Kita terus dihina sebab penguatkuasaan undang-undang kurang berkesan
BAGAIKAN putaran roda terhadap penghinaan ke atas orang Melayu yang juga beragama Islam. Entah mengapa lepas satu demi satu isu penghinaan ke atas bangsa Melayu. Belum lagi selesai isu penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong, timbul kembali isu lagu Negaraku dihina.Percayalah, selepas ini berlegar semula mengenai penghinaan ke atas bendera Jalur Gemilang. Selepas itu putaran kembali kepada penghinaan ke atas kalimah Allah, Nabi Muhammad SAW, agama Islam dihina, dan al-Quran.
Kita jangan berasa pelik apabila mendengar kembali kedudukan orang Melayu digugat, Perlembagaan diperkotak-katikkan, undang-undang tidak dihormati, apatah lagi kritikan dan penghinaan terhadap pasukan Polis Di-Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang majoriti anggotanya ialah orang Melayu dan Islam.
Lazimnya, setiap kali berlaku penghinaan maka ia diikuti berbagai-bagai bantahan. Kita juga akan mendengar pelbagai amaran diberi oleh pihak berkuasa. Bermacam-macam bentuk kemarahan ditunjukkan oleh orang Melayu melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Selepas itu apa tindakannya? Tidak ada?
Sebab itu, banyak orang berkata, buatlah banyak mana perhimpunan dan demonstrasi besar-besaran, namun sedikit pun tindakan itu tidak akan menggerunkan penghina-penghina yang mengaku warga Malaysia itu.
Saya yakin mereka akan terus menghina Institusi Raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu.
Sebab utama perkara ini terus berlaku, kita pun sudah tahu. Boleh dikatakan tiada tindakan dan hukuman tegas pernah dikenakan ke atas pelaku kesalahan termasuk menghina perkara yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
Dalam sesuatu isu penghinaan, kita boleh baca beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara. Tapi apa yang berlaku kesudahannya? Adakah penghina ditangkap dan didakwa di mahkamah? Atau kita ada mendengar hukuman berat telah dijatuhkan kepada penghina terbabit? Mungkin ada, tapi kadang-kadang.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pihak berkuasa yang berkenaan kena buktikan mereka peka dengan suara dan harapan orang Melayu!
Ambillah tindakan berani dan drastik dengan menangkap individu yang terlibat, jangan nanti orang Melayu sendiri jatuhkan hukuman akibat hilang sabar. Sampai bila orang Melayu dan umat Islam diminta terus bersabar.
Berdasarkan laporan berita sebelum ini, penghina-penghina orang Melayu, institusi raja dan agama Islam dikatakan sudah berjaya dikesan tetapi mana batang hidung mereka. Jika mereka disiasat, tunjukkan kepada umum supaya wajah mereka dikenali oleh orang Melayu. Melalui cara ini, mereka tidak akan berani untuk tunjuk besar kepala selepas ini.
Orang Melayu sudah bosan dan jemu dengan kenyataan amaran demi amaran yang diberi. Kita tak mahu lagi bantahan demi bantahan dalam demonstrasi sekadar menuntut penghina menarik balik kata-kata dan memohon maaf sahaja.
Kini zaman amaran dan bantahan sudah berlalu kerana tidak menunjukkan kesan diharapkan. Inilah masa untuk mengajar penghina berkenaan berasa bersalah dan insaf? Jika tidak suka undang-undang Malaysia, mereka boleh cari negara lain.
Sedih juga bila mengenang semasa wujud Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pun tidak ada tindakan tegas terhadap penghina. Penggunaan undang-undang di bawah Akta Hasutan pula jarang-jarang sekali digunakan.
Yang ada hanya kata-kata gertak. Siapa nak takut kalau berpuluh-puluh kali kata-kata gertak dikeluarkan tapi tindakan tegas tidak juga dilaksanakan.
Dasar pihak berkuasa kita mungkin atas arahan penguasa politik atasan - lazimnya mengambil langkah berlembut dengan harapan penghina akan insaf. Terbukti sudah, dasar sebegini tidak berkesan malah menyebabkan keadaan semakin teruk jadinya.
Untuk mengajar dan mendidik warga Malaysia sekarang, mungkin tindakan undang-undang tegas perlu dikuatkuasakan.
Percayalah selagi tidak ada undang-undang dan hukuman tegas dikenakan kepada penghina, maka mungkin bentuk penghinaan yang lebih dahsyat akan berlaku pada masa depan.
Setakat ini, penulis blog, facebook, twitter yang hina orang Melayu dan agama Islam hanya menyatakan mohon maaf. Cukupkah setakat itu sahaja?
Pihak berkuasa Malaysia patut contohi negara-negara Islam lain. Misalnya dalam satu kes di Kuwait pada 8 Mac lalu, mahkamah di negara itu menjatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan ke atas seorang aktivis selepas didapati bersalah menghina Amir Kuwait selain menyeru perhimpunan antikerajaan dan menyebarkan berita palsu menerusi akaun twitternya.
Di Mesir pada 2 Jun lalu pula, sebuah mahkamah di Kaherah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap seorang lelaki Kristian atas kesalahan menghina al-Quran yang merupakan kitab suci umat Islam.
Benarkah tahap penguatkuasaan undang-undang di Malaysia kurang berkesan kerana kita mahu menjaga hati kaum dan penganut agama lain? Baik sangatkah mereka kepada umat Islam?
Pahit-Pahit Kopi
No comments:
Post a Comment