Berikutan tragedi rusuhan di Plaza Low Yat pada 13 Julai lalu, seorang remaja Melayu telah ditahan dan seterusnya didakwa di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu. Remaja yang dituduh mencuri telefon itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikan jamin RM3,000. Pihak polis mengkelaskan rusuhan itu sebagai ‘kes curi telefon’ tetapi beberapa pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak siasatan dibuat dari pelbagai sudut termasuk kegiatan peniaga penipu pelanggan dan gengsterisme.
Tanpa mempertikaikan tindakan pantas polis mendakwa tertuduh, tetapi banyak pihak juga bertanya apakah tindakan polis kepada ‘berbelas-belas’ yang lain yang khabarnya telah ditahan ekoran rusuhan itu? Mereka bertanyakan tindakan ke atas kumpulan yang memukul tertuduh. Adakah mereka dilepaskan atau apa?
Ketangkasan polis mengambil tindakan wajar diberi pujian. Tetapi isunya sehingga kini hanya seorang remaja Melayu sahaja yang dilihat sebagai punca. Macam ada yang tidak kena. Sebenarnya inilah yang memberikan gambaran tidak tepat seolah-olah wujud tindakan pilih bulu. Persepsinya banyak yang ditahan tetapi hanya seorang remaja Melayu sahaja yang didakwa. Yang lain macam mana?
Adalah diharapkan tidak ada pihak dijadikan dikambinghitamkan semata-mata untuk menunjukkan ketegasan pihak berkuasa menangani rusuhan yang boleh membawa kepada sentimen kaum. Tetapi membiarkan rakyat tertanya-tanya akan membuka ruang kepada pelbagai persepsi liar bukan satu pendekatan bijak mengekang menularnya sentimen perkauman.
Oleh kerana itu adalah sukar untuk mengekang pertanyaan nakal, sampai bila orang Melayu harus dipergunakan untuk menyedapkan hati pihak tertentu? Kalau tidak, kata mereka, segeralah tunjukkan tindakan ke atas ‘berbelas-belas’ lagi. Kalau remaja Melayu itu seorang sahaja, itu bukan rusuhan namanya. Kerana faktanya berlaku rusuhan dan melibatkan jumlah yang besar. Tidak ada salahnya pihak berkuasa mahu meredakan ketegangan tetapi janganlah ada yang jadi kambing putih dan ada yang jadi kambing hitam. Satu lagi berpada-padalah mengugut dengan Akta Hasutan, nanti kurang bisanya.
Sumber : Anekdot Ahad
No comments:
Post a Comment