Tuesday, December 7, 2021

Elit Melayu Lupa Diri?

TEGURAN ketua kerajaan tentang penggunaan bahasa negara yang tidak seberapa oleh sektor tertentu, termasuk agensi kerajaan sendiri sepatutnya disambut baik oleh setiap pihak.

Bukannya pula dengan teguran balas sinis daripada etnik Melayu sendiri yang boleh mengelirukan masyarakat. Ini kerana ia boleh memberi gambaran bahawa bahasa Melayu walaupun bahasa negara adalah tidak penting lagi kini.

Dalam hal ini, bahasa Inggeris yang lebih banyak digunakan oleh sektor yang ditegur itu, didalilkan sebagai bukan sahaja penting, tetapi amat diperlukan pada ketika ini.

Tidak cukup dengan dalil begitu, ditambah pula bahawa ini merupakan hakikat baharu yang harus diterima semua pihak, termasuk kerajaan, justeru penggunaan bahasa Melayu yang berkurangan itu.

Malah ikut diminta agar diberhentikan emosi untuk terus-terusan mempunyai perasaan sedih terhadap bahasa Melayu yang kini tidak penting lagi.

Ini kerana kebenaran semasa bukan sahaja bahasa Inggeris penting, ia telah pun menguasai seluruh dunia, dan Malaysia hendaklah akur kepada perkembangan ini.

Daripada apa-apa jua sisi, dalil sebegini daripada etnik Melayu sendiri tidak dapat dinafikan lagi bahawa elit Melayunya, lebih-lebih lagi yang anglofil, iaitu terlalu menyanjungi budaya Inggeris, bukan sahaja tiada lagi jati diri Melayu, tetapi sudah hilang pedoman etnisiti dan warisan Melayu pada diri mereka.

Sehubungan ini, setidak-tidaknya, teguran balas itu sekiranya masih mahu juga disandarkan kepada keadaan antarabangsa semasa, perlu berupa seruan untuk mewujudkan perimbangan yang bukan sahaja realistik bahawa bahasa Inggeris bahasa antarabangsa semasa paling penting.

Tetapi juga nasionalistik, iaitu bahasa negara harus ikut dipertahan di tanah watannya dalam apa-apa jua keadaan.

Selain tiadanya rasa bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu, elit Melayu ini selanjutnya berhujah bahawa isu tidak menggunakan bahasa Melayu dalam kes yang ditegur itu dan lain-lain, malah termasuk persoalan tidak cekap berbahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara ini, sesekali tidak boleh dikaitkan dengan patriotisme.

Bukan sahaja penghujahan begini selari, tetapi menyokong pula alasan serupa yang dikemukakan rakyat bukan Melayu yang mahu peranan kenegaraan pada bahasa Melayu bersifat simbolik sahaja.

Ia jelas memperlihat betapa tidak nasionalistiknya elit Melayu ini, yakni tiada keterikatan kepada negara ini walaupun merupakan penduduk asalnya.

Sebenarnya elit Melayu ini setelah menikmati kemakmuran ekonomi sudah lupa tentang peri pentingnya kemakmuran sosial yang perlu ikut dipertahan, untuk kelangsungan etnik Melayu di negara ini khasnya, dan di muka bumi ini amnya.

WARISAN
Untuk ini, keteguhan hati dan kekuatan jiwa setiap Melayu terhadap bahasa Melayu dan lain-lain yang bersifat Melayu, terutamanya warisannya, tidak boleh sesekali pudar, apatah lagi hilang.

Sehubungan ini, tindakan walaupun hanya seorang, akan menafikan seluruh sejarah etnik Melayu.

Oleh itu, amat penting bagi etnik Melayu untuk bukan sahaja tidak bertindak secara negatif terhadap bahasa sendiri yang kini adalah bahasa negara.

Mereka juga hendaklah memastikan bahasa Melayu dihormati untuk disanjungi sebagai bahasa negara ini.

Sesungguhnya inilah kemakmuran sosial yang bukan sahaja perlu diimbangi, tetapi dipertahan oleh seluruh rakyat, yang diterajui etnik Melayu melalui teladan baik.

Sebenarnya, bahasa Melayu selaku bahasa negara hendaklah berupa antara kemegahan kita sebagai warganegara Malaysia.

Dengan ini, ia bermakna bahasa Melayu adalah identiti negara yang kita banggai kerana ia memberi kita harga diri sebagai warganegara.

Malangnya, keadaan sebaliknya bukan sahaja berlaku, ia begitu mudarat kini sehingga perlu ditegur secara rasmi.

Perasaan megah terhadap bahasa negara sebenarnya antara unsur penting patriotisme. Oleh itu, tidak betul sama sekali untuk mengatakan bahawa ketidakcekapan berbahasa negara tiada apa-apa kaitan dengan semangat cinta kepada negara.

Tidak menghairankan kalau alasan begini datang daripada sektor bukan Melayu yang kebanyakannya tidak menerima bahasa Melayu seadanya, khususnya sebagai bahasa negara yang fungsional.

Tetapi amat mengejutkan apabila ada dalam kalangan sektor Melayu sendiri yang ikut berpandangan serong sedemikian.

Setiap negara mempunyai bahasa yang dipilih secara rasmi untuk memupuk dan seterusnya menyemarakkan rasa kenegaraan dalam kalangan rakyatnya.

Di Malaysia, ia bahasa Melayu yang sekali gus berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sebagai bahasa kebangsaan, ia bahasa pemersatuan untuk rakyat mencintai tanah air ini. Manakala selaku bahasa rasmi, ia bahasa kemajuan bagi negara terus berjaya.

Sehubungan ini, etnik Melayu tidak boleh, malah tidak patut sesekali meremeh, apatah lagi menghina bahasa mereka sendiri, biarpun dalam apa-apa sekali keadaannya. Ini kerana bahasa jiwa bangsa.

Oleh itu, bahasa adalah penanda kuat kepada sesuatu etnisiti. Dalam pada ini, bahasa Melayu bukan sahaja pertuturan etnik Melayu, ia sebenarnya etnik Melayu itu sendiri, termasuklah salasilahnya.

Oleh itu, bahasa Melayu adalah budaya dan warisan etnik Melayu yang harus dibanggai selain diingati pada setiap masa.

Namun, elitnya tidak mahu lagi mengingati semua ini, apatah lagi menginsafinya, setelah menikmati kejayaan daripada penguasaan bahasa Inggeris.

Sesungguhnya terdapat banyak lagi keistimewaan pada bahasa Melayu berbanding hanya faedah ekonomi yang dapat diberikan oleh bahasa Inggeris.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

No comments:

Post a Comment