Wednesday, March 27, 2019
Tewas Perangi Rumah Urut?
CERITA mengenai operasi rumah urut haram yang menawarkan khidmat pelacuran tidak akan habis sampai bila-bila pun. Sekali fikir tak ada guna pun berbincang mengenai isu ini kerana tidak ada kesudahan. Bertahun- tahun isu ini dibangkit, diperkata, dibongkar dan dibincangkan dalam pelbagai platform dan forum termasuk dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, pengakhirannya tetap sama, gagal!
Isu rumah urut jadi rumah pelacuran ini sudah semakin ‘dekat’ dengan masyarakat. Dekat dalam erti kata premis-premis tersebut bukan sesuatu yang asing lagi sebaliknya menjadi satu pemandangan biasa pada hari ini. Kalau dahulu hanya di bandar-bandar besar, sekarang di pekan kecil dan terpencil malah di tepi hutan kelapa sawit sekalipun sudah ada. Galak sungguh cara membiaknya persis cendawan selepas hujan. Pusat-pusat ini dibuka secara terang-terangan atau berselindung di sebalik nama perkhidmatan kesihatan yang `baik-baik’ seperti refleksologi kesihatan, pusat kesihatan kaki dan macam-macam lagi. Masyarakat pula sudah tidak rasa terkejut atau ‘malu’ dengan kehadiran premis-premis sedemikian.
Kalau nak dihitung, tak terkira banyak operasi pembanterasan dilaksanakan, tetapi macam itu jugalah. Hari ini disita, esok tak beroperasi, lusa tutup atau seminggu tutup, selepas dua minggu dibuka balik macam biasa. Maka berkeliaran dan mundar -mandir semula gadis-gadis pelayan pelanggan dan bapa-bapa ayam di kaki lima dan depan pintu masuk premis masing-masing. Gadis-gadis genit ini dengan wajah ceria dan penuh keramahan menyapa sesiapa sahaja yang lalu lalang walaupun bahasa pertuturannya sama ada dalam bahasa Melayu dan Inggeris lintang pukang petanda yang mereka sah-sah bukan rakyat tempatan.
Salah satu sebab kenapa aktiviti pelacuran yang berselindung di sebalik nama pusat urut atau pusat kesihatan ini terus kukuh dan teguh sehingga ke hari ini ialah kerana perniagaan ini sudah menjadi satu industri besar yang amat menguntungkan di Malaysia. Perkembangannya pula bebas dan tidak ada sekatan. Oleh sebab perusahaan ini cepat berkembang, tenaga kerjanya pula dimport dan bertaraf internasional. Ada dari Asia, Asia Tengah dan Eropah.
TIDAK DIGANGGU
Banyak hartawan dan jutawan lahir daripada industri ini. Sektor yang berkembang pesat ini sudah tentu turut menyumbang pendapatan agak besar kepada negeri dan negara dan sesiapa sahaja yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. ‘Banyak’ pihak memperoleh untung daripada industri ini. Dengar-dengarnya segelintir kakitangan agensi penguat kuasa pun dapat merasa sedikit nikmat daripada perkembangan pesat perusahaan ini. Justeru perniagaan ini tidak seharusnya diganggu. Rugi besarlah kalau industri yang memberi manfaat kepada banyak pihak diusik.
Oleh kerana industri ini terlalu `subur’ bukan sesuatu yang menghairankan kalau sesetengah bandar di Malaysia ini sudah diberi julukan `Patpong’- kawasan lampu samar atau daerah pelacuran yang sangat popular di sebuah negara jiran. Gelaran daerah pelacuran tidak akan diberikan kalau hanya ada satu atau dua rumah urut yang menawarkan khidmat pelacuran. Sudah tentu jumlahnya banyak. Sudah tentu juga ada tertanya-tanya kenapa begitu subur sekali rumah-rumah maksiat sedemikian. Tak perlu bertanya kerana semua orang sudah dapat menduga jawapannya. Yang paling jelas, pihak berkuasa dilihat tewas dalam perang menentang aktiviti ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri mengenal pasti rasuah sebagai salah punca utama aktiviti haram ini terus `hidup subur mewangi’. Aktiviti pelacuran yang berselindung di sebalik nama perkhidmatan urut dikatakan dikawal oleh sindiket yang menyogok pihak tertentu untuk melindungi perusahaan ini. Apabila sudah bertaraf industri, kegiatan rasuah ini sudah tentu melibatkan banyak pihak dan peringkat, bukan satu dua pihak sahaja. Jumlah sogokan atau wang perlindungan juga pasti besar dan bukan biasa-biasa.
Mereka yang terlibat dengan industri ini pula tidak pernah serik-serik walaupun sudah banyak kali ditangkap dan didakwa serta tindakan penyitaan harta benda dilaksanakan.
Malah mereka boleh dikatakan semakin berani. Kenapa menjadi berani sehingga sedemikian? Berani kerana barangkali hukuman tidaklah keras sangat dan kadar denda pula mampu bayar.
Mungkin juga berani kerana selama ini mereka selesa dipayungi dan dilindungi oleh pihak tertentu yang terlibat secara langsung dalam ‘industri’ ini.
Bukan juga kerana kerajaan tidak bertindak. Malah menerusi pelbagai agensi penguatkuasaan pihak berkuasa sudah melakukan apa sahaja bagi membanteras industri yang sudah membarah ini. Kesungguhan kerajaan bagaimanapun masih tidak cukup.
Beberapa cadangan SPRM bagi membanteras industri ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana banyak cara dan tindakan penguatkuasaan sebelum ini tidak memberikan apa-apa kesan.
Cadangan agar Akta Pengubahan Wang Haram digunakan secara menyeluruh ke atas pemilik, orang tengah, syarikat dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan cara membekukan semua akaun mereka memang wajar dilaksanakan. Kalau ini cara paling berkesan laksanakanlah.
Memang sesuatu yang menyedihkan apabila setelah berpuluh-puluh tahun berjuang dengan sekian banyak tenaga dan wang ringgit dihabiskan, perang ke atas rumah urut yang menjadi sarang pelacuran masih tidak memberi hasil kemenangan. Harapnya bila si pelaku atau pesalah sudah hilang segala harta benda dapat menginsafkan mereka dan menakutkan si perasuah dan penerima rasuah lain. Masalahnya akan insafkan mereka ini?
Sudah tentu juga ada tertanya-tanya kenapa begitu subur sekali rumah-rumah maksiat sedemikian. Tak perlu bertanya kerana semua orang sudah dapat menduga jawapannya. Yang paling jelas, pihak berkuasa dilihat tewas dalam perang menentang aktiviti ini.
- kopi panas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment