Thursday, December 23, 2021

Memang Tidak Wajar Memberi Laluan Pada Singapura Untuk Mengawal Operasi

Utamakan rakyat kita dahulu
PROJEK Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) – pelan mesti dipinda dan pelaksanaannya mesti dibikin sampai jadi. Namun, kali ini kerajaan perlu lebih berhati-hati.

Letakkan kepentingan nasional dan strategik sejajar dengan manfaat perniagaan, penghubungan, industri tempatan serta hubungan sosial yang dijana.

Tanpa emosi atau sentimen, kerajaan perlu meneliti punca, logik atau alasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pelaksanaan projek HSR pada 2018. Ini memerlukan semakan dan penjajaran semula keseluruhan koridor termasuk trek laluan, struktur dan reka bina, lokaliti, penjimatan kos serta impak dalam pelbagai sudut mahupun bidang.

Dengan separuh daripada kira-kira 335 kilometer landasan berada di atas bumi Johor, saya terpanggil untuk sama-sama mengambil tahu mengenai idea dan hala tuju projek HSR yang sangat signifikan serta relevan ini. Apatah lagi, saya hendak mengaitkan pelaksanaan HSR dengan usaha merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi di semua peringkat dalam fasa pemulihan negara sekarang.

Bagi projek ini, kerajaan perlu mempertimbangkan di mana daya maju dan kemampanan kewangan negara yang sedia terbeban dengan pelbagai komitmen. Sebaliknya dengan trend pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia yang rata-rata dipacu pelabur swasta, justeru wajar bagi kerajaan melihat pelaksanaan HSR 2.0 menerusi pendekatan sama. Pihak swasta mesti digembleng dan dilibatkan dengan pelaburan projek pembangunan infrastruktur strategik negara seperti HSR yang boleh menjana impak serta pulangan ekonomi besar kepada negara.

Lagipun, dengan melihat trend pasca Covid-19, penting bagi kerajaan meninjau pelaksanaan HSR 2.0 ini dengan lebih ekonomik dan mengoptimumkan manfaatnya.

Antaranya, projek HSR mesti dilihat dari sudut impak membina semula perniagaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

Dan tidak kurang pentingnya, kerajaan mesti bersikap ‘rakyat dahulu’ dan ‘pelabur tempatan dahulu.’ Sebelum ini ada kritikan HSR akan memberi manfaat kepada kepentingan perniagaan besar, pelabur dan pembiaya asing. Jangan sekali-kali mengutamakan pihak asing kerana penyertaan mereka dalam projek nasional dan strategik mungkin datang bersama kepentingan atau agenda tersembunyi tertentu yang boleh memerangkap, membelenggu atau merugikan negara.

Saya tertarik saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 20 Disember lalu.

Beliau berkata: “Kita tidak perlu menunggu pihak Singapura untuk terlibat semula dalam projek ini. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, kita telah batalkan perjanjian dengan Singapura untuk pembinaan HSR atas faktor kedaulatan negara.

“Perjanjian HSR yang ditandatangani oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempunyai terma-terma berat sebelah yang boleh dikatakan mencabuli hak kedaulatan negara kita. Ini termasuk kawalan Singapura ke atas Assets Co. yang akan mengendalikan operasi HSR di Malaysia.”

KECUAIAN
Jadi, untuk ‘kecuaian’ kerajaan BN lalu, negara perlu membayar pampasan kepada Singapura kerana pembatalan projek tersebut. Namun, nilai menebus kedaulatan ternyata sangat mahal. Lagipun, hakikatnya 96 peratus pengurusan HSR dilakukan di sebelah Malaysia kerana lebih 300 kilometer laluan berada di atas bumi kita dan memang tidak wajar memberi laluan pada Singapura untuk mengawal operasi serta nilai kepentingan HSR.

Muhyiddin dalam ucapan tersebut berkata, dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara ini. Beliau menegaskan, tanpa penglibatan Singapura, kita mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan boleh buat keputusan yang melindungi kepentingan negara tanpa campur tangan pihak asing. Ringkasnya, kedaulatan negara terpelihara daripada diganggu-gugat.

Berdasarkan saranan bekas Perdana Menteri itu, kerajaan boleh menggerakkan penubuhan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) atau konsortium swasta untuk membina projek mega HSR. Ia bukan setakat dari Kuala Lumpur ke selatan boleh dipanjangkan hingga ke utara Semenanjung. Ini dilakukan menerusi pembiayaan pihak swasta sepenuhnya termasuk menanggung kos pengambilan tanah dan apa juga pampasan berkaitan.

Justeru, HSR 2.0 adalah satu inisiatif dan komitmen pelabur swasta tempatan untuk menjayakan projek nasional!

Lagipun, kereta api laju menjadi kunci utama menarik pelaburan pada masa depan. Ia ada nilai strategik kepada setiap negara. Yang penting, HSR 2.0 bakal memberi impak ekonomi di sepanjang laluan serta memecut struktur ekonomi negara ke arah perkhidmatan.

Pelaksanaan projek HSR 2.0 juga bermakna kerajaan ‘menyediakan satu projek sedia dilaksanakan oleh pihak swasta’ dengan hanya melakukan penjajaran semula laluan khususnya di bahagian selatan (Johor). Ini termasuk memendekkan jajaran dan mengelakkan pembinaan laluan di kawasan tanah gambut terutama di daerah Batu Pahat kerana akan meningkatkan kos pembaikan tanah.

Perancangan koridor projek HSR 2.0 mesti melibatkan lebih banyak agensi kerajaan untuk menyatukan semua aspek kepentingan. Pelan pembangunan koridor ini mesti bersifat jangka panjang, inklusif dan mengoptimumkan semua stesen sebagai pintu masuk ke zon pertumbuhan baharu melibatkan kawasan perindustrian, pelancongan, pendidikan mahupun penempatan.

Oleh itu, pemaju dengan input pihak kerajaan perlu ada kreativiti, inovasi dan visi jauh bagaimana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi boleh dilaksanakan pada setiap inci di sepanjang laluan HSR serta koridornya.

Secara ringkasnya, koridor projek HSR 2.0 sedia ada perlu disemak semula, dipinda reka bentuk dan dijajarkan semula laluannya seiring matlamat melakukan penjimatan kos, selain memastikan kepentingan nasional serta pelbagai peringkat rakyat dalam projek penghubungan dan pengangkutan mega ini terpelihara.

Oleh: Mohd. Solihan Badri
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor.

No comments:

Post a Comment