Friday, October 12, 2012

Malaysia Ketandusan Cerdik Pandai?

Ketika pelbagai pihak, khususnya rakyat asing yang berada di negara ini pada jangka masa yang lama serta pelawat asing lain kagum dengan suasana hubungan baik antara pelbagai kaum di sini, malangnya masih ada sesetengah rakyat tidak mahu mengakui wujudnya hubungan sedemikian.

Mereka berterusan menimbulkan sentimen perkauman kononnya keadaan di negara ini indah khabar daripada rupa. Kononnya bukan Melayu berterusan ditindas dan tidak diberi peluang untuk maju. Bukan Melayu kononnya sentiasa menghadapi diskriminasi dan semua peluang untuk maju dibolot orang Melayu.

Demikian juga akhbar Cina dengan nada sama juga menyiarkan makalah mahu pun surat yang berterusan membuat tohmahan sedemikian. Lebih membimbangkan ialah beberapa portal berita yang mendabik dada sebagai bebas tetapi sebenarnya dikuasai pertubuhan atau orang tertentu sering saja menyiarkan tohmahan yang amat berbahaya ini.

Mereka tidak habis-habis mengungkit kononnya terdapat diskriminasi terhadap orang bukan Melayu di sini. Kononnya mereka berterusan tidak diberi peluang mendapat pekerjaan, khususnya dengan pertubuhan berkaitan kerajaan atau peluang lain. Kalau benar mereka tidak diberi peluang masakan mereka berterusan menguasai sektor perdagangan dan perniagaan?

Tetapi apakah tuduhan itu berasas? Mungkin ada satu dua yang menghadapi kesulitan tertentu tetapi ini bukanlah suatu gejala berleluasa atau menjadi perkara yang dimaktubkan kerana orang Melayu juga ada yang menghadapi masalah serupa.

Terikat perjanjian biasiswa
Jadi tidak menghairankan persoalan pelajar Malaysia yang tidak mahu pulang disalahkan atas diskriminasi terhadap bukan Melayu. Gambarannya bukan Melayu saja yang tidak pulang untuk berkhidmat dan menyumbang bakti kepada negara sendiri.

Sememangnya kebanyakan daripada pelajar Melayu yang berkelulusan di luar negara pulang untuk berbakti kepada negara. Apakah ini kerana cerdik pandai Melayu tidak menghadapi diskriminasi sebagaimana ditohmah ditempuhi lulusan bukan Melayu?

Atau apakah ramai antara lulusan Melayu itu pulang kerana mereka tidak mahu berjauhan dari kampung halaman dan kaum keluarga? Ini tidak dapat dipastikan.

Mungkin juga kebanyakan daripada lulusan Melayu itu pulang kerana terikat dengan perjanjian biasiswa atau dermasiswa yang mereka terima. Sememangnya sejumlah besar daripada pelajar Melayu tidak mampu untuk belajar di luar negara dengan biaya ibu bapa mereka berbanding pelajar persendirian bukan Melayu.

Ini juga dengan sendirinya menunjukkan bahawa bukan Melayu lebih mampu untuk membiayai pengajian anak-anak mereka di luar negara. Sekiranya benar tohmahan bahawa bukan Melayu tidak diberi peluang untuk maju, bagaimana pula mereka ini boleh membiayai pengajian anak-anak mereka di luar negara?

Pendapat luar negara lebih tinggi
Tetapi apa yang tidak boleh dinafikan ialah lulusan itu yang bekerja di luar negara iaitu di negeri di mana mereka belajar dan lulus kerana menerima pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada yang mereka boleh harapkan di Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa gaji yang ditetapkan syarikat tempatan sememangnya tidak kompetitif.

Mengikut angka yang pernah dikeluarkan Bank Dunia sehingga 2010, dianggarkan seramai sejuta rakyat Malaysia bertaburan di seluruh dunia dan sepertiga daripada mereka terdiri daripada kumpulan cerdik pandai yang mempunyai kemahiran tinggi.

Kebanyakan mereka tertumpu di Singapura dan selebihnya di Australia, Amerika Syarikat, Britain dan juga di Brunei.

Malah di Singapura saja sebanyak 54 peratus daripada pekerja cerdik pandai di sana adalah rakyat Malaysia, demikian mengikut laporan Bank Dunia itu. Ini tidak menghairankan kerana bukan saja gaji di republik itu tinggi tetapi dengan tukaran S$1 bersamaan RM2.50, tentunya pendapatan mereka sungguh lumayan. Tetapi apa yang harus diambil kira ialah kos saraan hidup yang amat tinggi di republik itu.

Laporan Bank Dunia itu juga menyatakan bahawa kumpulan cerdik pandai Malaysia bekerja di luar negara kerana pekerjaan dan masa depan mereka yang kurang baik di sini. Ia juga disebabkan gaji yang terlalu murah dan ketidakadilan dalam masyarakat.

Laporan itu tidak pula menyatakan bagaimana ia boleh membuat rumusan wujudnya ketidakadilan demikian atau cerdik pandai bukan Melayu menghadapi masa depan yang kurang baik. Ini kerana sehingga kini tidak siapa pun pernah menjalankan kaji selidik mengenai sebab cerdik pandai itu bekerja di luar negara. Tanpa tinjauan sahih, ia tentunya akan berupa satu andaian saja.

Dalam pada itu, akhbar Nanyang Siang Pau pula ada menyiarkan wawancara dengan Ketua Pegawai Eksekutif ICLIF (Leadership & Governance Centre), Rajeev Peshawaria mengenai pelaburan asing di sini yang mentohmahkan bahawa di Malaysia tidak ada kumpulan orang cerdik pandai.

Malah, Rajeev berkata setiap CEO yang beliau temui berkata cabaran paling besar bagi mereka ialah mereka tidak menemui cerdik pandai yang sesuai untuk mereka.

Apakah tohmahan demikian benar? Apakah hanya kerana ramai cerdik pandai tidak kembali bekerja di sini setiap CEO yang beliau jumpa berkata Malaysia ketandusan cerdik pandai? Tuduhan ini satu tamparan hebat kepada rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan pelbagai syarikat di sini.

Oleh : Rejal Arbee

No comments:

Post a Comment