PEMIMPIN Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sentiasa memandang rendah terhadap orang Melayu dan menentang kuat hak keistimewaan orang Melayu serta penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia.
Sifat cauvinis yang tebal pada Chin Peng diakui oleh beberapa bekas pemimpin komunis Melayu.
Seorang pemimpin kanan komunis Melayu menyatakan bahawa Chin Peng sering menyatakan kepadanya secara bersemuka bahawa: ''Bangsa Melayu adalah bodoh, mundur, pemikirannya tidak luas dan hanya berkisar dalam penghidupan kampung yang didiaminya, fanatik agama serta masa dan berpuas hati dengan keadaan mereka yang ada''.
Chin Peng juga tidak menyembunyikan pendapatnya kepada pemimpin komunis Melayu ketika itu tentang penentangannya terhadap status 'bumiputera' kerana ia menggambarkan penguasaan politik orang Melayu terhadap bukan Melayu.
Setiausaha Agung PKM itu juga berhujah golongan pertengahan Melayu adalah 'alat' kepada kerajaan, hasil daripada perancangan British dan kerajaan Malaysia bertujuan meneguhkan pemerintahan mereka menerusi sokongan ramai kaum Melayu.
Golongan pertengahan Melayu juga dianggap oleh Chin Peng bersekongkol dengan golongan kapitalis dan monopolis untuk mengeksploit kekayaan negara.
Pemimpin komunis Melayu mendedahkan pembohongan nyata propaganda PKM kononnya berjuang untuk kesamarataan kaum dan penggunaan semua bahasa sebagai bahasa rasmi.
Ini adalah kerana di dalam PKM, bahasa Cina diguna dengan meluas manakala bahasa lain termasuk Inggeris tidak diendahkan seperti dalam dokumen dan surat arahan parti serta mesyuarat parti.
Chin Peng tanpa berselindung menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa mundur dan terhad daripada segi perbendaharaan istilah dibandingkan dengan bahasa Cina.
Dalam satu mesyuarat PKM pada 1965, dasar kerajaan Malaysia mengutamakan bahasa Melayu disifatkan oleh Chin Peng sebagai diskriminasi dan mendakwa kerajaan memberi layanan rendah terhadap bahasa Cina.
Slogan PKM yang melaungkan perjuangan untuk membina Republik Rakyat Malaya dan sepatutnya bermakna kesetiaan kepada Malaya hanyalah pembohongan kerana kepimpinan PKM memandang kiblat kepada China sebagai asas kesetiaan dan sumber inspirasi.
Pemimpin komunis Melayu mencatatkan perkataan yang disebut oleh ahli-ahli jawatankuasa pusat PKM yang menyifatkan lawatan kerap mereka ke China sebagai 'Hui Chu Kuo', bermakna 'pulang ke tanah ibunda'.
Meskipun kerap disarankan supaya PKM memberi perhatian untuk meraih sokongan orang Melayu, Chin Peng berterusan menolak kerana menganggap sokongan Melayu sebagai tidak relevan.
Chin Peng percaya apabila PKM berjaya merampas kuasa, orang Melayu akan terdorong untuk menerima komunisme dengan memberi contoh sejurus selepas Jepun menyerah kalah pada 1945 dan sebelum kepulangan Tentera Bersekutu, pasukan MPAJA (Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun) telah 'berjaya' memastikan orang Melayu tunduk, dengan ancaman senjata.
Chin Peng juga beranggapan Malaya dan Singapura sebagai satu entiti yang sama, dan ini akan menjadikan bilangan penduduk Cina sebagai kumpulan majoriti yang seterusnya menurunkan status orang Melayu kepada minoriti.
Sumber : Utusan Malaysia
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment