Tuesday, October 30, 2012

Amil Janji Hapus Dosa RM81,000


ZANA menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas Nizam selepas mendakwa lelaki itu memperdaya ibunya di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU - Bicara manis penuh muslihat seorang lelaki berperwatakan alim kononnya boleh menjamin seseorang masuk syurga menyebabkan seorang wanita terpedaya hingga memaksa mangsa menyerahkan RM81,000 sebagai upah menghapuskan dosa.
Ketika mendedahkan perkara itu, anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Zana, 31, memberitahu, segalanya bermula apabila ibunya yang berusia 72 tahun bertemu dengan lelaki yang mengaku dirinya sebagai amil zakat berumur lingkungan 40-an di Plaza Angsana di sini pada Julai lalu.
Katanya, pada pertemuan itu, ibunya telah memberikan wang selepas amil yang dikenali sebagai Nizam Idris tersebut mendakwa dia mengutip zakat dan mengambil sumbangan untuk anak yatim, warga tua dan golongan orang kelainan upaya.
"Sejak itu, ibu seperti orang yang telah dipukau dan menyerahkan wang kepada Nizam kira-kira RM81,000 hingga sanggup mengetepikan keluarga sendiri semata-mata menurut kata lelaki berkenaan.
"Lelaki itu mendakwa dia melihat kami sekeluarga dimasukkan ke dalam neraka dan untuk mengelakkan perkara itu, ibu harus membayar sejumlah wang bagi penebus dosa sekali gus dapat merasai nikmat syurga," ceritanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, lebih membuatkan mereka naik mual dengan pembohongan Nizam ialah lelaki itu meramalkan hari kiamat akan berlaku dalam tempoh terdekat manakala ibunya akan meninggal dunia pada 24 Julai tahun depan.
"Disebabkan itu, ibu menjadi cemas dan menyerahkan wang kononnya Nizam dapat membersihkan diri ibu daripada dosa," katanya.
Menurut suri rumah itu, dia sekeluarga telah mencuba pelbagai cara untuk menyedarkan ibunya mengenai pembohongan dan lakonan licik Nizam tetapi malangnya wanita itu bukan sahaja manafikannya malah, memberitahu Nizam merupakan lelaki yang baik.
"Ada antara kami pernah terserempak dengan ibu yang sedang menjual semua barangan kemas sambil ditemani Nizam dan sampai satu tahap, ibu berhajat mahu menjual banglonya di Stulang Laut di sini bernilai RM500,000 tetapi sempat dihalang," katanya yang memberitahu hasil jualan itu akan diberikan kepada Nizam.
Ujar Zana, mereka sekeluarga yang tidak mahu ibunya terus ditipu telah membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, polis telah menahan lelaki berkenaan pada hari pihaknya menerima laporan.
"Suspek kemudian telah dibebaskan selepas keterangannya diambil. Buat masa ini, tidak banyak yang boleh kami lakukan kerana mangsa sendiri tidak mengaku dia telah ditipu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zainuddin bagaimanapun meminta mana-mana individu yang turut menjadi mangsa menggunakan modus operandi sama menghubungi polis Johor Bahru Utara di talian 07-221 2999 bagi membantu siasatan.

Guru Dipenjara Kerana Berasmara Dengan Pelajar

SINGAPURA - Seorang guru wanita berusia 32 tahun dihukum penjara selama setahun di sini semalam kerana melakukan hubungan seks dengan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sekolahnya, lapor media tempatan di sini semalam.

Akhbar Straits Times melaporkan, guru berkenaan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mula menjalin hubungan dengan pelajar itu pada tahun lalu.

Menurut laporan akhbar tersebut, hubungan itu bermula selepas guru tersebut mengendalikan sesi kaunseling pelajar berkenaan.

Nama guru dan pelajar itu tidak didedahkan bagi melindungi mereka.

Mahkamah diberitahu bahawa wanita terbabit 'memikat' pelajar tersebut dengan beberapa hadiah termasuk sebuah buku terkenal yang berjudul Eat, Pray, Love.

Buku itu pernah dijadikan filem yang menampilkan pelakon terkenal, Julia Roberts pada 2010.

Ia mengisahkan tentang seorang wanita Amerika Syarikat yang sudah bercerai.

Pelajar dan guru itu menjalin hubungan lebih sebulan dan mereka pernah melakukan hubungan seks di rumah guru terbabit.

