Tumpang bertemu Hasni Sabtu lepas bertanyakan apa lagi mahu ditulisnya setelah nukilannya tersiar dalam akhbar Tumpang bertajuk: “Keganjilan di negeri Ujong Tanah”.
Dan kebetulan dua hari selepas tulisan Ketua Pembangkang Johor itu tersiar, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari semasa berucap pada majlis sesi pemukiman kerajaan negeri Johor bersama Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan di Putrajaya, mahu Johor memperjuangkan hak mereka dalam isu penjualan air dengan Singapura.
Dan ingatan Dr. Mahathir ini pastinya ditujukan khas buat Menteri Besar, Osman Sapian.
Ini balas Hasni:
“Kita dapat simpulkan bahawa kerajaan negeri tidak berani dan berterus terang untuk mengambil pendirian yang sewajarnya dalam memperjuangkan isu ini.
Sikap wait and see serta mengikut telunjuk Dr. Mahathir tidak patut dianggap sebagai satu ‘pendirian tegas’. Ini kerana kerajaan negeri sendiri berhak bersuara dan mempunyai pendapat sendiri yang munasabah terhadap perkara berbangkit ini.
Pendirian kerajaan negeri Johor yang terdahulu amat jelas. Kami mahu harga air mentah yang dibekalkan ke Singapura dinaikkan kepada satu kadar yang bersesuaian mengikut keadaan semasa.
Kami juga tidak segan dan berani memaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan hal tersebut.Setelah berdekad lamanya isu ini cuba untuk diselesaikan, terutama sekali oleh Perdana Menteri keempat kita dahulu.
Namun akibat daripada cara pembawaan dan sikap beliau, usaha yang dilakukan tidaklah membuahkan hasil yang sepatutnya.
Kini, sekali lagi beliau berhasrat untuk kembali melakukan perkara sama.
Tidak ada yang akan berhasil kerana orang sama mengetuai kerajaan kini, yang dahulunya telah gagal dalam menaikkan harga jualan air mentah ke Singapura. Maka ingin saya tanya, apakah bezanya?”.
BILA MB TIDAK LAGI BERMINAT BELI AIR TERAWAT...
BEGITUPUN Hasni lebih terpanggil untuk mengulas rancangan Menteri Besar pada Jumaat lepas untuk tidak lagi mendapatkan bekalan air terawat dari Singapura.
Osman yang membangkitkan perkara itu ketika berucap menutup sesi pemukiman yang sama di Putrajaya memberitahu, Johor mahu menampung sendiri keperluan sumber itu.
Dan tegas Hasni: “Air suatu komoditi penting yang perlu ada penguasaan. Untung berniaga adatlah, tetapi bukanlah berniaga dengan air. Ahli perniagaan tidak boleh nampak untuk buat keuntungan berlebihan sahaja.
Inilah yang saya katakan satu lagi keganjilan di negeri Ujong Tanah.”
Hasni menarik perhatian, dalam terma-terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Air Sungai Johor 1962, Singapura mempunyai hak untuk mendapatkan 250 juta gelen air sehari dari Sungai Johor dengan bayaran 3 sen untuk setiap 1,000 gelen.
Manakala Johor akan membeli air terawat dari Singapura pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Dalam perjanjian itu Johor diperuntukkan dua peratus atau 5 juta gelen air terawat pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Ini bermakna perjanjian itu membolehkan Johor membekalkan 5 juta gelen air pada kadar harga berkenaan.
Namun, kata Hasni, apabila Menteri Besar membuat kenyataan tidak lagi berminat mendapatkan bekalan air terawat dari Singapura, yang BN/UMNO Johor persoalkan:
“Bukankah air terawat 50 sen yang dibeli dari Singapura itu jauh lebih murah berbanding kos RM1.80 yang dikenakan oleh SAJ-Ranhill (penyedia dan pengurus perkhidmatan air Johor).
“Sepatutnya air terawat yang dibeli dari Singapura ini boleh menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Jelas Hasni lagi, dengan persetujuan melalui Perjanjian 1962, jualan dua peratus air terawat kepada Johor bersangkut-paut dengan kemudahan-kemudahan lain yang Singapura peroleh seperti kedudukan Loji Rawatan Air (LRA) republik itu yang berada dalam Johor iaitu LRA Tai Hong di Kota Tinggi.
“Bila ada tempoh perjanjian (masih berbaki 42 tahun lagi yang berakhir sehingga 2061), maka kalau Menteri Besar kata tidak mahu beli lagi air terawat, itu bermakna suatu tindakan yang mensia-siakan kemudahan yang ada.
“Dua peratus bersamaan 5 juta gelen air ini adalah kemudahan diberi kepada kita. Sepatutnya kerajaan negeri beri tumpuan pada usaha mengambil alih SAJ-Ranhill kerana hanya Johor syarikat airnya dimiliki oleh pihak swasta berbanding negeri-negeri lain.
“Oleh kerana air komoditi strategik, faedahnya meluas kepada rakyat Johor jika dimiliki oleh kerajaan negeri.
“Antaranya tarif air boleh diturunkan kerana keuntungan dari perniagaan air tidak boleh berlebihan. Malah keuntungannya terkawal yang dibuat urusan jual beli dalam industri air,” katanya.
Tambah Hasni lagi kepada Tumpang: Tindakan Menteri Besar ini ibarat kata pepatah Melayu, ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
“Sudahlah dia (Singapura) duduk, sewa, dapat lagi 250 juta gelen air...banyak terima manfaat, kita (Johor) macam ini juga.”
Malah, Hasni difahamkan, dengan hubungan baik Singapura-Malaysia, republik itu kerap juga menjual lebih dari 5 juta gelen air kepada Johor sehingga mencecah purata 15 atau 16 juta gelen sehari atas permintaan kerajaan negeri, misalnya semasa musim kemarau.
Balas Hasni: “Benda yang Tuhan bagi kita tidak ambil kemudahan itu. Kalau kita anggap 3 sen (untuk setiap 1,000 gelen dari keseluruhan 250 juta gelen yang dijual kepada Singapura) ini suatu yang tidak munasabah.
“Tindakan Menteri Besar tidak menggunakan kemudahan 5 juta gelen sehari ini juga suatu tindakan tidak munasabah.
“Itu satu kenyataan (MB) yang beremosi. Saya anggap ia pertimbangan yang tidak wajar dan mendesak kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada melalui perjanjian air Johor-Singapura,” kata Hasni lagi.
Apa agaknya respons Osman kepada hujahan Hasni?
Tumpang tunggu....Zulkifli Jalil
bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
ReplyDeletedaripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^