Wednesday, December 22, 2021

Cara Mudah Buat Duit Juta-Juta

Ketika ramai memikirkan cara berhemah menguruskan perbelanjaan atau menambah pendapatan, bank komersial dan syarikat korporat ada cara mudah membuat jutaan ringgit untuk dimasukkan ke kantung mereka.

Dengan jumlah pelanggan berjuta, mereka hanya perlu mengenakan caj RM1 sekiranya pemegang akaun menggunakan perkhidmatan mesin pengeluaran automatik (ATM) yang berlainan bank.

Memanglah RM1 sahaja setiap transaksi terlibat, tak banyak pun untuk dibayar oleh pengguna tetapi kalau sehari berjuta yang membayar caj itu, berapa banyak yang bank dapat?

Mungkin bagi bank caj itu bagi menampung kos transaksi berkenaan tetapi mengambil kira sistem yang sudah lama diperkenalkan dan untung bank mencecah bilion ringgit setahun, apalah sangat kos tersebut kepada mereka.

Jika bank mampu menawarkan perkhidmatan itu percuma sejak April tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dan masih mampu mencatat keuntungan besar, sewajarnya bank melihat semula keputusan mengenakan kembali caj berkenaan.

Jika bank memikirkan caj RM1 itu dapat menambah keuntungan, syarikat korporat lain pun sentiasa memikirkan bagaimana orang ramai boleh membantu menambah laba mereka. Syarikat konsesi jalan dan rakan strategik pelaburan misalnya, mulai tahun depan akan secara agresif melaksanakan pembayaran tol menerusi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

Atas nama kemudahan untuk pengguna dan mengelak kesesakan di plaza tol, RFID akan menjadi cara baharu membayar tol menggantikan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag yang bakal dikurangkan penggunaannya secara berperingkat.

Namun perkhidmatan itu tidak percuma kerana orang ramai yang mahu mendapatkan pelekat RFID perlu membayar yuran RM35.

Kalau pengguna sanggup membayar, sudah pasti syarikat berkenaan akan beralih kepada sistem tersebut sepenuhnya pada masa depan daripada mengenakan caj hanya beberapa ringgit untuk penggunaan kad Touch ‘n Go.

Agensi kerajaan juga suka mengambil untung mudah daripada pengguna. Majlis perbandaran misalnya akan menggunakan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengutip denda daripada orang rami yang terlepas tarikh akhir membayar cukai taksiran setiap tahun.

Notis E bernilai RM20 jika lewat dan meningkat RM100 pula untuk penalti seterusnya sebelum tindakan sita, lelong diambil terhadap mereka yang ingkar.

Sudah pasti ramai pemilik kediaman terlepas pandang tarikh akhir membayar cukai taksiran kerana tiada lagi notis dihantar ke rumah dan kealpaan pengguna itu bernilai jutaan ringgit kepada majlis perbandaran.

Oleh: Nizam Abdul Hamid
Pengarang Berita Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment