Insiden rusuhan di Plaza Low Yat yang mencetuskan ketegangan di ibu negara adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ternyata insiden itu telah menguji kita semua betapa hal yang kecil boleh bertukar menjadi rusuhan. Lebih buruk lagi ia dipanaskan dengan sentimen perkauman walaupun hakikat itu cuba dinafikan.
Awang berdoa agar rakyat Malaysia bertenang dan cepat berusaha memulihkan keadaan. Keamanan yang dinikmati adalah harga paling mahal, yang tidak boleh dikorbankan. Jangan jadikan satu insiden ini sebagai petunjuk menakutkan untuk kita bina Malaysia berteraskan Perlembagaan negara, yang menjanjikan harapan buat semua. Tiada sesiapa mendapat faedah daripada ketegangan seperti itu yang sebaliknya hanya memalukan negara di kaca mata pelancong, diplomat dan media asing. Ia juga menyerlah hakikat betapa mudahnya terpercik rusuhan hanya disebabkan manipulasi menerusi media sosial.
Pada Pilihan Raya Umum 2013, rakyat digemparkan dengan berita kononnya 40,000 warga Bangladesh diterbangkan ke Malaysia untuk menjadi pengundi hantu yang isu dijaja oleh pembangkang terutama DAP dan PKR. Terbukti akhirnya ia pembohongan oleh Red Bean Army (RBA). DAP dan PKR menang banyak kerusi atas "ihsan" isu tersebut.
Dalam insiden Plaza Low Yat, ia membawa risiko berlakunya satu rusuhan kaum besar. Bayangkan nasib rakyat terutama yang tidak berdosa jika negara ini ditimpa rusuhan kaum sebagaimana 13 Mei 1969. Kemungkinan ia terjadi tidak boleh ditolak selepas insiden Plaza Low Yat. Apa yang berlalu ini menuntut semua pihak melihat ke hadapan dengan memperbaharui iltizam supaya tidak mudah termakan hasutan dan agar tidak berulang rusuhan.
Lebih-lebih lagi hubungan kaum kita masih rapuh selain keghairahan parti politik ekstrem yang suka menghina agama dan kaum. Sejarah mudah berulang jika kita tidak mengambil iktibar.
Khalid disalaherti?
Apa antara iktibar yang wajar diambil? Awang setuju dengan pandangan ramai, rusuhan di Plaza Low Yat bukan sekadar isu curi, jika benar itu puncanya. Ia lebih daripada itu.Sudah lama sebahagian peniaga di plaza tersebut dikaitkan dengan kegiatan menjual produk dan gajet tiruan di samping penipuan harga. Banyak pelanggan meliputi semua kaum termasuk pelancong Arab selalu menjadi mangsa.
Diburukkan lagi dengan kegiatan gengsterisme dan gejala rasuah penjawat awam. Tauke gengster lebih berpengaruh dan digeruni berbanding pihak berkuasa. Awang tidak ingat bila kali terakhir pihak berkuasa menjalankan operasi cegah gajet dan telefon tiruan di plaza tersebut. Maka inilah masa terbaik untuk membersihkan Plaza Low Yat daripada aktiviti penjualan produk tiruan, gengsterisme dan rasuah. Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat Peguam Negara perlu bertindak memandangkan ia berisiko mencetuskan konflik dan sudah menjadi isu ancaman keselamatan. Lakukan forensik terutama gejala gensterisme dan rasuah. Bongkar dan berkas sesiapa sahaja biarpun tokoh berjawatan besar.
Jika tiada langkah drastik, Plaza Low Yat akan kekal sebagai bom jangka menanti ledakan. Awang juga berharap Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar lebih berhati-hati dalam menangani isu rusuhan Plaza Low Yat supaya tidak menambah luka dan mudarat. Kenyataan beliau pada sidang akhbar berkaitan kes rusuhan tersebut tidak banyak membantu mencari penyelesaian terbaik. Biarpun kita menolak perlakuan jenayah namun kurang wajar membuat rumusan seolah-olah suspek sudah bersalah, mendahului tugas mahkamah.
Setakat ini hanya seorang suspek didakwa. Sentimen kurang senang dengan kenyataan Khalid masih berlegar. Lebih-lebih lagi seorang pemimpin politik Melayu di bahagian yang menulis komen dalam kumpulan sembang WhatsApp ditahan sedangkan para pemimpin pembangkang yang membuat kenyataan liar dan provokatif, terlepas? Mengapa kumpulan yang membelasah suspek di dalam Plaza Low Yat, tidak didakwa lagi?
Inilah antara yang meresahkan akar umbi Melayu. Seorang pemimpin NGO berpesan, janganlah kerana mahu memperlihatkan ketegasan polis, Melayu dijadikan kambing hitam. Awang percaya Khalid sudah dapat semua maklum balas ini termasuk menerusi kenyataan peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyatan bercanggah dengan fakta sebenar seorang lagi anak guamnya. Inilah cabaran Khalid sebagai Ketua Polis Negara, mudah terdedah kepada dakwaan, disalah ertikan malah tohmahan.
Beban yang beliau galas cukup besar, yang semua pihak perlu berikan sokongan. Awang tetap sokong beliau dan yakin Ketua Polis Negara seorang yang lasak, terbuka menerima teguran dan tidak mudah defensif. Beliau juga mesti berlaku adil dan kelihatan berlaku adil, itu salah satu prinsip akauntabiliti dan integriti. Khalid tentu lebih faham. Pada masa yang sama, beri peluang kepada beliau untuk selesaikan kes rusuhan supaya bara benar-benar mampu terpadam dan tidak menjadi api.
Oleh : Awang Selamat
No comments:
Post a Comment