Tuesday, April 13, 2021

Kenapa Masih Guna Tong Gas Berat?

SEBENARNYA masalah ini telah lama berlaku, sejak bertahun-tahun lalu apabila gas petroleum cecair (LPG) yang diguna untuk memasak di rumah tidak boleh dibeli dengan tong sekali.

Maknanya, anda boleh membeli gas sahaja dan bukan tong. Pembelian hanya boleh dibuat jika ada dalam simpanan anda tong gas kosong sebagai tukaran.

Jangan harap penjual akan menjual gas dan tong sekali walaupun macam mana anda merayu dengan bermacam-macam alasan termasuk memerlukan tong gas kedua yang berisi penuh sebagai simpanan menjelang Ramadan ini. Alasan yang selalu diberikan peniaga ialah tong gas tidak cukup.

Dalam pada itu, saya berharap syarikat Astana City Group Sdn. Bhd. (ACG) yang mengedarkan LPG yang diisi dalam tong gas komposit dapat melihat kembali model pemasaran mereka.

Ini kerana gas jenama ACGAS sangat sukar diperoleh sedangkan syarikat itu dikatakan mampu mengeluarkan 200,000 tong LPG sebulan dari kilang di Pelabuhan Klang, Selangor.

Saya mendapati tong gas komposit ini cukup ringan sehingga boleh diangkat sebelah tangan sahaja oleh orang perempuan. Ia juga lebih selamat, bebas karat dan tidak mudah meletup.

Saya juga hairan, syarikat besar seperti Petronas Dagangan Berhad yang mengedarkan LPG masih menggunakan tong diperbuat daripada besi yang sangat berat dan tidak bertukar kepada tong komposit.

Janganlah menyusahkan dan memaksa rakyat mengangkat tong gas berat sedangkan sudah ada teknologi terbaharu yang lebih baik.

Oleh: KEMARUK MASAK
          Selayang, Selangor

No comments:

Post a Comment