Sunday, April 4, 2021

Gadis Korea Suka Jejaka Malaysia?

Drama Korea Selatan, Winter Sonata yang pernah disiarkan di televisyen pada 2002 boleh dikatakan salah satu faktor utama rakyat Malaysia mula menerokai dunia hiburan negara tersebut. Sejak itu juga, filem dan lagu Korea Selatan, K-pop mula menjadi pilihan dan kegilaan ramai anak muda kita sehingga hari ini.

Hebatnya penangan Korea Selatan sehinggakan terdapat begitu ramai penyokong fanatiknya di seluruh dunia. Selain itu, impak hiburan Korea Selatan yang gah di persada dunia secara tidak langsung membuatkan negara pengeluar telefon bimbit jenama Samsung tersebut mengaut keuntungan berlipat kali ganda menerusi sektor pelancongan dan pendidikan. Namun, masih banyak fakta menarik tentang Korea Selatan yang perlu diketahui para pembaca.

Saya berkesempatan menemu bual seorang warga Korea Selatan yang menetap di Malaysia, Mingyeong Choi, 26.

“Kalau ikut kalendar antarabangsa, saya kini berumur 26 tahun, tetapi menurut kalendar lunar yang diguna pakai di Korea Selatan, maka saya berusia 27 tahun.

“Menurut kalendar lunar, setelah seseorang itu dilahirkan, maka umurnya dikira setahun,” kata Mingyeong yang berwajah persis artis Korea Selatan, Park Ha-Sun, baru-baru ini.

Miengyeong Choi atau lebih dikenali sebagai tara_choi_ di media sosial begitu aktif mempromosi budaya dan kehidupannya di Malaysia menerusi platform TikTok yang mempunyai lebih 50,000 pengikut.

“Salah satu sebab mengapa saya begitu menyukai Malaysia ialah rakyatnya begitu tenang dan ramah, cukup berbeza dibandingkan dengan warga Korea yang begitu tertekan untuk berjaya dalam segala-galanya,” ujar graduan sarjana kebajikan sosial dari Universiti Inje di Gimhae, Korea Selatan.

Jika kita lihat di negara ini, kebanyakan ibu bapa suka membandingkan keputusan peperiksaan anak masing-masing dengan orang lain. Namun, di sana jauh lebih teruk apabila mereka membanding-bandingkan antara satu sama lain dalam setiap perkara, tidak kiralah pekerjaan mahupun pendidikan. Bahkan perbandingan sedemikian turut berlaku dalam kalangan rakan karib atau adik-beradik sendiri. Dalam erti kata lain, di Korea Selatan, anda perlu sentiasa berada di atas, sekiranya tidak, pasti akan dipandang rendah dan berasa tertekan. Budaya mementingkan kesempurnaan seperti inilah yang menyebabkan ramai warga Korea membunuh diri akibat tekanan melampau di tempat kerja dan sentiasa berasa tidak puas dengan apa yang ada.

Bagaimanapun, salah satu kelebihan sikap orang Korea Selatan adalah sangggup bekerja keras dan ingin sentiasa berada pada tahap paling atas. Hari ini, kita dapat lihat betapa hebat dan majunya Korea Selatan dalam ekonomi, teknologi, pendidikan dan pelancongan. Sikap belajar daripada sejarah lampau dan tidak ingin mengalah itu telah menunjukkan hasil yang begitu positif bagi pembentukan sebuah negara dan bangsa yang hebat dan disegani di peringkat antarabangsa. Namun, kemajuan itu perlu seimbang dengan kesihatan mental dan kebebasan rakyat.

“Kos hidup di Korea Selatan begitu tinggi. Sekiranya ingin menyewa sebuah studio di luar ibu kota, anda perlu membayar deposit sebanyak RM36,000 sekalipun sewa bulanan RM1,000 sahaja!

“Ramai anak muda di sana memohon pinjaman bank atau berhutang dengan ahli keluarga sendiri semata-mata mahu menjelaskan deposit rumah sewa,” ujarnya yang sudah dua tahun menetap dan bekerja di ibu negara.

Hakikatnya, di Malaysia, dengan RM36,000, kita boleh membeli sebuah kereta Proton Inspira terpakai. Ironinya, di negara kita, pinjaman bank dibuat untuk membeli rumah tetapi di Korea, pinjaman bank untuk membayar deposit sewa rumah!

Menurut Miengyeong, perkara sebeginilah yang menyebabkan ramai rakyat Korea Selatan berpindah ke luar negara termasuk Malaysia.

Paling membuatkan saya teruja, bukan setakat menyukai makanan kita, gadis Korea Selatan juga sukakan lelaki tempatan.

“Wanita Korea menyukai lelaki Malaysia,” kata Miengyeong, membuatkan saya ternganga.

Tatkala gadis-gadis Malaysia tergila-gilakan artis lelaki Korea Selatan, berbeza dengan wanita mereka yang melihat lelaki Malaysia jauh lebih romantik.

Selain romantis, keluarga mentua dilihatnya sangat ramah. Di negaranya, jelas Miengyeong, keluarga mentua terlalu disanjung tinggi sehinggakan menantu terpaksa menurut sahaja apa yang dimahu.

“Di Malaysia, keluarga sebelah mentua akan melayan menantu mereka seperti anak sendiri,” katanya.

Malaysia memang dikenali di Korea Selatan sebagai salah satu destinasi utama untuk belajar bahasa Inggeris. Selain itu, taraf hidup yang rendah serta keharmonian masyarakat turut menarik keinginan kebanyakan warga Korea Selatan yang sudah bersara untuk bermastautin di Malaysia. Pusat beli-belah yang banyak dan cuaca panas turut menjadi tarikan mereka.

Namun, satu perkara yang merimaskan mereka adalah kelajuan internet di negara kita yang perlahan dan bukan semua lokasi boleh diakses. Berbeza di Korea Selatan yang boleh diakses tanpa halangan walaupun di dalam lif atau ruang bawah tanah.

Sebenarnya banyak lagi cerita menarik Mingyeong yang boleh dikongsikan tetapi masa tidak mengizinkan kami berbual panjang.

Semoga perkongsian ini membuatkan kita sentiasa bersyukur dan berbangga sebagai anak Malaysia.

No comments:

Post a Comment