Jangan tutup lagi Langkawi
LANGKAWI: Penggiat industri pelancongan di sini akan menanggung kerugian lebih besar sekiranya projek rintis gelembung pelancongan gagal sehingga mengakibatkan pulau itu ditutup sekali lagi.
Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Langkawi (PPIL), Mohd. Ali Selamat berkata, pihaknya percaya penggiat industri itu akan ‘gulung tikar’ dan tidak mampu bangkit sekiranya pulau legenda itu ditutup buat kali kedua kerana pandemik Covid-19.
Menurutnya, kebanyakan penggiat industri di pulau peranginan itu telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memulakan perniagaan masing-masing.
Katanya, mereka sekarang ternanti-nanti limpahan ekonomi daripada kemasukan pengunjung setiap hari.
“Mereka mahu kerajaan kekal membuka Langkawi kepada pelancong walaupun kes Covid-19 menunjukkan peningkatan selepas mengambil langkah berani melaksanakan gelembung pelancongan di pulau ini .
“Penggiat industri mengharapkan penutupan gelembung pelancongan di Phuket, Thailand selepas peningkatan kes Covid-19 tidak akan berlaku di Langkawi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagaimanapun Mohd. Ali berkata, pihaknya menaruh keyakinan projek rintis itu akan berjaya sekiranya pelancong, penggiat industri dan penduduk saling bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Malah, tambahnya, keputusan mewajibkan pelancong melakukan ujian pengesanan Covid-19 di lapangan terbang dan terminal feri sebelum memasuki Langkawi adalah langkah tepat dalam membendung penularan wabak di pulau ini.
“Pihak penguat kuasa juga perlu ditambah dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP di lokasi tumpuan pelancong,” jelasnya.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, lima kes positif Covid-19 dikesan selepas saringan dijalankan melalui ujian RTK-Ag melibatkan individu yang ingin masuk ke Pulau Langkawi.
Menurutnya, kesemua kes positif yang dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment