Tuesday, October 9, 2012

Bukan Mudah Tubuh KR1M

KUALA LUMPUR - Meskipun sudah berada dalam kelompok usahawan tempatan yang berjaya dan disegani dalam bidang peruncitan dengan jenama Mydin, Datuk Amer Ali mengakui pengalamannya yang terlibat secara langsung dalam penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bukan mudah.

Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd. itu berkata, cabaran itu timbul kerana pembukaan KR1M dipolitikkan tanpa mengetahui matlamat dan tujuan asal kerajaan mewujudkan kedai yang menjual produk pada harga cukup murah.

Menurutnya, beliau bersetuju untuk membantu kerajaan menubuhkan KR1M atas dasar mahu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang rendah tetapi sejak awal penglibatan Mydin dalam KR1M sehingga hari ini perkara itu dipolitikkan.

Peneraju perniagaan Mydin itu berkata, syarikat itu kini sudah berjaya menjalankan operasi 59 KR1M dan dalam proses untuk melengkapkan sasaran yang ditetapkan termasuk penglibatan sama empat usahawan lain.

"Jadi kalau ada pihak yang mahu kata Mydin mahu monopoli KR1M tidak benar sama sekali kerana pembabitan kami dalam KR1M atas dasar tanggungjawab korporat.

"Mungkin orang boleh berkata apa sahaja tetapi dalam usia saya yang semakin menginjak, bagi saya segala bantuan yang saya berikan kepada kerajaan melalui KR1M hanya untuk mendapat berkat, hendak dapat pahala.

"Saya terlibat atas niat hendak menolong. Sebagai seorang Islam, saya telah diajar untuk membantu golongan yang memerlukan. Yang lain-lain bukan keperluan saya lagi. Saya percaya dengan pertolongan ini, rezeki saya akan lebih baik," katanya ketika ditemui di sini.

Amer tidak menolak pelbagai tuduhan liar yang dibuat itu kerana banyak pihak tidak faham akan kerjasama antara kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya, kerajaan hanya memberi peruntukan bagi modal perbelanjaan sebanyak RM585,000 bagi sebuah kedai yang mempunyai dua pintu. Peruntukan berkenaan untuk kos-kos pengubahsuaian, sewa dan lain-lain.

Tetapi, bagi modal kerja iaitu membeli barangan, membayar gaji dan stok perlu dikeluarkan antara RM300,000 hingga RM400,000 oleh Mydin sepenuhnya, jelasnya.

"Dan, jualan pula bergantung kepada lokasi. Cuma apa yang boleh saya katakan ialah margin keuntungan yang saya boleh peroleh dari KR1M hanya satu hingga dua peratus sahaja berbanding lima hingga 15 peratus bagi kebiasaan untuk perniagaan runcit," katanya.

Ditanya dakwaan pihak tertentu kononnya KR1M akan membunuh peniaga-peniaga kecil, Amer berkata, perkara itu bukan isu kerana KR1M tidak diletakkan bersama kedai-kedai runcit yang lain.

Beliau hairan isu berkenaan terus diperkatakan sedangkan pada dasarnya perniagaan memang satu persaingan, cuma apabila dikaitkan dengan KR1M ia tidak berasas langsung.

"KR1M hanya ada 85 buah saja bukan 8,000 kedai. Kalau dibandingkan dengan jumlah pasar raya 99 Speedmart yang ada 362 buah cawangan atau KK Mart, tidak nampak logik langsung dakwaan itu.

"Saya pun tertanya-tanya mengapa KR1M pula dilihat memberi persaingan bukan pasar raya lain," katanya.

Ditanya mengapa Mydin masih menjadi sasaran dalam penubuhan KR1M, dengan selamba Amer berkata: "Kalaulah Bill Gates diminta bantu mungkin orang tidak akan mempertikaikan, tetapi kalau Mydin tolong, orang akan bertanya mengapa Mydin bantu," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Amer berkata, tidak semestinya Mydin sahaja yang boleh membantu kerajaan menjalankan KR1M tetapi syarikat-syarikat milik kerajaan atau individu serta organisasi lain juga boleh berbuat demikian.

"Contohnya Sime Darby Bhd. atau Felda, kedua-duanya boleh membuka KR1M kerana mereka juga boleh membantu komuniti masing-masing," jelasnya.

Sumber : utusan

No comments:

Post a Comment