Friday, November 2, 2018

ICERD Hapus Hak Istimewa Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Meratifikasi atau me­ngesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan mengakibatkan berlakunya penghapusan kepada hak istimewa orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berterus terang berhubung tujuan ratifikasi dilakukan bagi mengelakkan berlakunya bantahan, sebaliknya mereka menuntut Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan.

“Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar bersifat diskriminasi kaum yang dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan akan dimansuhkan.

“Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan kaum bumiputera, mereka mengatakan bahawa pengesahan tidak melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Abdul Hamid mendakwa, alasan yang diberikan kerajaan untuk memansuhkan Perkara 153 walaupun tidak pernah menyatakannya secara jelas adalah peruntukan tersebut menghalang kepada perpaduan dan pemansuhannya mampu merealisasikan usaha tersebut.

“Dalam kata lain, hapuskan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera dan berikan hak sama, perpaduan akan wujud. Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Semua pihak perlu sedar,” tegasnya.

Abdul Hamid berkata, sehingga ke hari ini, Malaysia adalah satu daripada 15 negara yang tidak mengesahkan ICERD termasuk Brunei dan Israel.

Beliau turut mengingatkan mereka yang berjuang untuk meratifikasi konvensyen ber­kenaan supaya jangan cuba memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara teruk kerana Amerika Syarikat (AS) baharu sahaja berbuat demikian pada 1992.

Katanya, Malaysia juga sebelum ini sudah meratifikasi tiga konvensyen iaitu Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (1979), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (1989) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (2006), namun perkara itu tidak dilakukan oleh AS.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment