PERHIMPUNAN Agung UMNO minggu depan bukan sahaja harus menjadi medan untuk parti itu memperkasakan kedudukannya dalam kalangan orang Melayu malah lebih penting daripada itu perlu menampilkan kembali UMNO sebagai pejuang Islam.
Berdasarkan situasi ketika perhimpunan haram Bersih pada Sabtu lalu, UMNO tidak perlu lagi berasa malu atau bimbang untuk kembali kepada jati diri asalnya sebagai pejuang Melayu dan Islam.
Selama ini mungkin UMNO tidak mahu menonjol dalam bab itu kerana mahu menjaga hati pengundi bukan Melayu khususnya penyokong komponen Barisan Nasional (BN), tetapi keputusan pilihan raya sejak kebelakangan ini termasuk pilihan raya kecil telah menunjukkan kelompok tersebut tidak lagi bersama kerajaan.
Dan ini semakin jelas dengan paparan wajah-wajah yang menyertai perhimpunan haram Bersih. Penulis tidak perlu menyebut siapa mereka atau kelompok mana kerana semua orang tahu, tetapi apa yang mahu diperkatakan cukup-cukuplah UMNO menjaga hati pihak-pihak berkenaan.
Selama ini UMNO dilihat terlalu berhati-hati untuk memperkatakan soal orang Melayu dan umat Islam, kalau adapun setakat berdegar-degar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Perhimpunan Agung UMNO sahaja, dari segi tindakan entah ke mana.
Keadaan itu berlaku kerana UMNO masih lagi mengharapkan kaum lain untuk menyokong BN sedangkan sudah jelas dan nyata, yang betul-betul setia dengan UMNO ialah orang Melayu. UMNO sepatutnya memperkukuhkan sokongannya dalam kaum itu bukannya dilihat mahu ‘menyembah’ untuk mendapat undi daripada kaum lain.
Janganlah kerana terlalu mahu menjaga hati kaum lain, UMNO teragak-agak dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan mempertahankan hak mereka serta membela agama Islam. Perlu diingatkan UMNO berkuasa sehingga kini kerana sokongan orang Melayu, oleh itu balaslah jasa mereka dengan sewajarnya.
Tetapi masalahnya ada ketika UMNO terlalu bimbang dengan reaksi rakan-rakan dalam komponen berkaitan perjuangan Islam sehingga akhirnya isu itu diabaikan begitu sahaja.
Sedangkan kalau dikaji, ada sesetengah parti dalam komponen BN benar-benar memperjuangkan hak kaum mereka seolah-olah tidak mempedulikan perasaan UMNO. Mereka membuat tuntutan dan desakan kepada kerajaan dalam isu tertentu khususnya pendidikan tanpa mempedulikan apa kata UMNO atau orang Melayu.
Bagaimanapun UMNO tidak bersikap demikian. UMNO terlalu mahu menjaga hati sehingga akhirnya menyebabkan orang Melayu merasa bosan kerana merasakan UMNO tidak boleh lagi diharap untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka. Walaupun dakwaan ini mungkin tidak benar tetapi itulah hakikat yang berlaku sehingga sokongan orang Melayu kepada UMNO semakin menipis. Kelompok berkenaan mencari parti alternatif sehingga mengakibatkan orang Melayu terus berpecah manakala pihak lain mengumpul kekuatan seperti mana dapat dilihat ketika perhimpunan haram Bersih.
Oleh itu Perhimpunan Agung UMNO kali ini amat penting. Ia bukanlah pentas bersandiwara apatah lagi beretorik, tetapi medan untuk menjelmakan semula UMNO sebagai pejuang orang Melayu dan umat Islam. UMNO bukanlah seperti PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau PAN yang ditubuhkan atas perasaan kecewa, tetapi UMNO ditubuhkan atas keringat dan airmata orang Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu dan agama Islam berdaulat di bumi Malaysia.
Namun UMNO perlu mengakui kekuatan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut semakin longgar dan bila-bila masa sahaja boleh terlerai jika parti itu tidak bangkit untuk melakukan perubahan khususnya dalam memantapkan perjuangan bagi orang Melayu dan umat Islam.
Dalam memperjuangkan Islam, UMNO tidak boleh teragak-agak dalam menyatakan pendirian. Ramai penganalisis politik berpendapat, UMNO perlu menyokong Rang Undang-undang 355 (RUU355) bagi memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah yang akan dibentangkan oleh Pas.
Pembentangan tersebut bukanlah bertujuan politik tetapi semata-mata bagi memperkasakan mahkamah berkenaan. Kalaulah parti-parti lain khususnya yang mewakili kaum bukan Melayu boleh bersatu menentangnya kenapa UMNO tidak boleh bersama Pas dalam soal ini?
Perlu difahami pindaan undang-undang tersebut hanya melibatkan orang Islam dan ini sama sekali tiada kaitan dengan bukan Islam, oleh itu mereka tidak perlu menyibuk atau ‘tidur tidak lena’. Sebenarnya puak-puak tersebut khususnya DAP bimbang, jika UMNO menyokong RUU 355, akan memberi isyarat awal penyatuan orang Melayu dan umat Islam.
Penyatuan itu bukanlah bermakna bergabung atau bermaksud Pas masuk UMNO atau UMNO masuk Pas, sebaliknya hanyalah kerjasama dalam memperjuangkan sesuatu isu demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Inilah yang ditakuti DAP.
Selama ini parti itu boleh menjadi ‘taiko’ dalam pembangkang dengan menghalang Pas memperjuangkan agenda Islamnya, tetapi sekarang Pas tidak lagi bersama mereka, oleh itu kalaulah Pas membuat keputusan untuk bergabung dengan UMNO demi menegakkan syariat Islam, maka ini akan dianggap ‘petaka’ politik kepada pembangkang.
Atas sebab itulah dalam isu-isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, UMNO tidak boleh teragak-agak menyatakan pendirian waima kalau isu itu diperjuangkan oleh Pas sekalipun.
Soal bertarung dalam pilihan raya, itu soal kedua, apa yang penting janganlah orang Melayu melemahkan satu sama lain sedangkan ada pihak mengumpul kekuatan melalui perpecahan orang Melayu.
Oleh itu jadikanlah perhimpunan agung kali ini sebagai pentas untuk menampilkan semula keberanian UMNO dalam memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam. Ingatlah nyawa politik UMNO ditentukan oleh orang Melayu bukannya kaum lain, biar sebesar mana pun jasa UMNO kepada mereka. - Zulkiflee Bakar
No comments:
Post a Comment