MELAKA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin kembali menempa zaman kegemilangannya sebagai ‘parti yang menguasai kerajaan’ andai komponennya terutama MCA dan MIC terus berharap kepada kerusi majoriti Melayu.
Formula tiga parti utama yang kononnya tawaran terbaik bagi bumiputera, Cina dan India itu dilihat sudah tidak relevan memandangkan BN gagal mendapat sokongan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau menegaskan, UMNO perlu meletakkan syarat kepada MCA dan MIC, iaitu mereka perlu memainkan peranan untuk mendapatkan kembali sokongan kaum masing-masing, sekiranya mahu kekal dalam gabungan BN.
Katanya, jika kedua-dua parti itu gagal membuktikan penerimaan masyarakat terhadap mereka, mahu tidak mahu UMNO perlu mencari ‘permuafakatan baharu’ dengan pihak yang mempunyai sokongan dan kerusi sendiri.
“Macam mana UMNO hendak menjadi parti dominasi kalau komponen bersamanya langsung tidak dapat sokongan rakyat? Siapa kata MCA dapat sokongan rakyat? Tetapi UMNO masih lagi bersama dengan MCA, masih lagi dengan MIC.
“Maksud saya UMNO perlu berubah dalam semangat memberikan ruang yang lebih besar kepada rakyat Malaysia. Pada saya, satu pengisytiharan mesti dibuat, sesiapa nak jadi komponen kepada UMNO mesti mendapat sokongan masyarakat yang besar,” katanya ketika ditemui.
Pada PRU-14, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah meraih 113 kerusi Parlimen diikuti BN dengan 79 kerusi.
Daripada 79 kerusi yang dimenangi BN pada 2018, 54 disumbangkan oleh UMNO manakala MIC (2), MCA (1) dan selebihnya parti Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai jajaran baharu yang sering digembar-gemburkan pemerhati politik, Idris berkata, buat masa ini, selain Pas yang memiliki 18 kerusi Parlimen dan menguasai tiga buah negeri, hanya DAP dan PKR dilihat memenuhi kriteria sebagai komponen baharu BN.
Jelasnya, ini kerana kedua-dua parti tersebut jelas mempunya sokongan dan kerusi sendiri, tanpa perlu ‘menumpang’ kekuatan dan ihsan kerusi majoriti Melayu milik UMNO.
“Mana-mana parti nak jadi komponen kita mesti dapat sokongan. DAP multi racial tapi orang Cina sokong, DAP memenuhi syarat untuk menjadi komponen dalam BN.
“Kemudian PKR, mereka ada sokongan masyarakat semua. India pun ada sokong mereka. PKR boleh menjadi komponen BN,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment