Monday, December 20, 2021

Huuh....Makin Hebatlah Dong Zong Dan Yang Sealiran Dengannya...

MCA akan dapat lebih kerusi pada PRU15, kata Zahid
KUALA LUMPUR: MCA mungkin diberi tambahan kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini memperlihatkan bahawa MCA telah diterima semula oleh pengundi.

“Kerusi tradisi MCA akan kembali kepada MCA dan BN mungkin tambah lagi kerusi kepada MCA berbanding kerusi yang mereka tandingi sebelum ini,” katanya di Mesyuarat Agung Tahunan MCA.

Zahid berkata BN juga akan merampas kembali kerusi Parlimen dimenangi oleh calon BN yang telah keluar daripada gabungan itu.

“Kita tak kacau kerusi tradisi MCA dan MIC. Kita akan beri kerusi kepada parti-parti ‘Friends of BN’,” katanya.

Terdahulu, di majlis sama, Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa kepimpinan BN membenarkan parti itu mengekalkan “kerusi tradisi” mereka pada PRU15.

Katanya, MCA telah bersama BN “ketika susah dan senang” selama lebih 60 tahun.

“Hanya BN sahaja yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat dan mampu mentadbir negara dengan lebih baik,” kata Wee sambil menambah bahawa MCA telah melakukan persediaan menjelang PRU akan datang.

Pada PRU 2018, Wee muncul sebagai Ahli Parlimen tunggal daripada parti itu yang berjaya mempertahankan kerusi Ayer Hitam dalam pertembungan tiga penjuru dengan Liew Chin Tong dari DAP dan Mardi Marwan dari PAS.

MCA kemudiannya memenangi satu lagi kerusi di Dewan Rakyat selepas Wee Jeck Seng memenangi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019 dalam pertembungan empat penjuru.

MCA bertanding di 39 kerusi pada PRU14.

Wee berkata ahli parti tidak seharusnya bersikap “terlalu selesa dengan kemenangan” biarpun dua calon MCA menang dalam PRN Melaka.

“Sejarah menunjukkan kemenangan BN di beberapa kawasan seperti PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016, tidak menghasilkan keputusan sama seperti PRU14,” tambahnya.

Sebagai parti berasaskan kaum Cina, MCA akan terus memperjuangkan isu dan kebajikan masyarakat di samping menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Isu yang melibatkan pelbagai aliran pendidikan adalah kekuatan kita. Kami percaya perpaduan boleh diterapkan dalam kepelbagaian,” katanya. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment