Monday, March 4, 2019

Sfera atau leper?

BENTUK bumi sama ada sfera ataupun leper mendatar menjadi persoalan berterusan dalam tamadun manusia. Pengetahuan mengenai bentuk bumi ini mempengaruhi kepercayaan, budaya dan sains tabii sesuatu kelompok masyarakat. Ahli falsafah yang mengetuai institusi intelektual masyarakat pada zaman terdahulu telah mengemukakan fakta asas mengenai bumi, termasuklah bentuknya, struktur dan komposisi alam ini.

Yunani Kepada Sains Moden
Ahli falsafah Greek seperti Xenophannes, Thales, Anaximander, Anaximenes (sekitar 500 sebelum Masihi) memberikan hujah kukuh menyatakan bumi ini leper mendatar. Para ahli falsafah dengan pegangan kukuh konsep alam ini juga dikatakan berjaya meramalkan dengan tepat gerhana Matahari yang berlaku pada tahun 584 SM. Justeru, teori bumi leper lebih menyerlah sebelum 400 SM.
Namun, Aristotle (384-322 SM) mengemukakan konsep bumi sfera melalui logik ahli astronomi yang melaporkan terdapat bintang yang boleh dicerap di Mesir, namun tidak pernah kelihatan di Greek manakala, Eratosthene (240 SM) melakukan hitungan ukur lilit bumi dengan kaedah cerapan bayang matahari antara dua tempat. Begitu juga Ptolemi (kurun 1 M) yang memberikan alasan bumi hampir sfera dengan penurunan kelengkungan bumi yang seragam.

Tetapi beliau masih meletakkan kelengkungan awal bumi ini sebagai ‘satu kawasan jurang’ yang dijadikannya sebagai longitud asalan bernilai 0°. Dalam geografi klasik titik rujukan longitud ini dinamai Laut Barat. Tiada siapa yang berani belayar mengikut jalan ke arah Laut Barat kerana dogma kewujudan alam lain di sana masih dominan. Ptolemi sendiri yang menelusuri laluan darat ke arah timur berjaya memetakan beberapa benua dan wilayah termasuk yang sekarang menjadi India dan Asia Tenggara.

Semenanjung Malaysia dalam peta terawal ini dilakarkan dan dinamai sebagai Semenanjung Kencana (Chersonesus Aurea). Selepas zaman ini, kemajuan matematik klasik mengemukakan bukti yang bentuk bumi ini sfera. Antaranya, melalui pemetaan geografi, cerapan bulatan harian bintang pada lokasi berbeza dan cerapan gerhana bulan.

Dalam pada itu, ahli astronomi Muslim semasa era Khalifah al-Ma’mun (sekitar 830 M) melakukan pengukuran lilit bumi dan pembaharuan mereka terhadap teori orbit epikitaran Ptolemi. Kebangkitan sains tamadun Islam tidak menumpukan kepada isu bentuk bumi dan bentuk alam lagi, kerana mereka berusaha memajukan kaedah hitungan astronomi bagi aplikasinya dalam ibadat dan kehidupan seharian. Persoalan bumi sfera ataupun leper tidak lagi diendahkan ketika ini.

Namun, sebahagian kecil ahli sains baik di dunia Islam dan Eropah masih kekal dengan kecenderungan mereka, iaitu bumi ini leper. Ditambah dengan era kegelapan intelektual Eropah (kurun ke-5 M sehingga ke-12 M), pengikut yang mempercayai bumi leper dan bumi sebagai pusat alam (geopusatan) kekal dalam kelompok mereka tersendiri.

Di Eropah, terdapat ahli dalam kumpulan ini yang menggunakan semua konsep astronomi moden tetapi tetap mendakwa bumi ini leper. Begitu juga di Malaysia, atas hujah dalil al-Quran yang mujmal, mereka masih berkeras dengan ‘teori bumi leper’ atau ‘hamparan’.

Bukti Bumi Sfera
Semasa di sekolah menengah, dalam mata pelajaran ilmu alam (kini geografi), pelajar didedahkan dengan satu sub topik menarik, bukti bumi ini sfera. Sesuai dengan tahap pengajaran dan pembelajaran rendah, hujah yang digunakan bersifat eksperimen dan empirik. Pemerhatian kapal mendekati pelabuhan. Guru akan membawa pelajar ke pelabuhan yang terdekat dengan sekolah mereka berbekalkan binokular dan cerapan mata kasar.

Pelajar diminta mencatat pemerhatian mereka terhadap kapal yang mendekati pelabuhan. Semasa kapal berada bawah kelengkungan bumi, hanya serombong kapal yang kelihatan. Apabila kapal semakin mendekati pelabuhan bahagian kapal yang dapat dilihat semakin banyak sehingga keseluruhan kapal dapat dilihat. Keadaan ini hanya boleh berlaku jika bumi dalam bentuk sfera.

Bukti kedua, semasa berlaku gerhana bulan penuh ataupun separa, bayang bumi yang jatuh di permukaan bulan ialah melengkung. Bayang ini hanya boleh diwujudkan oleh satu 
objek legap yang bentuknya sfera.

Kelengkungan bumi yang menjadi ciri utama bentuk sfera boleh juga disahkan berdasarkan waktu cerapan matahari terbit atau terbenam di ufuk.

Bukti yang paling nyata dan tidak boleh disangkal lagi adalah gambar bumi yang dirakamkan dari angkasa. Terdapat banyak satelit dan prob dalam menjalankan ekspedisi ke angkasa lepas merakamkan gambar bumi dari jarak beberapa juta kilometer. Jika menelusuri sains kejadian alam semesta, jisim yang berbentuk bongkah batu- batan angkasa pelbagai saiz ini akan bergerak pantas mengikut haluan graviti yang menariknya. Dalam pergerakan pantas dan tidak stabil ini, sebahagian bongkah ini berderai daripada jisim utama, proses ini berlaku berterusan sehingga bongkah ini menjadi sfera dan stabil.

Secara sunatullah, objek berbentuk sfera ini seperti bumi, bulan, planet dan matahari mempunyai hukum orbit yang boleh dihitungkan dengan tepat. Sebaliknya jika bumi leper, hukum orbit bumi tidak terpakai untuk ramalan efemeris orbit cakerawala.

Bumi akan mempunyai sistem mekanik kelangitan dan teori kedinamikan astronomi berbeza. Paradoks ini menyebabkan ahli-ahli astronomi tidak boleh meramalkan apa pun fenomena dalam sistem suria yang melibatkan bumi. Sedangkan dalam era moden ini, kita dapat menyaksikan sebahagian besar kesepadanan sunatullah ini dengan ramalan astronomi. Gerhana matahari yang berlaku saban tahun, diramalkan ketepatan waktu berlakunya sehingga mikro saat. Begitu juga apabila pencerap di bumi berpeluang melihat hentaman komet ke permukaan Musytari pada Julai 1994, tepat sebagaimana hitungan efemeris. Semua ini diramalkan dengan baik kerana teori bumi sfera menjadi asas.

Sebagaimana konsep bumi sebagai pusat alam yang kekal menjadi sebahagian model dalam astronomi, geografi dan matematik, konsep bumi leper juga masih digunakan dalam pemetaan. Jika Ptolemi yang menghasilkan peta pertama bumi berbentuk hamparan, peta moden sedemikian juga. Namun bentuk sfera bumi ini diperincikan dengan model sfera elipsoid, supaya lokasi negara-negara dalam peta sama seperti semula jadi di glob sfera. Langkah ini dapat mengelakkan bentuk dan keluasan sempadan sesebuah negara yang tidak sama antara model sfera dengan pemetaan hamparan.

Di sini, golongan yang taksub dengan ‘teori bumi leper’ hanya mengambil bentuk pemetaan hamparan bagi menguatkan hujah. Sedangkan pemetaan secara hamparan adalah unjuran dari bumi yang berbentuk sfera. Dalam pendidikan sains moden, amat penting epistemologi bermula dengan sejarah sains. Tanpa sejarah sains, generasi yang mempelajari ilmu secara ‘kotak hitam’ akan terpengaruh dengan logik secara luwes. Akhirnya hipotesis yang dinyahkan atau diperbaharui dibangkitkan semula secara memualkan.

Oleh : Dr. Baharrudin Zainal

1 comment:

  1. bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^


    ReplyDelete