Sunday, April 11, 2021

Gaduh Sampai ‘Bakar Kelambu’

Pertemuan lapan pemimpin Melayu
pada 23Februari 2020
PEPATAH Melayu berbunyi:
Koyak-koyak ditampal,
Retak-retak dikimpal.

Penyokong berserta ahli parti-parti politik Melayu yang saya tidak pasti bilangannya sekarang, ada yang kata enam, tujuh, lapan parti – sudah pun retak soal perpaduannya.

Maka, mesti ada bahan pengimpalnya. Bahan pengimpal itulah syaratnya. Yang telah koyak itu perlu ditumbab atau ditampal segera dengan kain perca atau kain guntingan yang lain. Kain yang sedia ada pada pakaian yang koyak itu tidak boleh dijadikan penampalnya.

Sosek-sosek menyatakan jika pejuang-pejuang Melayu (dalam semua parti Melayu) enggan kembali bersama pucuk pimpinan dan parti induk, kehancuran Melayu akan pupus. Paling sinis adalah dakwaan pejuang-pejuang inilah yang menyebabkan ini semua. Masakan. Gertak sebegini harus diperiksa motifnya.

Hari ini, mana-mana parti politikpun tidak harus mendabik dada parti mereka lah yang menjadi penentu kepada ramuan atau resipi penguasaan itu. Lihat! dalam konteks parti-parti Melayu sekalipun digabungkan hanya berupaya mewakili 51 peratus dari suara sebenar. Yang 49 peratus lagi orang lain sudah empunya. Itu belum kita cakap lagi peratus yang pecahan kecil enam, tujuh, lapan parti-parti Melayu yang berteraburan hari ini. Suara 49 peratus ini jangan diketepikan sikap ‘tunggu, lihat dan pangkah’ mereka.

Jika diamati dengan harus, hujah bahawa kuasa politik Melayu akan jatuh ke tangan orang lain jika pelawaan berunding 12, 14, 16 mata atau `imbuhan serta tawaran menarik’ itu tidak diterima, tentu meleset sama sekali. Bukankah di dalam Perlembagaan Persekutuan hak-hak istimewa orang Melayu itu merupakan perpaduan yang terjamin? Bukankah di negeri-negeri Melayu, bakal menteri besar itu haruslah terdiri dari orang Melayu? Cuma yang tidak dikatakan dalam gara-gara menakut-nakutkan itu daripada pihak yang berkuasa mungkin kehilangan kuasa mereka.

Sebenarnya ini adalah kuasa rakyat yang memilih pemimpin dan wakil mereka lima tahun sekali. Nyatalah soal perpaduan dalam kalangan orang Melayu, yang kemudian berkait rapat dengan kestabilan negara merangkumi penduduk berbilang bangsa dan agama ini perlu diterima dalam konteks yang lebih luas. Tidak dalam genggaman politik kuasa yang sempit.

Begitu juga halnya dengan penghormatan dalam mentadbir dan menyempurnakan politik kuasa. Ia tidak boleh dilakukan melalui paksaan atau budaya tipu helah. Ia mesti diwarisi melalui proses yang telah wujud dan diteraskan melalui perjuangan asal. 

No comments:

Post a Comment