Bahkan, di pekarangan Parlimen pada hari berkenaan difahamkan kedengaran luahan seorang wakil rakyat bukan Islam yang mungkin telah dimaklumkan oleh rakan-rakan Islamnya berhubung inti pati taklimat: “Oh! kalau begini tak apalah, ingatkan sampai potong tangan.”
Namun yang amat menghairankan apabila geng dalam media sosial menghentam teruk majlis perjumpaan dan taklimat yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu. Mengapa pula mesti marah? Kalau duduk dengan orang bukan Islam boleh pula. Tetapi dengan sesama Islam boleh naik angin. Pelik sungguh?
Tambah menjengkelkan lagi apabila Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad memberi gambaran bahawa taklimat khas rang undang-undang kepada semua ahli parlimen beragama Islam itu seolah-olah orang Melayu sedang berkomplot terhadap wakil rakyat bukan Islam.
Wakil rakyat bukan Islam dilihat tidaklah syak wasangka sehingga sedemikian rupa tetapi malangnya Khalid pula yang berlebih-lebih sehingga mahu meletakkan ‘skru prasangka’ itu ke dalam fikiran mereka. Andaian negatif Khalid sangat prejudis. Janganlah semua perkara hendak dipolitikkan.
Hal ini urusan agama Islam. Islam melarang setiap umatnya berprasangka buruk sesama Islam. Mengapa apabila dengan pemimpin DAP, sentiasa sahaja Khalid dan orang partinya boleh bersangka baik? Apa hendak jadi dengan ahli-ahli PAN ini? Di manakah integriti mereka?
Rang undang-undang berkaitan pemerkasaan mahkamah syariah bukanlah isu yang mencetuskan salah faham dan syak wasangka berterusan sebaliknya berpunca daripada kerenah Khalid sendiri yang cuba mengandaikan macam-macam.
Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat ke 12:”Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada berprasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan orang lain.”
Hakikatnya, semua pihak harus menghormati dan menyanjung tinggi perkongsian dan kesepakatan untuk duduk berbincang sesama ahli Parlimen Islam itu. Walaupun berbeza ideologi politik, namun semua ini petanda kepada kesatuan umat Melayu yang teguh.
Tidak harus berasa malu untuk menghulurkan salam persahabatan atau ukhuwah antara orang UMNO dan Pas. Tidak juga dinafikan sentimen dendam dan marah Pas terhadap Barisan Nasional (BN) semasa era 70-an masih ada. Namun keterbukaan Pas yang tidak terlalu taksub telah merintis ruang untuk memperkukuh kesatuan umat Melayu Islam di negara ini.
Malah Pas kebelakangan ini dilihat begitu progresif dalam setiap tindakannya. Ini sesuai dengan Islam yang sentiasa menggerakkan umatnya ke hadapan. Bukan mundur ke belakang. Sebab itu Pas banyak melakukan ijtihad politik yang berdasarkan kepada nas syarak.
Dalam pada itu pendirian tegas Pas yang disuarakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak himpunan jalanan haram Bersih 5.0 disifatkan sebagai usaha menyediakan jambatan untuk UMNO-Pas duduk semeja demi Islam.
Mengambil kesepakatan dalam taklimat rang undang-undang 355 pada Selasa lalu itu, seharusnya usaha itu terus digerakkan. Perubahan perlu dimulakan. Inisiatif memperbanyakkan program bersama UMNO-Pas yang bukan berlandaskan politik wajar diadakan.
Misalnya, pada peringkat Pemuda kedua-dua parti itu, mereka boleh disatukan dalam program berbentuk santai seperti sukan atau minum bersantai. Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa yang kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) pula dilihat mampu menganjurkan program-program bersesuaian berkaitan wasatiyyah.
Seminar pemikiran pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Mursyidul Am Pas sebelum ini, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din turut boleh dimuatkan dalam program. Jangan jadikan masalah komunikasi dan prejudis sebagai jurangnya.
Diharapkan juga parti-parti komponen BN yang lain seperti MCA, Gerakan dan MIC tidak pandang serong. Apa salahnya UMNO-Pas berbincang soal Islam. Pedulikan juga apa yang DAP dan PKR atau PAN akan lontarkan.
Bukankah UMNO dan Pas dianggotai oleh orang Islam. Sama-sama bersaksikan tiada Tuhan selain Allah dan bersaksikan bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Runtuhkan tembok pemisah ini. Takkanlah setelah 59 tahun kita merdeka, perlu didodoikan lagi dasar pecah perintah penjajah ini.
Tidak bolehkah UMNO-Pas munasabah diri, duduk bersama tanpa prejudis dan politik? Apa yang penting akhlak perlu dipelihara, supaya tidak ditempelak berprinsip tetapi tidak berakhlak.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa yang mencari reda Allah, manusia akan marah, sedangkan Allah reda. Akhirnya manusia juga akan reda. Siapa yang mencari reda manusia, Allah akan murka dan akhirnya manusia juga akan marah.”
No comments:
Post a Comment