Mahu balik rumah pun kena jawab soalan
“MAU pigi mana?” Setiap daripada kita mungkin biasa mendengar soalan itu. Tidak ada yang peliknya.
Setakat ditanya, “Hendak ke mana?” Jawab sajalah.
Namun sejak minggu lalu, soalan yang mungkin biasa di telinga itu menjadi cukup pelik dan janggal setiap kali penulis mendengarnya.
Setiap hari, dua tiga kali sehari, soalan yang sama diulang-ulang, secara rasminya sejak minggu lalu.
Balik dari pasar, ditanya: “Mau pigi mana?”
Balik dari sekolah membeli buku anak, ditanya: “Mau pigi mana?”
Balik dari kerja - dalam keadaan badan penat dan mata hanya nampak bantal pun ditanya: “Mau pigi mana?”
Setelah hampir dua dekad menjadi penghuni kawasan perumahan tempat penulis tinggal di Shah Alam, penulis terpaksa menjawab soalan pelik ini setiap kali mahu pulang ke rumah.
Semuanya gara-gara kawasan perumahan penulis ‘dinaik taraf’ menjadi ‘guarded community’ atau komuniti dengan kawalan keselamatan.
Jika mengikut notis pekeliling yang diedarkan oleh jawatankuasa penduduk, sebanyak 40 peratus penghuni taman perumahan bersetuju dengan langkah memasang palang dan mengupah syarikat keselamatan mengawal kawasan kejiranan kami. Namun tahu-tahu sahaja palang sudah dipasang, pondok pengawal sudah dibina dan jaga warga asing sudah berkawal menahan kenderaan yang mahu masuk ke kawasan perumahan penulis. Tidak tahu pula sejak bila jumlah 40 peratus itu dianggap majoriti.
Namun itulah hakikat yang perlu diterima penghuni kebanyakan taman perumahan di kawasan bandar termasuk tempat tinggal penulis di bandar raya Shah Alam ini.
Bukan lagi terhad untuk kawasan mewah, taman perumahan dengan kediaman jenis teres dua tingkat bahkan setingkat pun sudah menjadi ‘gated and guarded community’. Semuanya berpagar, berpalang dan dikawal oleh jaga daripada syarikat kawalan keselamatan tertentu yang diupah oleh persatuan penduduk.
Penulis masih ingat, pernah sekitar awal tahun 2000, kecoh sekejap di negara kita apabila pemasangan jeriji rumah oleh penghuni untuk tujuan keselamatan khususnya mengelakkan kes pecah rumah, dipertikaikan. Sebabnya terdapat kes mangsa kebakaran terutama kanak-kanak yang maut gara-gara tidak dapat keluar menyelamatkan diri kerana jeriji berkunci.
Kini setelah lebih sedekad berlalu, jeriji yang dipasang di sekeliling rumah nampaknya belum cukup untuk menghalang pencuri. Lantas tahap keselamatan perlu ditingkatkan lagi dengan menggaji jaga - atau lebih tepat warga asing - mengawal kawasan rumah kita pula.
Maka jadilah seperti apa yang perlu penulis lalui sejak minggu lalu. Mahu pulang ke rumah sendiri pun terpaksa ‘menjawab’ soalan jaga terlebih dahulu.
Melihatkan kawasan komuniti berpagar dan berpengawal ini tumbuh macam cendawan selepas hujan membuatkan kita tertanya-tanya, “memang sudah tidak selamat sangatkah tempat kita tinggal ini?” Sampaikan semuanya perlu dipasang jeriji, pagar dan palang serta diletakkan pengawal berjaga 24 jam?
Atau ini hanya strategi untuk menaikkan nilai rumah dengan ciri keselamatan tambahan sebagai ‘gated and guarded community’ - konsep yang semakin popular di negara kita ini.
Di saat-saat kita menuju status negara maju berpendapatan tinggi lebih kurang empat tahun lagi, adakah ini ciri-ciri yang perlu ada dalam komuniti? Bukankah kawasan kediaman penduduk di negara maju seperti di United Kingdom, Kanada dan Switzerland, cukup terkenal dengan tidak berpagar dan berjeriji?
Jadi kenapa pula keadaannya berbeza di negara kita? Seolah-olah terbalik. Semakin maju negara, semakin tidak bebas dan ‘tertutup’ pula kehidupan masyarakat. Sehinggakan terpaksa hidup seolah-olah dalam ‘kurungan’ di rumah sendiri.
Penulis tidak tahu jawapan untuk persoalan ini.
Apa yang penulis tahu, penulis sudah bersedia dengan jawapan jika ditahan lagi oleh jaga warga asing itu ketika pulang ke rumah nanti.
“Mau balik rumahlah, mau pigi mana lagi!” - Coretan Marhaen
No comments:
Post a Comment