Thursday, June 6, 2013

Pilihlah, Di Mana Mahu Dilahirkan

TIDAK semua orang berpuas hati menjadi warga di negara kelahirannya. Walaupun banyak yang patriotik untuk terus menetap di negara asal walau apa pun yang berlaku tetapi segelintir mempunyai hasrat menjadi warga di negara lain kalau "dilahirkan" sekali lagi di dunia ini.

Walaupun penghijrahan ke negara lain bukan suatu perkara mudah, apa lagi menjadi warga negara tetapi faktor yang mendorong mereka berimpian sedemikian tentulah keselesaan. Semua orang sukakan keselesaan yang bukan sahaja dari aspek prasarana malah sosial, politik dan ekonomi.

Mereka bukan sahaja mahukan keselesaan semasa "dilahirkan" malah selesa juga untuk mengisi masa depan. Maka keselesaan prasarana bukanlah faktor penting yang membuatkan seseorang mahu “dilahirkan" semula di negara impiannya. Mereka juga mahukan kebebasan politik dan bersuara serta pengagihan ekonomi yang adil, bukannya sama rata.

Maka tidak hairanlah kalau dalam satu kaji selidik menunjukkan 40 peratus belia Amerika Syarikat (AS) yang berusia 25 hingga 34 tahun menaruh impian untuk menetap dan membina kerjaya di luar AS. Peratusan ini naik mendadak berbanding dua tahun lalu yang hanya 15 peratus memilih untuk keluar negara. Walaupun AS sebuah negara maju dan menjadi kuasa besar ekonomi, warganya menuntut lebih daripada itu terutama keselesaan sosial yang lebih baik berbanding AS sekarang ini.

Tidak semua orang memilih sebuah negara yang moden, berteknologi tinggi dan hebat taraf ekonominya untuk dihuni. Banyak juga memilih menetap di negara yang dihuni oleh manusia bukannya manusia robot yang tidak ada jalinan sosial antara satu dengan lain.

Dalam satu kaji selidik lain pula Qatar mencatatkan kadar penghijrahan 40 orang dalam 1,000 orang yang merupakan paling tinggi. Di Asia Tenggara pula Singapura mencatatkan kadar penghijrahan 15 orang dalam seribu orang. Tetapi Malaysia menurut kaji selidik itu tidak mencatatkan penghijrahan. Orang Malaysia suka negara ini.

Di Singapura, penghijrahan warganya ke Australia dan Eropah bukanlah suatu yang luar biasa. Malah sebahagiannya memilih untuk menetap di luar negara selepas bersara. Bagi mereka, Singapura hanya negara untuk mencari rezeki tetapi tidak sesuai untuk meneruskan kehidupan.

Pengakuan seorang rakan yang lebih 15 tahun menjadi ekspatriat di Singapura bahawa beliau tidak mahu terus tinggal di sana selepas bersara juga disebabkan faktor yang sama. Menurutnya, keselesaan sosial dan politik serta tahap hak asasi manusia rendah di negara itu. Sistem politik dan sosial Singapura masih tertutup kepada pandangan di luar arus perdana parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Bertentangan
Realiti ini bertentangan dengan hasil kaji selidik indeks Economist Intelligence Unit (EIU) yang meletakkan Singapura sebagai negara keenam terbaik untuk dilahirkan. Ini adalah hasil kaji selidik "Di Mana Mahu Dilahirkan" anjuran EIU di 80 negara di dunia. Malaysia berada di tangga 36 dalam indeks ini.

Kaji selidik yang sama 25 tahun lalu meletakkan Singapura di tangga ke 48. Indeks ini mempunyai kaedah tersendiri untuk mendapatkan hasilnya sekalipun timbul persoalan bagaimana perbezaan saiz negara, misalnya Malaysia dan Singapura tidak diambil kira.

Walaupun indeks ini meletakkan Singapura sebagai antara sepuluh negara terbaik "untuk dilahirkan," perangkaan yang menunjukkan penghijrahan 15 orang dalam seribu adalah fakta yang tidak boleh dipinggirkan. Switzerland menduduki tangga pertama, diikuti Australia, Norway, Sweden, Denmark, Singapura, New Zealand, Belanda, Kanada dan Hong Kong.

Kalau mengikut indeks ini, Singapura adalah negara yang baik untuk dilahirkan. Tetapi ironinya Singapura sendiri berdepan dengan krisis populasi yang menirus hingga kerajaan terpaksa memberikan beberapa insentif supaya pasangan suami isteri mempunyai anak lebih banyak. Bayangkan 50 tahun lalu kadar kelahiran di Singapura adalah 5.8 anak bagi seorang wanita. Tetapi tahun lalu menjunam kepada 1.26 anak bagi seorang wanita. Ini menunjukkan “bayi Singapura" sendiri tidak mahu dilahirkan di negara itu. Tentulah "bayi Singapura" lebih arif sebab-sebabnya.

Singapura menghadapi masalah warganya yang memilih hidup bujang atau berkahwin tetapi tidak mahu memiliki anak. Ini ada kaitan dengan ketiadaan keselesaan sosial selain kekangan ekonomi. Kerajaan dikritik hebat kerana tidak mengambil langkah drastik mengisi sektor awam dan swasta oleh warga tempatan dengan meningkatkan kadar kelahiran.

Ketika ini perangkaan menunjukkan lebih dua juta pekerja asing berkerja di Singapura. Bagi rakyat, ini membuktikan kerajaan lebih mementingkan ekonomi daripada masalah kadar kelahiran antara terendah di dunia.

Sebenarnya kedudukan Singapura di tangga ke enam negara yang paling baik untuk dilahirkan bukanlah suatu isu besar. Perangkaan hasil kaji selidik itu tidak lebih persepsi orang luar terhadap Singapura. Tetapi warga tempatan tahu apakah Singapura benar-benar negara yang baik "untuk dilahirkan." Pasangan mempunyai alasan kukuh untuk tidak menambah bilangan anak antaranya masalah tempat kediaman yang sangat serius. Ini adalah realiti yang dihadapi oleh warga di Singapura yang barangkali tidak diketahui oleh responden dalam kaji selidik EIU.

Malah kalau kaji selidik itu mengambil kira Singapura yang semuanya bertaraf "bandar" dan Malaysia pula hanya ditumpukan kepada Putrajaya, hasilnya tentu berbeza. Ini kerana kemudahan prasarana, keselesaan sosial dan persekitaran Putrajaya jauh lebih hebat daripada Singapura. Tetapi bezanya Putrajaya tidak ada pusat judi terbesar di rantau ini yang menarik orang luar mahu "dilahirkan" di Singapura.

Sumber : utusan@Rencana

No comments:

Post a Comment