Bukan sahaja sakit mata memandang, malah penggunaan nama dan istilah berunsurkan Barat di kebanyakan tempat di negara ini seolah-olah meletakkan bahasa kebangsaan di tangga kedua atau ketiga dalam jiwa rakyat Malaysia.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan mendapati, pemaju projek pembangunan lebih memilih untuk menggunakan nama yang dianggap canggih dan mempunyai nilai komersial tinggi untuk menarik minat pembeli.
Dalam masa sama, di lokasi tumpuan pula, nama sebegitu diguna pakai untuk meningkatkan daya tarikan pengunjung untuk datang ke kawasan tersebut sama ada untuk beriadah, melepak atau menghabiskan masa lapang.
Di sesetengah tempat, nama sedia ada pula menggunakan istilah Inggeris untuk kelihatan lebih maju dan bersifat kebandaran sedangkan tiada salahnya jika nama asal tempat tersebut dikekalkan.
Apa yang menyedihkan, tindakan ini seolah-olah dilihat tidak memberi apa-apa implikasi kepada masyarakat sedangkan pada hakikatnya jika keadaan tersebut berterusan, tidak mustahil dalam beberapa tahun lagi mungkin perkataan bahasa Melayu terus hilang.
Di Dengkil, Selangor misalnya, sebuah projek perumahan yang terletak di Taman Intan dibangunkan dengan nama Diamond Park.
Di Kajang, tempat baharu cuba dimodenkan dengan menggunakan nama Bangi Walk, Southville City dan macam-macam lagi.
Dalam pada itu, penggunaan perkataan boulevard, waterfront, garden semakin giat digunakan selain nama jalan yang mengaplikasikan nama pinjaman daripada negara luar.
Yang menjadi persoalan, mengapa keadaan ini seolah-olah tiada kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) malah sudah menjadi trend?
Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan nama-nama ini dan adakah bahasa kebangsaan terlalu sengkek sehingga tidak diberi keutamaan dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, sesetengah tempat pula meminjam perkataan Inggeris dan cuba dimelayukan misalnya Pusat Koreksional yang sebenarnya boleh digantikan dengan pusat pemulihan atau pusat latihan.
Mungkin dari segi ejaan dan penggunaan bahasa pinjaman itu tidak salah, tetapi adalah lebih baik jika namanya dikekalkan dalam konteks penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.
Dari sudut lainnya, bagaimana keunggulan budaya dan kekayaan sifat ketimuran hendak diketengahkan jika kita secara terus memberi peluang kepada budaya luar untuk mencari tempat dalam jiwa masyarakat kita. Tepuk dada tanya selera.- utusan
No comments:
Post a Comment