nuffnang

Saturday, March 16, 2019

‘Malu Apa Bossku’ ke Pasir Gudang Hari ini?

JOHOR BAHRU - Selepas menerima komen di Facebook meminta beliau berkunjung ke negeri ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat kemunculan di Johor Darul Ta’zim.

Menerusi Program Santai Bersama Boss Kite ‘Malu Apa Bossku!’, Najib akan berada di negeri ini selama tiga hari dua malam.

Kunjungan Najib ke negeri ini turut menimbulkan pertanyaan sama ada beliau akan ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang dibuka sebagai pusat rawatan awal bagi mereka yang terjejas akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Pertanyaan itu kedengaran daripada perbualan orang ramai yang sedang menunggu ketibaan beliau di Restoran Sayam di Stulang Laut di sini, rata-rata mahukan Najib berkunjung ke Pasir Gudang untuk memberi semangat kepada mereka yang terjejas.

“Eloklah Najib ke Pasir Gudang”, “Bekas Perdana Menteri mesti singgah ke Pasir Gudang” dan “Mari kita ajak Datuk Najib ke Pasir Gudang”, “Malu Apa Bossku pergi Pasir Gudang”, itu antara kata-kata yang dibualkan oleh orang ramai.

Semasa di restoran itu, Najib meluangkan masa bersalaman serta beramah mesra dan menunaikan permintaan orang ramai untuk berswafoto dengannya selain turut kedengaran laungan Malu Apa Bossku lebih 10 kali.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudian solat maghrib di Surau An Nur Taman Stulang Laut sebelum bergerak ke RnR Bistro di Bandar Baru Uda untuk program bersama-sama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Najib memulakan programnya di Johor dengan berkunjung ke Batu Pahat, beliau meluangkan masa minum petang bersama-sama pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan rakyat menerusi Lepak Santai di Restoran Content, Parit Raja.

Menerusi entri di Facebook beliau, Najib memaklumkan mengenai pertemuan ringkas dalam program tersebut yang mana rata-rata anak muda yang ditemui menunjukkan kerisauan dan kegelisahan mengenai ekonomi lembab, tiada peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin masyarakat di negeri ini sebelum melawat medan niaga Kampung Melayu pada 11 pagi dan ke Angsana Mall pada 5.30 petang hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment