Saturday, December 18, 2021

Pesawat Guna Minyak Masak Terpakai Mendarat Di KLIA

SEPANG – Pesawat Airbus A330-200 yang merupakan pesawat komersial pertama berdaftar menggunakan Sustainable Aviation Fuel (SAF) di Malaysia berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Tambah mengujakan, bahan bakar pesawat yang berlepas dari Amsterdam, Belanda dan tiba kira-kira pukul 9 pagi itu dihasilkan daripada minyak masak terpakai dengan campuran 38 peratus SAF.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, penerbangan tersebut adalah yang pertama di Malaysia yang berdaftar untuk menggunakan SAF sebagai bahan bakar.

“Penerbangan ini adalah yang pertama di Malaysia yang berdaftar untuk menggunakan SAF sebagai bahan bakar bagaimanapun sejak 2016 sudah lebih daripada 370,000 penerbangan dari 45 syarikat penerbangan yang menggunakannya.

“Jadi, bangga untuk kami umumkan bahawa Malaysia Airlines kini tersenarai dalam kumpulan yang menyokong sasaran jangka masa panjang iklim industri penerbangan,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan pesawat berkenaan di KLIA di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkifli Wan Ariffin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr. Noor Zari Hamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangn Berhad, Azrul Osman Rani.

Kejayaan operasi itu merupakan kerjasama di antara rakan dagangan Petronas di Eropah iaitu PETCO Trading (UK) Ltd. dan Neste yang merupakan peneraju penghasil diesel boleh diperbaharu dan SAF yang diperhalusi daripada sisa bahan buangan.

Menurut Izham, MAG komited dalam menjayakan inisiatif kelestarian demi penambahbaikan industri penerbangan, organisasi serta negara termasuklah masa depan Bumi dan SAF adalah antara inisiatif yang diambil dalam membawa agenda ‘Zero Carbon Emmision’ di Malaysia. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment