Sejarah Pulau Pinang: Antara Mitos Dan Realiti
ADA pihak mendakwa sejarah Pulau Pinang bermula apabila Francis Light menandatangani perjanjian dengan Sultan Kedah, sedangkan kajian-kajian arkeologi menunjukkan bahawa penghunian di Pulau Pinang sudah berlaku beribu ribu tahun dahulu.
Sungguh mengecewakan apabila sebahagian daripada masyarakat Malaysia masih percaya pada mitos bahawa - “Sejarah Pulau Pinang bermula dalam tahun 1786, apabila Kapten Francis Light membuat perjanjian dengan Sultan Kedah.” Mitos ini dipaparkan dalam laman web rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Sumbernya ialah Biro Penerangan Pulau Pinang.
Saya menganggap ini sebagai suatu mitos kerana Pulau Pinang telah pun dibuka dan diduduki oleh beberapa kumpulan dari Kepulauan Melayu beberapa dasawarsa sebelum tibanya Light.
Kumpulan dari Sumatera Barat yang diketuai oleh Datuk Nakhoda Intan telah membuka pelabuhan Batu Uban pada 1734.
Beliau telah diberi kebenaran oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah 11.
Pulau Pinang seperti Seberang Perai, adalah sebahagian daripada wilayah pemerintahan Kesultanan Kedah.
Saudara-saudara Nakhoda Intan membuka kawasan-kawasan lain di Bayan Lepas dan Jelutong.
Tidak sah
Seorang lagi yang bertanggungjawab atas pembukaan Pulau Pinang sebelum Light ialah Datuk Janatun yang telah dihadiahkan “100 ekar tanah di pantai barat Pulau Pinang oleh Sultan Kedah.”
Pengikut-pengikut Janatun dan Nakhoda Intan terlibat dalam kegiatan pertanian dan perdagangan.
Fakta-fakta tentang asal-usul Pulau Pinang telah dikaji dan dikemukakan kepada khalayak ramai oleh beberapa sarjana tempatan, antaranya Muhammad Haji Salleh, Md. Salleh Yaapar dan Mahani Musa.
Malah, ahli sejarah, mendiang Rollins Bonney, dalam bukunya tentang sejarah Kedah berhujah bahawa pengambilan Pulau Pinang oleh Light tidak sah dan merupakan rampasan daripada Sultan Kedah.
Ahli arkeologi, Mokhtar Saidan, bersandarkan kajian-kajian arkeologi menunjukkan bahawa penghunian dan penempatan di Pulau Pinang termasuk Seberang Perai sudah berlaku beribu-ribu tahun dahulu dan kedatangan Light hanyalah riak kecil dalam lautan sejarah.
Kenapa fakta-fakta tentang sejarah Pulau Pinang tidak diketahui umum dan tidak menjadi sebahagian daripada pengetahuan arus perdana?
Mungkin kerana kejahilan sebahagian besar golongan-golongan yang berpengaruh dalam masyarakat kita.
Mungkin kerana pendidikan sejarah dalam sistem persekolahan kita yang meminggirkan sejarah sebenar Pulau Pinang.
Memutarbelit
Ini adalah kerana sebahagian daripada subjek sejarah yang masih dipelajari oleh generasi kontemporari diwarisi daripada zaman kolonial British.
Kolonialisme dengan sengajanya menyebarkan beberapa mitos tentang negara-negara dan bangsa-bangsa yang dijajahnya antaranya mitos tentang sejarah.
Mitos yang dimaksudkan saya dinamakan dalam pengajian kolonialisme sebagai mitos penemuan (myth of discovery).
Mitos penemuan ini memutarbelitkan kebenaran sejarah dan cuba memberi gambaran palsu bahawa pihak kolonial yang menemui sebuah negeri atau wilayah dan membukanya, dan secara langsung, membawa “ tamadun” kepada tempat itu.
Pendustaan terhadap sejarah ini mempunyai dua motif yang jahat.
Pertama, untuk mengesahkan penjajahan dan penguasaan kolonial agar semua pihak terutamanya mangsa penjajahan menerima penguasaan terhadap mereka sebagai sesuatu yang memanafaatkan mereka.
Dalam lain perkataan, pengambilan tanah atau perampasan wilayah atau pulau adalah untuk kebaikan mangsa itu sendiri kerana sebelum penjajahan, tidak wujud masyarakat atau budaya atau tamadun!.
Kedua, melalui mitos tersebut, penjajah secara langsung merendahkan martabat, kedudukan dan kemuliaan bangsa atau negara yang dijajah.
Menafikan sejarah
Gambaran yang dicipta adalah seolah-olah tiada sebutir nilai dalam budaya, agama, politik, mahupun ekonomi mangsa kolonialisme.
Segala-segalanya yang wujud sebelum kolonialisme adalah hodoh dan mundur.
Dua motif yang jahat ini begitu ketara dalam beberapa peristiwa yang jauh lebih dahsyat daripada kes Pulau Pinang.
Dalam menonjolkan Kapten James Cook sebagai pengasas Australia, penjajah menafikan sejarah dan tamadun masyarakat pribumi Australia yang telah menghuni benua itu ribuan tahun lamanya.
Penafian ini memudahkan pembunuhan dan penghapusan pribumi Australia tanpa perikemanusiaan.
Begitu juga, pengisytiharan Christopher Columbus sebagai pengasas Amerika bermakna bahawa sejarah tamadun-tamadun pribumi yang kaya seperti Incas dan Aztec dipencil dan dipinggirkan.
Sedangkan hakikatnya sebahagian daripada penduduk pribumi di utara dan di selatan benua Amerika dibunuh dan dihapuskan secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Itulah sebabnya kita wajib memahami mitos penemuan ini dan implikasinya dan jangan hanya percaya tanpa usul periksa.
Kita harus membebaskan minda kita daripada unsur-unsur pemikiran kolonial yang bertentangan sama sekali dengan kemuliaan insan dan keutuhan bangsa.
Unsur-unsur pemikiran kolonial ini lebih bahaya dalam konteks negara kita atas satu sebab lagi.
Penghayatan
Sebahagian daripada masyarakat Malaysia tidak menganggap peminggiran sejarah Melayu Pulau Pinang sebagai isu kerana mereka sendiri kurang menghargai dampak sejarah Melayu khususnya dalam pembentukan identiti negara dan bangsa Malaysia.
Bagi mereka ini, penerimaan sejarah Melayu akan menjejas kedudukan mereka sebagai warganegara. Mereka akan menjadi "warga kelas kedua", kononnya, kerana mengiktiraf latar belakang kemelayuan negara.
Ini adalah satu pendapat yang tidak berasas sama sekali.
Sebagai contoh, warga keturunan Cina generasi kedua dan ketiga di negara Filipina menghargai dan menghayati perjuangan nasionalisme Filipina dan wira-wira nasionalis seperti Jose Rizal dan Andres Bonafacio walaupun mereka adalah daripada masyarakat pribumi.
Warga keturunan Cina di Filipina menerima sejarah pribumi negara itu sebagai sejarah mereka sendiri.
Penghayatan mendalam tentang sejarah negara kita adalah pra-syarat dalam usaha kita mencapai perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara tercinta kita.
Oleh : Dr. Chandra Muzaffar
No comments:
Post a Comment