Sajak bertajuk Bersatulah Melayu ciptaan Dr Lim Swee Tin membawa maksud sudah tiba masanya Melayu kembali bertaut walaupun mempunyai perjuangan politik masing-masing. Mesejnya boleh diterjemahkan dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 bahawa apa yang lebih penting ialah Melayu mesti memikirkan masa depan bangsa dan apa akan berlaku jika perpecahan itu tidak dibendung dan dibiarkan berlarutan.
Maka benarlah pepatah Melayu yang menyatakan ‘jangan retak mencari belah’ kerana apabila ini berlaku, maka tercetuslah perpecahan. Sajak Swee Tin itu dideklamasikan seorang penduduk, Sarina Omar pada majlis sambutan Merdeka Raya anjuran Persatuan Penduduk Taman Changkat Desa/Melewar Fasa 2, Gombak, 16 September lalu.
"Bersatulah Melayu, Melayu itu cermin, Dalam jernihnya kita menilik, Kita menilik mencari wajah, Wajah Melayu wajah kita;" - Swee Tin
Swee Tin menarik perhatian kerana seruannya terhadap penyatuan Melayu, apatah lagi apabila dihasilkan oleh bukan Melayu.
Justeru apabila beliau menegaskan: "Bersatulah Melayu, Melayu itu cermin, Dalam jernihnya kita menilik, Kita menilik mencari wajah, Wajah Melayu wajah kita;" mesejnya membawa maksud yang begitu mendalam sekali apabila ia dipadankan dengan keadaan Melayu masa kini.
Ternyata perpecahan bukan hanya berlaku antara kaum tapi juga sesama Melayu sehingga kini wujud tiga kelompok terbesar dalam masyarakat berdasarkan sokongan politik.
Swee Tin mengakhiri nukilannya itu dengan menganjurkan supaya Melayu merintis jalan untuk bersatu semula.
Sebarang usaha untuk merintis perpaduan ini hendaklah disokong walaupun ideologi kepartian tidak sama. Apa gunanya kalau menang tapi kuasa dipegang pihak lain?
Sebenarnya usaha ke arah itu sudah beberapa kali dirintis pada pertemuan antara wakil UMNO dan PAS tapi gagal kerana halangan politik kepartian.
Penulis ingin memetik pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai nasib Melayu di negara jiran.
Katanya, di Singapura tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa pengantar di sekolah ialah Inggeris dan Cina. Segala urusan rasmi dan tidak rasmi pula menggunakan bahasa Inggeris atau Cina, maka Melayu sudah tidak menggunakan bahasa Melayu.
Mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika bercakap dengan anak, anggota keluarga dan kawan. Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanya agama Islam mereka.
Dr Mahathir berpendapat kemelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan kemelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.
Di selatan Thai pula, kata bekas Perdana Menteri itu, orang keturunan Melayu tidak dapat bertutur kata dalam bahasa Melayu walaupun beragama Islam. Bahasa rasmi mereka ialah bahasa Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ.
Di Malaysia, tambah beliau, kehilangan Melayu juga sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya mengakui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan Melayu.
Walaupun Dr Mahathir tidak menyebutnya, penulis ingin mengimbas kenyataan seorang menteri beberapa tahun lalu yang mendabik dada dengan berkata beliau orang Malaysia dan lepas itu baru Melayu.
Malangnya sesiapa yang bercakap mengenai Melayu dituduh rasis menyebabkan orang Melayu tidak berani menyebut perkataan Melayu. Justeru, malulah Melayu sehingga terpaksa penyair Cina seperti Swee Tin mencipta sajak untuk mereka.
Hang Tuah pernah berkata ‘Tidak Melayu Hilang di Dunia’. Justeru, janganlah kerana perpecahan, ungkapan itu hanya tinggal kenangan.
Sampai bilakah Melayu harus bercakaran sesama sendiri? Sekiranya apa yang berlaku di sekeliling kita pun tidak dapat menyedarkan Melayu, entah apa lagi?
Oleh : Razak Rashid Ghows
No comments:
Post a Comment