Wednesday, December 29, 2021

Mahkamah Tolak Saman Cabar Keabsahan Sekolah Vernakular

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan saman tiga buah NGO bagi mencabar keabsahan kedudukan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini disahkan oleh peguam yang mewakili plaintif-plaintif, Mohamed Haniff Khatri Abdulla sejurus pengumuman keputusan kes.

Antara alasan penolakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah, walaupun mahkamah bersetuju dengan sekolah satu aliran, namun apa yang terkandung di dalam laporan-laporan pendidikan yang ada di Malaysia tidak dipelihara oleh Perlembagaan.

“Mahkamah telah menerima pakai dan mengambil kira bahawa terdapat pelbagai laporan pendidikan yang telah disediakan sejak sebelum merdeka sehingga selepas merdeka termasuk dan tidak terhad kepada Laporan Barnes, Laporan Razak, Laporan Rahman Talib dan sebagainya dan mahkamah telah bersetuju mengatakan bahawa sepatutnya sekolah hendaklah kepada satu aliran supaya terdapat perpaduan nasional.”

“Tetapi mahkamah berpendapat bahawa apa yang terkandung di dalam laporan itu tidak dipelihara oleh Perlembagaan.”

Alasan kedua adalah, mahkamah telah membuat keputusan kerajaan perlu memberi respons yang positif demi kesejahteraan negara dan kemakmuran rakyat.

“Jadi mahkamah berpendapat bahawa sekiranya itu keputusan mahkamah, maka sekarang yang ketiganya ia berbalik kepada mana-mana kerajaan yang menerajui negara ini untuk menentukan hala tuju sama ada bahasa pendidikan persekolahan sepatutnya menjadi sumber utama perpaduan rakyat,” tambah Haniff.

Alasan ketiga penolakan permohonan saman mencabar keabsahan sekolah vernakular ini adalah kerana mahkamah berpendapat pengajaran pendidikan di sekolah-sekolah bukan satu urusan awam.

“Mahkamah berpendapat bahawa walaupun bahasa Melayu adalah bahasa nasional, yang dipelihara di bawah Perkara 152 tetapi pengajaran pendidikan di sekolah-sekolah bukannya suatu urusan awam sepertimana yang diputuskan di dalam kes Merdeka University di Mahkamah Persekutuan.”

Haniff menyatakan pihaknya telah bersetuju untuk memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini memutuskan untuk menolak saman yang dikemukakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment