Wednesday, October 17, 2012

Ketulenan Bahasa Melayu Harus Dimartabatkan

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu harus dimartabatkan ketulenannya demi memastikan bahasa itu yang jelik tidak diwarisi kepada generasi akan datang, kata seorang tokoh pejuang bahasa Melayu hari ini.

Profesor Dr Teo Kok Seong, 59, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata imej bahasa Melayu semakin tercemar dengan penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak yang kerap digunakan oleh generasi hari ini.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM itu berkata bahasa Melayu wajar digunakan di semua sektor awam serta swasta dan kualitinya mestilah berada pada tahap yang betul untuk memberi imej yang baik.

"Aspek tatabahasa, imbuhan dan kosa kata harus difahami. Apa yang penting kita kena mengubah sikap untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 di sini.

Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 22 Disember dengan pelbagai kegiatan bercorak bahasa dan sastera disediakan untuk orang ramai.

Anugerah tersebut adalah yang pertama seumpamanya bagi Teo setelah 33 tahun terbabit memperjuangkan bahasa Melayu melalui kuliah, ceramah dan penulisan.

Turut hadir Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Bernama

No comments:

Post a Comment