2021 merupakan tahun ke-58 penubuhan Persekutuan Malaysia. Gagasan penggabungan wilayah Nusantara tertentu iaitu Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara, iaitu nama lama untuk Sabah disuarakan seawal 1887 oleh British untuk membentuk tanah jajahan yang besar.
Ia disuarakan semula oleh mereka pada 1942 dan 1955. Namun, ia tidak mendapat sebarang sambutan. Ia hanya diterima pada 1961 untuk direalisasikan apabila disuarakan oleh Persekutuan Tanah Melayu.
Beberapa faktor diutarakan sebagai pewajaran penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu yang sudah merdeka dengan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Antaranya untuk mengukuhkan ekonomi secara bersama, menjaminkan keadaan politik lebih stabil lagi selamat ekoran ancaman komunis, jalan pintas untuk kemerdekaan wilayah yang masih dikawal British dan mengeratkan hubungan antara kesemua wilayah ini.
Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan penggabungan lima wilayah ini bersekali dengan Brunei yang menarik diri adalah penyatuan semula wilayah Nusantara untuk mengukuhkan solidariti Nusantara yang teruk terjejas. Kalaupun tidak, hilang seketika akibat penjajahan British dan Belanda.
Walaupun bertujuan murni untuk bersekali semula, ia mendapat tentangan hebat daripada wilayah Nusantara lain biarpun serumpun sebagai Kepulauan Melayu. Dalam hal ini, Filipina menuntut Sabah bagi pihak waris Sultan Sulu yang pernah memerintah di sana. Indonesia pula membantah keras dengan mengumumkan permusuhan ke atas Malaysia.
ANTIKLIMAKS
Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun yang lebih meriah perayaannya di Sabah dan Sarawak antaranya hendaklah diraikan dalam konteks solidariti Nusantara ini di seluruh Malaysia. Sehubungan itu, Semenanjung yang baru sahaja meraikan Hari Kemerdekaan dua minggu sebelumnya dengan meriah sekali saban tahun didapati tidak menyambut Hari Malaysia dua minggu kemudian semeriah Hari Kemerdekaan.
Ini tidak sepatutnya berlaku tetapi dapat difahami bahawa Hari Malaysia semacam antiklimaks setelah perayaan Hari Kemerdekaan. Namun, ia hendaklah tetap diperingati di Semenanjung untuk bersama-sama menjulang semangat solidariti Nusantara dengan Sabah dan Sarawak yang meraikannya melalui perayaan besar-besaran di sana.
Ini merupakan status quo tentang sambutan Bulan Kebangsaan kita, iaitu dua peristiwa penting negara diraikan dalam tempoh dua minggu antara satu sama lain diperingati secara bersama di seluruh negara tetapi dikendalikan secara berlainan oleh Semenanjung sahaja untuk Hari Kemerdekaan dan Sabah atau Sarawak secara bergilir bagi satu Malaysia untuk Hari Malaysia.
Dari satu segi, cara begini bukan sahaja saling melengkapi, ia juga memperlihat persefahaman baik lagi utuh antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
PSIKOLOGI
Sehubungan dua perayaan negara dalam tempoh sesingkat dua minggu, pernah ada cadangan agar dipilih hanya satu daripada dua tarikh keramat ini, sama ada 31 Ogos atau 16 September untuk kita raikan secara bersama-sama sekali gus besar-besaran di segenap pelosok negara sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.
Gagasan begini baik sekali dalam pengertian keukhuwahan sebagai kesatuan satu entiti sahaja adalah lebih bagus dari segi psikologi berbanding dengan kesatuan dua entiti.
Dalam hal ini, tarikh yang diputuskan itu hendaklah diterima baik walaupun ia mungkin tiada kesignifikanan langsung dengan wilayah tertentu dalam Persekutuan Malaysia. Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh Amerika Syarikat terdiri daripada 50 negeri yang masing-masing mempunyai tarikh kemerdekaan sendiri. Namun atas satu semangat kenegaraan, tarikh 4 Julai dipersetujui semua negeri.
Semangat terus bergerak sebagai satu komuniti nasional yang bersatu dalam semua bidang, sama ada kecil mahupun besar adalah amat penting bukan sahaja untuk memperlihat tetapi memupuk integrasi nasional. Dengan adanya semacam pengasingan dalam konteks perayaan Hari Malaysia yang tidak disambut meriah oleh semua wilayah di dalam Persekutuan Malaysia, ia memang satu pemisahan fizikal yang ketara dari satu segi lain.
Berkenaan pemisahan ini, persetujuan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung untuk mengenakan kawalan imigresen, tidak dapat dinafikan satu langkah pemisahan yang tidak baik untuk integrasi nasional, iaitu hubungan erat lagi mesra antara Semenanjung-Sabah-Sarawak.
Walaupun ia diwujudkan untuk pelbagai tujuan keselamatan, namun didapati sangat pelik oleh banyak pihak di luar Malaysia apatah lagi dalam negara sendiri bagi menyekat sesama warga senegara untuk bergerak dengan mudah ke mana-mana tempat di dalam tanah air yang dikongsi bersama.
MUHIBAH
Sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak memikirkan cara lebih muhibah bukan sahaja baik untuk semua yang bernegara dan senegara di bawah naungan Malaysia dalam pengertian nasionaliti Malaysia. Lebih penting lagi cara yang boleh menghentikan pemisahan yang semacam membahagi-bahagikan kita kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti berasingan.
Selain itu, usaha untuk menaut tiga wilayah Malaysia ini boleh dimulakan dengan memilih hanya satu tarikh sebagai Hari Kebangsaan. Ia untuk diperingati sebagai hari rakyat negara berdaulat ini berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan di wilayah masing-masing dan hari negara tercinta ini ditubuhkan secara bersepakat dengan destini sepunya untuk kesejahteraan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kemakmuran semua wilayah Malaysia.
Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment