Friday, April 30, 2021

Apabila PBT Tidak Menyukai Bahasa Kebangsaan....

Premis tak guna bahasa Melayu
ISU penggunaan bahasa Melayu di papan iklan, bukan perkara baharu. Sudah kerap perkara ini ditimbulkan dalam pelbagai saluran, namun masalah ini masih berleluasa.

Isu ini turut bergema di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika ditinjau di sesetengah bandar besar di negara ini, kita boleh garu kepala kerana terfikir adakah kita berada di Hong Kong atau Taiwan.

Kedudukan bahasa Melayu kelihatan terasing, saiznya terlalu kecil malah seperti tidak diberi tempat sewajarnya.

Sedangkan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan sepatutnya diutamakan dalam sebarang papan iklan.

Sedih sekali melihat bahasa Melayu diabaikan atau hanya terselit di sudut papan iklan yang besar itu.

Sepatutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh bertindak memperbaiki keadaan demikian. Mereka berkuasa meluluskan permit iklan malah boleh mengenakan denda atau mengarahkan supaya papan iklan itu diturunkan.

Terdapat Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Iklan 2007 di bawah kuasa PBT yang boleh digunakan.

Jika ditinjau, antara kesalahan yang sering dilakukan adalah mengabaikan penggunaan bahasa Melayu, meletakkan kedudukan bahasa Melayu sangat kecil berbanding bahasa lain, kesalahan bahasa dan terjemahan ke bahasa Melayu yang tidak tepat.

Contoh kesalahan ejaan dan tatabahasa seperti Lim Klinik, letrik, letronik, kelinik, perabut, eksesori, jualan larang masuk, Bangla untuk dijual, penjual gadis diperlukan, Ramadzan, kueh tiaw masih kedapatan.

Dalam konteks tempat saya di Batu Pahat, sebuah premis perniagaan yang tajuk besar iklannya Cozzy Confinement Center didapati keterangan iringan semua dalam bahasa Inggeris.

Sebuah pusat perniagaan dipanggil Old Street diikuti keterangan dalam bahasa Cina, tanpa sebarang perkataan dalam bahasa Melayu.

Sebuah restoran pula mengiklankan kedainya sebagai Thai Street Food tanpa sebarang penggunaan bahasa Melayu.

Justeru, saya menyeru semua PBT supaya peka dan meneliti papan iklan sebelum meluluskannya. Jika berlaku situasi mereka terlepas pandang, ambil tindakan dengan memberi teguran, mendenda atau menurunkan papan tanda. Kita tidak mahu cacing naik ke mata.

Slogan Cintailah Bahasa Kita jangan pula tinggal sebagai slogan dari segi teori semata-mata. Bertindak sebelum terlambat.

Oleh: MUSTAFFA SIRAJ
          Batu Pahat, Johor

No comments:

Post a Comment