Dalam tulisan beliau bertajuk ‘satira adalah seni yang sah’ pada 13 April lalu, Faisal Tehrani menyebut mengenai matlamat satiris untuk ‘mentertawakan si pelaku kesalahan’ serta betapa satira ‘harus mempunyai kecaman dan ejekan’ serta ‘mesti mempunyai kelucuan’.
Turut ditulis adalah niat satira supaya si pelaku kesalahan ‘akan berubah kerana menjadi bahan ketawa’ serta supaya ‘orang lain memahami kelakuan tersebut salah’ dan ‘menjauhkan diri dari perbuatan bejat itu’.
Saya tidak pasti apakah ‘kesalahan’ atau ‘perbuatan bejat’ yang telah dilakukan oleh Raja Permaisuri Agong yang mendorong Fahmi Reza membuat satira membabitkan Baginda. Apa yang pasti adalah Institusi Beraja, khasnya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, bukanlah ahli politik, malah berada di atas politik, dan adalah payung rakyat.
Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong manakala prinsip kedua Rukun Negara pula menghendaki setiap rakyat Malaysia setia kepada Raja dan Negara.
Oleh itu, walaupun sekiranya Raja Permaisuri Agong benar-benar melakukan apa-apa kesilapan sekalipun, adalah amat biadab untuk Fahmi Reza membuat satira politik dan untuk para pemimpin DAP mempertahankannya atas nama ‘seni’ atau ‘kebebasan bersuara’.
Nama pun lagi ‘satira politik’ maka bersatiralah sepuas hati kamu jika karya kamu itu adalah membabitkan ahli atau isu politik, tetapi untuk ‘mentertawakan’, ‘mengecam’ dan ‘mengejek’ Institusi Beraja, walau atas apa isu serta untuk apa matlamat dan niat sekalipun, adalah jelas satu perbuatan yang salah, baik di sudut akhlak mahupun di sudut undang-undang.
Apatah lagi bila ungkapan ‘dengki ke’ yang didakwa dilafazkan oleh Raja Permaisuri Agong dan foto Baginda digantikan oleh Fahmi Reza dengan ungkapan sensitif ‘donkey ke’ dan foto ‘donkey’ sedangkan semua tahu ‘donkey’ itu dikaitkan dengan ‘kebebalan’.
Sangat memalukan bila melihat para pemimpin DAP mempertahankan perbuatan ini dan sangat menyedihkan bila melihat ada di kalangan Melayu Islam, khasnya yang berjawatan dan berpendidikan tinggi, turut menyokongnya.
No comments:
Post a Comment