Pencinta bahasa Melayu yang dianggap kelompok yang pemikirannya tersasar jauh sehingga boleh disifatkan tidak normal dan rasional, selain berbahaya, sesungguhnya adalah mereka yang amat prihatin dan cakna kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini.
Selain bangga, sayang dan setia kepadanya, kelompok ini amat mengetahui, lalu menyedari untuk diinsafi nilai bahasa Melayu kepada negara ini. Oleh itu, mereka tidak akan sesekali membenarkan bahasa Melayu dikesampingkan di tanah watannya oleh rakyatnya sendiri. Oleh itu, sebarang usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris yang didapati akan menggugat kedudukan dan peranan bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan.
Mereka bukan fanatik terhadap bahasa Melayu dan membabi buta dalam memperjuangkannya. Sebaliknya mereka amat rasional, misalnya semasa menentang Program Dwibahasa yang ingin mengajar mata pelajaran Sains dan Teknologi dalam bahasa Inggeris, walaupun secara bersekali dengan bahasa Melayu. Ini dilakukan mereka kerana persaingan yang diwujudkan antara dua bahasa ini oleh kita sendiri, pasti akan meminggirkan bahasa Melayu pada akhirnya. Ini didasarkan banyak kes persaingan bahasa lain dengan bahasa Inggeris sebelum ini di serata dunia, yang memperlihat bahasa lain itu tidak diminati lagi oleh komunitinya sendiri, lalu menjadi tidak penting langsung.
Identiti rakyat Malaysia
Hal ini tidak boleh dibiarkan berlaku kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu terlalu bernilai kepada kita semua untuk dihancurkan bahasa Inggeris. Nilai itu terletak pada beberapa perkara. Pertama, bahasa Melayu satu-satunya bahasa yang mampu mengungkapkan identiti rakyat Malaysia dengan baik. Identiti kita sebagai rakyat Malaysia bukan sahaja penting kerana bahasa Melayu jiwa bangsa Malaysia. Ia juga penting untuk rakyat Malaysia dikenali, dicam dan diingati di dalam dan luar negara sebagai satu komuniti yang berbeza dengan yang lain.
Dengan ini, bahasa Melayu akan memberikan rakyat Malaysia ciri dan watak kebahasaan yang tidak sama dengan kelompok lain, walaupun di Nusantara ini. Hanya bahasa Melayu mampu bertindak sebagai penanda utama untuk mempamer identiti bangsa dan negara Malaysia.
Berkait rapat dengan identiti Malaysia ialah sejarah yang merupakan perkara kedua. Dalam konteks ini, bahasa Melayu khazanah sejarah Malaysia, iaitu ia arkib sejarah bangsa Malaysia dalam pengertian bahasa Melayu adalah himpunan sejarah kesemua penuturnya.
Tiada pengganti
Sehubungan ini, bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan hilang, apatah lagi mati lalu pupus, walaupun dalam bentuk peranjakan, iaitu peranan pentingnya digantikan bahasa Inggeris dan ia dikhususkan untuk memperkata hal remeh sahaja. Apabila ini berlaku, bahasa Melayu akan terputus hubungannya dengan peristiwa lampau yang penting.
Gabungan identiti dan sejarah membawa kepada cerminan bahasa Melayu dalam mengungkap dan menginterpretasi kewujudan bangsa Malaysia. Ini adalah perkara ketiga mengenai bahasa Melayu yang besar sumbangannya dalam membina tapak pengetahuan bangsa Malaysia.
Dalam hal ini, bahasa Melayu adalah pengungkapan keseluruhan bangsa Malaysia dan sejarahnya. Ini dapat dilihat dari segi peranan bahasa Melayu dalam menyampaikan peristiwa penting negara, yang dilakukan melalui nahu dan kosa katanya.
Perkara empat adalah bahasa Melayu terlalu indah untuk dikesampingkan. Sehubungan ini, bahasa Melayu dengan bunyi, kata, ayat dan maknanya bukan sahaja mampu membina sistem komunikasi yang berkesan. Ia juga berjaya membentuk kecanggihan yang indah untuk digunakan bagi mencantikkan sastera dan seni negara.
Oleh sebab empat perkara inilah dan bersama-sama yang lain, antaranya taraf linguistiknya sebagai bahasa saintifik moden dan kedudukan sosialnya selaku bahasa kelima terbesar di dunia, pencinta bahasa Melayu berasa bukan sahaja kita berdosa besar kepada leluhur kita yang telah berjaya membinanya sehingga memperlihat sistem perlambangan yang mampu memahami alam semesta dengan baik sekali, jika ia dikesampingkan. Yang lebih penting dari itu ialah mereka juga merasakan kesampingan bahasa Melayu satu tragedi intelektual. Oleh itu, ia tidak boleh dibenarkan berlaku. Pemikiran begini sederhana sekali dan langsung tidak pun bersifat melampau.
Oleh : Teo Kok Seong
Oleh : Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment