Cadangan berkenaan dikemukakan oleh seorang pakar kewangan dalam satu program televisyen, baru-baru ini.
“Nasib baiklah dia tidak cadang Hari Raya tahun ini ditangguhkan kerana hendak berjimat,’’ kata seorang lelaki dalam satu laman sosial.
Sememangnya, sejak kebelakangan ini, kita sudah biasa dengan cadangan-cadangan yang kadang-kala seperti tidak masuk akal dan membangkitkan rasa marah orang ramai mengenai hal-hal berjimat cermat.
Hakikatnya, bagi yang berpendapatan rendah, rata-rata mereka sudah tidak tahu apa lagi hendak dijimatkan. Apa lagi perbelanjaan yang hendak dipotong dan apa lagi kemudahan yang perlu dikorbankan.
Kita juga sudah biasa dengan saranan boikot, kalau harga ayam naik, jangan makan ayam, bila kadar tol naik, cari jalan alternatif, kalau harga petrol naik, naik kenderaan awam, jalan kaki atau berbasikal ke pejabat, itu lebih menyihatkan badan.
Cadangan-cadangan yang tidak banyak membantu ini, sebenarnya menambah lagi rasa ‘sesak’ kepala orang ramai. Maka sebenarnya, perlu difikirkan betul-betul sebelum hendak memberi cadangan kepada orang ramai, biarlah bernas. Fikirkanlah juga perasaan golongan rakyat yang berpendapatan rendah yang lebih merasa tertekan dan terbeban. Dan janganlah seperti memperbudak-budakkan mereka. Jika tidak, eloklah duduk diam-diam saja.
Dan apabila ada cadangan yang meminta orang ramai memikirkan agar jangan balik kampung pada Aidilfitri ini untuk mengubah cara perbelanjaan, kerana tidak perlu bayar tol dan bayar petrol selain perbelanjaan sampingan lain di kampung, ini lagilah menjentik-jentik serabut di kepala orang ramai yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup ini.
Apa yang sepatutnya ditekankan di sini ialah berbelanja secara berhemat semasa membuat persiapan Hari Raya. Rancang perbelanjaan. Jika wang tidak cukup untuk petrol dan tol, janganlah banyak berhabis untuk membeli pakaian dan kuih muih.
Jangan cakap trend balik kampung setiap kali musim perayaan perlu diubah kepada yang tidak berduit. Pekerja asing yang membanjiri tempat-tempat awam setiap kali Hari Raya atau cuti umum, pun pasti pulang berjumpa keluarga masing-masing sekiranya keluarga mereka berada di negara ini.
Sudah tentu, wang bukan segala-galanya sehingga kita terpaksa pula mengorbankan hubungan dan nilai kekeluargaan semata-mata hendak jimat petrol dan tidak mahu bayar tol. Hubungan kekeluargaan bukan boleh dibeli dengan wang. Sudahlah kurang harta, kurang pula hubungan sesama keluarga dan rasa insani, apa lagi yang tinggal?
Sedangkan Hari Raya adalah masa untuk bersama-sama keluarga. Yang jarang-jarang balik ke kampung kerana sibuk dengan kerja atau mungkin juga faktor kewangan, tidak dapat pulang selalu, inilah masanya untuk menemui ibu bapa masing-masing.
Bukan saya kata Hari Raya baru hendak jenguk ibu bapa di kampung. Sepatutnya selalu. Tetapi tanyalah semua yang bergelar ayah dan ibu, mereka mahu anak mereka berada di depan mata pada setiap hari lebaran. Sanggupkah kita mengetepikan harapan orang tua, semata-mata mahu berjimat.
Maka baliklah kampung, gembirakanlah hati ibu bapa, sementara mereka masih ada dan berjumpalah dengan sanak saudara. Duit walau dalam payah pun masih boleh dicari dan diikhtiarkan. Ibu bapa jika sudah tiada, tidak akan mungkin ada gantinya lagi.
Oleh : Fauziah Arof
No comments:
Post a Comment