya tamat pada 31 Mei tahun depan. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment