nuffnang

Friday, October 4, 2013

Memahami Sikap Prejudis Cina Terhadap Melayu

Sampai hari ini, sesetengah orang Cina masih menggunakan istilah menghina terhadap orang Melayu. Dalam dialek tertentu, orang Melayu dipanggil dengan nama yang bermakna ‘orang hutan’ atau ‘orang liar’. Maknanya, bangsa yang tidak bertamadun.

Orang Cina yang memeluk Islam dikatakan ‘masuk Melayu’. Jarang ibu bapa Cina membenarkan anak mereka menjadi askar atau polis kerana anggap itu kerja kotor dan eksklusif kepada kaum Melayu.

Premis prejudis ini ialah kepercayaan bahawa budaya dan tamadun Cina lebih tinggi berbanding budaya dan tamadun Melayu. Umumnya, orang Cina boleh menerima ‘ketuanan orang putih’ kerana menganggap tamadun dan budaya Barat lebih superior, tapi tidak terhadap orang Melayu-Bumiputera.

Dipandang sinis
Kejayaan orang Melayu-Bumiputera turut dipandang sinis. Ia biasanya dikaitkan dengan bantuan kerajaan atau hak istimewa yang diberi kepada mereka. Kebanyakan Cina sukar menerima hakikat kejayaan usahawan atau syarikat Melayu-Bumiputera, walaupun ia tulen dan dicapai menerusi kerja keras. Sikap sebegini sebahagiannya berpunca daripada kesukaran menerima hakikat orang Melayu lebih pandai daripada mereka dan sebahagian lagi bertujuan menunjukkan pencapaian mereka sebagai lebih hebat.

Ini pandangan Ye Lin-Sheng, ahli perniagaan tempatan yang mempunyai syarikat di Malaysia, Hong Kong dan Australia dan berpengalaman berniaga di China, Thailand, Singapura, Britain dan Amerika Syarikat. Ibu bapanya migran dari China pada 1931, manakala beliau berkelulusan jurutera dan pernah pelajar di sekolah mubaligh Kristian.

Dalam bukunya The Chinese Dilemma (East West Publishing, Australia, 2003), Ye menulis: “Chinese find it easier to accept domination by white people as they recognised Western superior methods and technology, than by the Malay. Chinese may accept Malay political supremacy, but in their hearts they believe they are superior.

“This arrogance resulted in some blind spots and the inability or unwillingness to give credit to the Malays. They underestimate Malay capability, would not concede that Malay leadership has been very skilled, competent in its political, economic and social management. Chinese seldom attribute Malaysia’s success to the Malays.”

Pandang rendah pencapaian
Ye juga menegur sikap hipokrit sesetengah Cina yang memandang rendah pencapaian Melayu-Bumiputera padahal ramai dalam kalangan mereka mendapat lesen, kontrak perniagaan dan konsesi melalui naungan, kenalan, rasuah dan pelbagai kaedah tidak beretika.

Katanya, daripada 40 bilionaire dan jutawan Cina terkaya Malaysia yang disenarai oleh majalah seperti Malaysian Business setiap tahun, mustahil semuanya melalui titik peluh sendiri. Pasti ada yang dibantu atau mendapat layanan istimewa, sama ada daripada swasta mahupun kerajaan.

Dr Mahathir puji doktor Melayu
Satu contoh pandangan rendah orang Cina terhadap kejayaan dan pencapaian Melayu-Bumiputera ialah ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1989. Lee Kuan Yew tidak yakin doktor Melayu di sini mampu menjalani pembedahan itu. Beliau menawarkan pakar bedah Cina Singapura yang kononnya lebih hebat dan berpengalaman.

Kejayaan beberapa pakar bedah Melayu tempatan menjalani pembedahan itu mendapat pujian Tun Dr Mahathir sendiri. Itupun masih tersebar khabar angin bahawa yang menjalankan pembedahan itu ialah pakar bedah yang dibawa dari Amerika Syarikat.

Ye berkata, antara sikap buruk orang Cina, seperti yang disebut Bo Yang, seorang penulis terkenal dari Taiwan dalam bukunya bertajuk The Ugly Chinaman ialah kasar, bising, bongkak, tidak mengenang budi, memandang rendah pencapaian orang lain dan suka merasuah. Mereka melihat ekonomi sebagai ‘zero-sum game’, justeru, tidak mudah berkongsi atau membuka ruang atau peluang kepada kaum lain. Banyak sektor ekonomi seperti pembinaan, pelombongan, peruncitan, pemborongan dan pembuatan, masih dikuasai peniaga Cina sehingga ke hari ini.

Anggap usahawan Melayu tak tulen
Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaan pelbagai usaha kerajaan termasuk agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang diumumkan dua minggu lalu membantu meningkatkan penyertaan dan pencapaian Melayu-Bumiputera dalam ekonomi. Reaksi umum komuniti perniagaan Cina ialah dasar sebegini bersifat intrusif, tidak adil dan tetap menganggap peniaga dan usahawan Melayu-Bumiputera sebagai tidak tulen, tidak gigih, tidak berkemampuan dan akan menghabiskan apa yang mereka dapat.

Orang Cina pada dasarnya tidak mempercayai kepemimpinan Melayu kerana bimbang akan menggunakan kuasa politik yang boleh mengancam dan menjejas kejayaan, pencapaian dan kewujudan mereka.

Pandangan Ye mungkin menimbulkan kontroversi, terutama dalam kalangan orang Cina sendiri tetapi ia pemerhatian yang jujur dan jelas. Tokoh sejarah, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim mengakui hakikat ini serta mengiktiraf keikhlasan Ye dalam menganalisis hubungan Cina-Melayu dan kebenaran pandangannya.

Oleh : Juhaidi Yean Abdullah

No comments:

Post a Comment