Pihak tertentu diharap tidak terlalu pantas membuat kesimpulan bahawa rusuhan di Plaza Low Yat Kuala Lumpur hanya "kes curi telefon". Ini secara tidak langsung memberi gambaran beratus-ratus orang yang menyerbu ke plaza berkenaan adalah untuk menyelamatkan pencuri telefon.
Tidak bertamadun sangatkah rakyat Malaysia yang sanggup melindungi pencuri? Sebelum ini pun ada kes mencuri walaupun bukan di plaza berkenaan. Tetapi kenapa tidak ada segerombolan yang menyerbu untuk melindungi individu yang dituduh mencuri? Maknanya mungkin ada sebab lain dan bukan semata-mata kes mencuri telefon.
Lagipun berpengaruh sangatkah remaja itu hingga beratus-ratus orang lain mengetepikan undang-undang datang untuk melindungi kerja buruk dia?
Jadi, jangan pantas "menyapu di bawah karpet" sebab-sebab berlakunya rusuhan dan membuat kesimpulan mudah untuk menunjukkan semuanya baik. Ini membuatkan banyak yang tertanya-tanya kenapa remaja berkenaan didakwa terlalu cepat? Dia didakwa di Mahkamah Majistret, Jalan Duta Rabu lalu tetapi mengaku tidak bersalah, dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000. Tertuduh yang berusia 22 tahun diwakili oleh peguam Shaharudin Ali. Janganlah hanya untuk menunjukkan ketegasan, orang Melayu dijadikan kambing hitam. Ini boleh mencetuskan isu perkauman.
Bagaimanapun apabila tertuduh mengaku tidak bersalah, tanggapan bahawa rusuhan itu hanya kes mencuri telefon tidak boleh diterima buat masa ini. Dalam isu ini saya setuju dengan kenyataan seorang peguam Mohd. Khairul Abdul Aziz bahawa Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar tidak patut mengeluarkan kenyataan bahawa anak guamnya mencuri telefon.
Khalid kenalah bertenang dan jangan memberikan gambaran seolah-olah orang Melayu bertindak gila melindungi pencuri telefon. Itu tidak benar.
Saya menyokong desakan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya polis membuat siasatan terperinci terhadap kejadian ini. Tujuannya supaya siasatan tidak cuma tertumpu kepada kes "mudah dan selamat" semata-mata. Sebaliknya perlu mengambil kira sama ada wujud elemen gengsterisme atau faktor-faktor lain.
Saya percaya orang ramai tidak ada masalah kalau polis menahan dan seterusnya mendakwa siapa sahaja yang dituduh mencuri. Cuma mereka tertanya-tanya apa jadi dengan puak dalam kalangan peniaga di plaza itu yang memukul tertuduh? Setidak-tidaknya Rabu lalu mereka turut didakwa untuk menunjukkan tindakan undang-undang tidak memilih bulu. Adalah suatu yang tidak bijak membiarkan persepsi liar bertebaran bahawa ada pihak terlalu pantas didakwa, ada pihak lain seolah-olah dibiarkan.
Saya masih ingat satu kes tragis seorang remaja dipukul hingga mati kerana dituduh mencuri wang dari tabung sebuah masjid. Walaupun remaja itu mencuri tetapi beberapa lelaki yang memukul remaja berkenaan didakwa dan didapati bersalah. Maknanya memukul orang walaupun pencuri adalah satu kesalahan.
Kalau ditanya mereka yang sering ke premis berkenaan, kes tipu harga dan menjual barang tiruan bukanlah suatu yang menghairankan. Ini mungkin dilakukan oleh segelintir sahaja dalam kalangan peniaga di situ tetapi kes ini berlaku.
Tetapi kalau akhbar dijadikan rujukan, tidak ada pula laporan serbuan ke atas premis berkenaan. Ini sama juga dengan pasar malam China Town Jalan Petaling yang terkenal dengan barang palsu tetapi tetapi kebal daripada tindakan undang-undang. Mustahil pihak berkuasa membuat kerja senyap-senyap tanpa memberitahu akhbar kerana kerja lain yang lebih kecil pun mereka heboh memberitahu "satu Malaya".
Akhir sekali jangan ada pihak mencuci tangan menyalahkan media sosial. Saya fikir tanpa media sosial sekalipun, cara pihak tertentu misalnya polis dalam menangani isu rusuhan di Low Yat ini telah mengundang pelbagai persepsi.
Macam ada benda yang hendak ditutup tetapi tidak tertutup. Saya tidak percaya seratus peratus kepada media sosial. Tetapi pada masa sama kita tidak boleh "mengkambinghitamkan" media sosial seolah-olah itu sajalah faktor berlakunya rusuhan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pula tidak perlulah memberikan gambaran tidak tepat apabila berkata mereka memantau media sosial dalam kes rusuhan ini.
Kenapa kes ini? Bukankah SKMM perlu memantau semua kes penyebaran maklumat palsu di media sosial? Kenyataan begini juga menyuburkan persepsi liar tentang rusuhan di Plaza Low Yat.
Sumber : Anekdot Ahad
No comments:
Post a Comment