Wednesday, September 15, 2021

Kenapa Mat Salih Dilayan Istimewa?

ORANG putih atau mat salih tatkala berada di Malaysia atau di mana-mana negara Asia, mereka pasti akan diangkat persis seorang raja dan permaisuri. Tidak kira apa status mereka di negara asal, asalkan berkulit putih, bermata biru dan berambut perang, mereka terus disanjung dan dilayan dengan layanan kelas pertama.

Hal ini ternyata merupakan satu barah dan sikap keterlaluan orang Asia yang perlu dihentikan serta-merta.

Sebagai seorang yang berpengalaman berkelana selama lapan tahun di luar negara dan melawat 20 negara dalam tempoh yang lama khususnya di Eropah, saya berasa bertanggungjawab untuk menasihat para pembaca yang budiman supaya lebih berhati-hati dengan segala tindak tanduk kita yang sebenarnya memakan diri.

Pengalaman saya di bumi Barat tidak seindah pengalaman orang kulit putih di bumi Malaysia. Perkauman dan diskriminasi berlaku secara kerap, mereka seolah-olah begitu jijik melihat seseorang yang berkulit gelap, hitam atau tidak berwajah seperti mereka berjalan di tanah air mereka. Ejekan dan kata-kata nista pasti dilemparkan tanpa bantahan daripada orang lain yang memerhatikan.

Sehingga hari ini juga, saya masih berurusan dengan golongan mat salih di Malaysia. Malang buat mereka kerana saya bukanlah seorang Melayu yang mempunyai sikap toleransi, merendah diri dan hormat tak kena tempat. Maka, beberapa kali jugalah saya menghentam habis rakan-rakan mat salih supaya mereka sedar hakikat bangsa mereka.

Saya dengan sinis pernah mengatakan kepada seorang mat salih, “wah, bukan main seronok jadi terkenal sekali pun tak ada apa-apa bakat istimewa, bahkan turut dapat layanan terbaik di Malaysia. Tetapi, malangnya, layanan baik kami kepada kamu dibalas dengan layanan buruk dan hina di bumi kamu pula. Kami dihina, diejek dan didiskriminasi dengan dahsyat.

“Apabila kamu kembali semula ke negara kamu, pastikan kamu nasihatkan orang kulit putih di sana supaya menghormati dan meraikan pelancong dari luar Eropah!”

Disebabkan layanan dan hormat yang keterlaluan orang kita terhadap golongan bermata biru inilah secara tidak langsung membuatkan mereka menjadi bongkak, sombong dan angkuh. Lihat sahaja sikap sebahagian pelancong dari Rusia yang sentiasa melakukan masalah dan jenayah di negara kita.

BACKPACKER
Sebelum ini juga kita disajikan dengan kisah-kisah orang putih backpacker yang gemar mengutip sumbangan atau mengemis di kaki jalan di Malaysia, Thailand dan Indonesia hanya semata-mata untuk mendapatkan wang segera bagi menampung perbelanjaan melancong ke negara lain.

Sikap terkeji dan menyalahi undang-undang ini malangnya dibela pula oleh sebahagian rakyat kita yang kononnya prihatin dan pemurah. Bayangkan kalau kita lakukan hal yang sama di negara mereka?

Saya bukanlah ingin menyematkan kebencian terhadap orang putih, tetapi sekadar ingin menyedarkan sebahagian daripada kita yang terlalu mengangkat mereka. Ya, mereka cantik, kacak, tinggi dan sasa, tetapi itu bukan bermakna kita perlu melayan mereka jauh lebih baik daripada bangsa lain.

Sedih tatkala melihatkan bagaimana pelancong dari Asia atau Afrika yang tidak mendapat layanan sama hanya kerana rupa paras yang kurang indah dan status rendah.

Ratusan tahun bangsa kulit putih menjajah tanah air kita, merampas harta benda, merobek khazanah alam, menyembelih nenek moyang kita dan menghina adat tempatan, namun malangnya mereka masih dipandang dan disanjung tinggi seolah-olah kezaliman dan kejahatan mereka pada masa lampau itu tidak pernah wujud sama sekali.

Sekiranya kita ingin melakukan kebaikan kepada orang lain, pastikan tidak ada dwistandard mengikut rupa paras dan bangsa tertentu. Dan bagi mereka yang begitu gah melayan dan menyanjung golongan mata biru ini, ingatlah belum tentu anda akan mendapat layanan yang sama di bumi mereka.

Sebahagian orang kita suka membandingkan negara-negara mat salih. Kata mereka, kita kena sokong Rusia sebab mereka lawan Amerika Syarikat (AS). Dalam erti kata lain, Rusia lebih baik daripada AS. Lucu sekali penilaian seperti ini. Ya, Rusia dengan AS mungkin bermusuhan tetapi ketika berhadapan dengan umat Islam, mereka pasti bersatu!

Apa yang kita perlu akur ialah sebahagian golongan ekspatriat mat salih di Malaysia sangat rasis dan sombong dengan penduduk tempatan. Sekali pun mereka berada di tanah air kita serta mendapat layanan tiptop, malangnya, mereka masih mempunyai mentaliti jijik seperti Melayu adalah ekstremis agama dan sering memburuk-burukkan bangsa kita.

Jangan marah sekiranya mereka bersikap angkuh dan rasis dengan kita. Bukankah kita sendiri yang begitu menyanjung mereka sehingga membuatkan mereka berasa kebal dan maksum? Berubahlah wahai bangsa Malaysia dan Asia!

Oleh: Thaqib Shaker

No comments:

Post a Comment