Gerakan terancang pihak tertentu untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar di sekolah bukan perkara baharu. Ini telah berulang kali dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di negara ini.
Ada beberapa hujah yang mewajarkan bahasa Inggeris dijadikan pengantar di sekolah yang maksud sebenar ialah menafikan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar.
Pertama, mengaitkan kegagalan mewujudkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum dengan dasar pendidikan sekarang. Kedua, membina persepsi bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi.
Ketiga, menuduh dasar pendidikan negara ini menjadi faktor polarisasi kaum. Maka disarankan supaya bahasa Inggeris sebagai pengantar kerana bahasa Melayu tidak mampu menjadi penghubung dalam silang budaya antara kaum.
Keempat, mereka cuba mengalih perhatian kepada Singapura sebagai model negara yang pengantar bahasa Inggeris yang berjaya dalam ekonomi, sosial dan perpaduan.
Saya ada beberapa hujah untuk membuktikan alasan yang ditonjolkan itu tidak benar, atau setidak-tidak boleh dibahaskan. Bagi saya ini lebih untuk merendah-rendahkan dasar pendidikan kita. Ini adalah usaha yang berterusan oleh pihak tertentu bagi membina satu tamadun baharu bukan di atas asas yang telah terbina sejak sekian lama. Caranya dengan menolak bahasa Melayu yang terbukti menyatukan Nusantara suatu waktu dulu.
Sinonimkan bahasa Inggeris dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi adalah helah mudah untuk mengaburi mata fikir masyarakat. Saya tidak pasti di manakah mereka merujuk bahawa bahasa Inggeris menjadi faktor utama penguasaan dalam bidang sains dan teknologi? Sebagai contoh yang dekat dengan kita, angkasawan Malaysia yang menumpang pengembaraan ke angkasa lepas pun terpaksa belajar bahasa Rusia, bukan bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahasa Rusia bukan sahaja menguasai sains dan teknologi malah bidang angkasa lepas di Rusia.
Contoh lain, negara-negara yang ke depan dalam bidang sains dan teknologi selepas Perang Dunia Kedua adalah dari negara yang mendokong bahasa ibunda. Malah mereka terhina bertutur bahasa Inggeris waima dengan orang luar bagi menunjukkan bahasa ibunda mereka sebagai teragung. United Kingdom atau Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi tidak muncul setanding dengan Jepun, Korea Selatan atau China dalam bidang teknologi.
Adakah ini faktor bahasa Inggeris atau iltizam yang tinggi sesuatu bangsa yang menjadi pendorong kemajuan dengan menggunakan bahasa ibunda? Pemimpin China tidak mahu bertutur bahasa Inggeris dalam persidangan antarabangsa tetapi mampu memacu China sebagai kuasa besar yang menyaingi AS dalam banyak sudut termasuk sains dan teknologi.
Suatu alasan yang tidak masuk akal adalah bahasa Inggeris bahasa perpaduan. Hujah saya, pada era 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an, banyak sekolah pengantar bahasa Inggeris di negara ini. Tetapi pada dekad-dekad ini juga tercetus banyak ketegangan antara kaum. Antaranya krisis antara parti Melayu, UMNO dengan parti Cina, MCA tahun 1959, Singapura keluar dari Malaysia tahun 1965 dan rusuhan kaum terbesar pada 13 Mei 1969. Bukankah semua ketegangan antara kaum ini dalam masa bahasa Inggeris berada pada kedudukan tertinggi? Di mana perpaduannya?
Mereka juga mengambil Singapura sebagai contoh negara yang maju dengan menjadikan Inggeris sebagai bahasa pengantar selain menjadi alat perpaduan. Ini hanya satu kaedah untuk membina satu persepsi tetapi pada masa sama menafikan perkara realiti. Persepsinya formula Singapura berjaya kerana bahasa Inggeris menjadi faktornya. Tetapi realitinya politik, sosial dan populasi jauh berbeza dengan negara ini.
Di Singapura tidak ada sekolah vernakular. Sebenarnya tidak ada di mana-mana negara yang membenarkan sekolah vernakular kecuali Malaysia. Di sini jangan kata hendak dihapuskan, hendak berhujah pun tidak boleh. Soalnya kenapa tidak turut mencontohi sistem pendidikan Singapura menghapuskan sekolah vernakular yang menjadi faktor perpaduan?
Maka apabila berdepan dengan gerakan terancang ini, kita perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap disebabkan kita terkena sindrom pemikiran tertawan. Telah dibuktikan golongan profesional yang dilahirkan oleh dasar pendidikan kita banyak yang berjaya ke peringkat dunia. Jangan percaya dakyah mereka bahawa bahasa Melayu kolot.
Oleh : Anekdot Ahad
No comments:
Post a Comment