Wanita, kanak-kanak Rohingya dikurung, dibakar hidup-hidup
RAKHINE - Dikurung dan dibakar hidup-hidup, demikian nasib sekumpulan 30 wanita dan kanak-kanak Rohingya semalam yang menjadi mangsa kekejaman baharu tentera Myanmar di negeri Rakhine.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa yang sepatutnya melindungi orang awam itu berlaku di Kampung Yay Khae Chaung Khwa Sone, di utara Maungdaw, memperlihatkan etnik Rohingya Islam dilayan tidak ubah seperti haiwan.
Blog RB News yang memetik kenyataan penduduk tempatan melaporkan, mangsa yang dikurung cuba melarikan diri namun gagal berbuat demikian.
Menurut Pertubuhan Arakan Rohingya Kebangsaan, itu hanyalah sebahagian daripada penderitaan yang ditanggung oleh etnik minoriti tersebut sejak kembali menjadi sasaran tentera serta penduduk Buddha bulan lalu.
Pertubuhan itu mengutuk sekeras-kerasnya cubaan penghapusan bangsa Rohingya yang dilakukan kerajaan dalam pelbagai bentuk termasuk pembunuhan beramai-ramai, rogol dan merampas harta penduduk.
Jelas badan tersebut, tentera Myanmar turut menggunakan helikopter, meriam dan kereta kebal ketika menggempur kampung-kampung etnik Rohingya.
“Mereka yang cuba melarikan diri akan dihalang dan ditembak menggunakan mesingan di sawah-sawah padi dan anak sungai.
“Antara kampung yang menjadi sasaran tentera adalah Myaw Taung, Dargyizar, Yekhechaung Kwasone, Pwinpyu Chaung, Thu Oo La, Longdun, Kyin Chaung dan Wabaek di utara Maungdaw,” jelas kenyataan badan itu.
Pertubuhan Arakan Rohingya Kebangsaan memaklumkan, sejak ketegangan meletus di Rakhine pada 9 Oktober lalu, angka korban penduduk Rohingya kini mencecah 350 orang manakala 300 yang lain cedera.
“Banyak gadis dan wanita dirogol sementara lelaki pula ditahan tanpa sebab kukuh,” menurut badan tersebut.
Selain itu, sebanyak 3,500 buah rumah dibakar atau dimusnahkan, mengakibatkan sekurang-kurangnya 30,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Mengukuhkan dakwaan itu, kakitangan badan kebajikan dan pihak berkuasa Bangladesh menganggarkan, sebanyak 500 penduduk Rohingya dari Rakhine telah menyeberang ke negara tersebut sejak bulan lalu.
Mereka kini ditempatkan di empat buah kem berhampiran sempadan Bangladesh-Myanmar.
Bagaimanapun, pengawal sempadan Bangladesh semalam terpaksa menolak kemasukan sekumpulan besar pelarian Rohingya ke negara itu.
“Sebanyak 86 penduduk Rohingya cuba memasuki Bangladesh di Teknaf awal pagi semalam dengan menaiki bot. Mereka terpaksa diusir,” kata pegawai pemerintah tentera di Cox’s Bazar di timur Bangladesh, Leftenan Kolonel Anwarul Azim.
Reuters melaporkan, kumpulan pelarian itu tidak mungkin berpatah balik ke kampung mereka yang masih dipenuhi tentera Myanmar. – REUTERS
No comments:
Post a Comment