KEPADA yang mencari-cari erti kehidupan dan terjumpa Islam dalam pencarian, tentunya mereka akan bertanya kenapa Tuhan jadikan kita.
Tuhan indah dan Tuhan suka kepada keindahan, pesan Nabi Muhammad tentang Yang Maha Esa. Antara banyak-banyak keindahan, keindahan yang paling Tuhan suka ialah yang bernama manusia. Apakah yang Tuhan letak pada manusia yang menjadikannya sesuatu yang indah tetapi juga istimewa?
Manusia dijadikan Tuhan untuk menjadi khalifah di muka bumi. Sebagai khalifah kita diberi penghormatan menjadi rahmatan li al-‘alamin iaitu memelihara muka bumi supaya ia menjadi taman syurga di dunia kepada segala penghuninya.
Sebagai khalifah bererti kita mempunyai kaitan dengan segala yang ada di setiap pelosok semesta dan kerana itu mempunyai peribadi yang mencakupi lima entiti iaitu saya, keluarga, jiran dan masyarakat tetangga, alam semesta dan sebagai hamba kepada Yang Maha Esa. Justeru, apabila saya melihat diri, saya juga melihat semua yang berkait dengan saya.
Mungkin juga Tuhan menjadikan kita sedemikian rupa supaya kita tahu bahawa saling bergantung dan berhubung adalah ramuan terbaik untuk menghasilkan ukhuwah dan peribadi yang indah sebagaimana yang terdapat pada semut dan labah-labah.
Sebagai contoh, apabila kita memasukkan sesuap nasi ke dalam mulut, kita akan terkenang ibu bapa kita yang bertitik peluh agar kita dapat mengenyangkan perut, terkenang para petani yang bertungkus-lumus untuk memastikan beras mencurah-curah keluar dari bendang sawah, terkenang alam dan kehijauannya yang tidak putus-putus mendatangkan sumber kehidupan kita dan terkenang kepada Yang Maha Esa yang kerana sayang-Nya pada kita, memastikan rezeki kita senantiasa terjaga.
Justeru, apabila kita memegang sesuap nasi, kita memandang kepada segala yang memungkinkan nasi itu terpampang di depan mata kita dan kerana itu, akan terkesan terhadap peribadi kita tentang bagaimana kita berfikir, berhubung dan bertindak supaya kita membawa kebahagiaan kepada semua dan bukan kesengsaraan kepada mereka.
Sesuap nasi yang kita ada pastinya membuat kita terkenang kepada mereka yang tidak mampu menyara diri dan ini tentunya menggerakkan hati kita untuk mahu berkongsi walau sedikit apa yang kita ada. Ihsan dan belas kasihan adalah nilai kemanusiaan yang cukup mulia di sisi Tuhan dan untuk nilai sebegini terpancar dari lubuk sanubari, ia perlu kepada kita mempunyai sehati sejiwa dengan segala yang ada di luar sana.
Mungkin ada yang bertanya jika hidup kita adalah berkongsi semata, apa pula yang tinggal untuk diri kita sebagai individu persendirian yang mempunyai kemahuan, kreativiti dan karisma untuk memajukan nasib hidup sendiri?
Kita mungkin terkejut untuk mengetahui bahawa semakin banyak kita berfikir tentang yang selain dari kita, kita akan menjadi lebih celik tentang diri kita sebagai individu dan bertambah jelas tentang bagaimana perkongsian yang menjanakan persaudaraan boleh memajukan cita-cita persendirian.
Sehubungan itu, apabila kita hendak melakukan sesuatu yang akan memberikan kepuasan kepada diri sendiri, namun dengan memikirkan tentang kesannya kepada yang selain daripada kita, kita akan fikir banyak kali dan dengan lebih khusyuk dan teliti tentang natijahnya kepada segala yang ada termasuk diri empunya yang bernama saya.
Sekiranya kita lihat kepada curahan nikmat yang melimpah dunia dan kebanyakan manusia berkejar-kejar untuk mendapatkannya, pastinya kita teruja untuk menjadi manusia. Namun apabila kita melihat keghairahan manusia untuk cantas-mencantas antara satu sama lain sehingga sebuah dunia yang indah boleh bertukar wajah, tentunya kita akan bertanya seandainya kita dibiar untuk melakukan apa sahaja yang kita suka, apakah kita akan dapat melihat sebuah kehidupan yang menjelmakan peribadi yang indah sebagaimana idaman kita?
Tuhan jadikan kita supaya suka kepada keindahan kita sebagai manusia. Justeru, Tuhan jadikan kita hidup berkongsian supaya melalui persaudaraan kita boleh memiliki peribadi rahmatan li al-‘alamin yang menghubungkan langit, bumi dan diri dalam pengabdian kepada Ilahi untuk menjadi khalifah yang bijaksana dan berkasih sayang di muka bumi ini.- Dr. Yamin Cheng
หนังออนไลน์ ดูหนัง UglyDolls ผจญแดนตุ๊กตามหัศจรรย์ (2019) ดหนังฟรี สนุกได้ทุกวัน
ReplyDeletehttps://www.doonung1234.com/