Bagaimanapun, hubungan berkenaan diketahui oleh ibu bapa pelajar itu sekali gus menyebabkan mereka membuat aduan kepada pihak sekolah. - AFP

Monday, October 29, 2012

Ciuman Membangkitkan Hasrat Seksual

KETIKA seseorang ingin mendapatkan kepuasan seksual, ciuman menjadi cara sempurna untuk melakukan permulaan. Ciuman dijadikan sebagai pemanasan untuk memulakan sebuah pengembaraan seksual anda.

Berciuman dinilai sebagai salah satu tindakan yang paling romantis bagi pasangan, menurut laporan Fox News. Dua orang yang saling bersentuhan bibir diketahui dapat membangkitkan keinginan sensual agar boleh menaikkan adrenalin masing-masing.

Dua orang dapat bertukar sensasi apabila bibir mereka bertemu, dan itu digunakan sebagai alat utama bagi pasangan untuk penilaian. Ciuman boleh mempunyai begitu banyak erti bagi pasangan yang melakukannya.

 Seberapa jauh pasangan mencintai anda atau seberapa besar keinginan bercinta menuju kepada situasi seksual? Inilah makna dari sebuah ciuman.
 - Mempromosikan akses seksual.
   Lelaki khususnya menggunakan ciuman sebagai cara untuk merayu pasangan secara romantis.

- Menginduksi ikatan. 
  Menunjukkan tanda komitmen, terutama dalam keinginan bawah sedar untuk risiko penyakit atau kematian.

- Cinta.
  Memaparkan keinginan murni anda dan cinta kepada orang lain.

- Mengundang perdamaian. 
  Ini membantu pasangan untuk bersatu kembali setelah bertengkar.

- Mengantarkan dopamin ke otak, yang berkaitan dengan keromantisan cinta.

- Punca ghairah seksual, yang dapat meningkatkan tahap oksitosin, baik lelaki mahupun wanita. Ciuman mencetuskan hasrat seksual dengan pertukaran testosteron.

Anonymous

Sunday, October 28, 2012

Kelas Bahasa Ayam...Tuisyen Dagang Tubuh

Bagi menarik lelaki hidung belang melanggani pekerja khidmat seks warga China dan Vietnam yang baru tiba di Malaysia, sindiket pemerdagangan manusia menganjurkan ‘sekolah mini’ kursus bagi mempelajari bahasa tempatan bagi memudahkan komunikasi.

Antara perkataan yang diajar ialah abang, sayang, cinta, saya bersih, kacak, atas atau bawah dan baring.

Bagaimanapun, jika gagal menguasainya dalam masa tiga hari, mereka dipukul.

Difahamkan, setiap wanita yang baru tiba di Malaysia diajar bapa ayam bertutur beberapa bahasa tempatan, termasuk Bahasa Malaysia bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelanggan.

Malah, wanita yang berjaya menguasai bahasa tempatan mampu meningkatkan pendapatan kerana lebih disenangi pelanggan.

Tambahan pula, pelanggan dilaporkan lebih puas dengan layanan pelacur yang boleh berkomunikasi berbanding rakan sekerja yang hanya menggunakan bahasa isyarat.

Perkara itu didedahkan wanita dari China, Yen, 24, yang pernah berkhidmat dengan sindiket terbabit sejak setahun lalu.- hmetro

Saturday, October 27, 2012

Tun M Gesa Ubah Segera Dasar GLC

Kerajaan sekarang berhak lakukan kelainan: Tun M

Kuala Lumpur: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersasar daripada matlamat asal penubuhan untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengubah segera dasar mengenai GLC kerana peranannya kini bertukar arah hingga menyebabkan prestasi pemilikan kekayaan Melayu makin merosot, sekali gus gagal mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Beliau berkata, walaupun dasar itu dibuat pemerintah terdahulu, namun ia tidak bermakna pemerintah sekarang tidak boleh mengubahnya.

Keupayaan Bumiputera
“Kerajaan mewujudkan GLC seperti Khazanah Nasional Bhd kerana keupayaan Bumiputera, terutama orang Melayu lemah dari segi ekonomi dan pemilikan ekuiti.

“Kalau diberi pada mereka (Bumiputera) saham, mereka jual. Jadi dengan itu, kita tubuh badan yang dikuasai kerajaan supaya GLC pegang saham, sementara kita memperkayakan Bumiputera, kemudian kita edar pada mereka.

“Tapi sekarang dasar sudah bertukar, mereka (GLC) jadi peniaga utama dan tidak edarkan kepada Bumiputera, beri kepada orang asing, ini bertentangan dengan dasar.

“Kita khuatir kalau tidak bertindak, tukar dasar dan kembali kepada asal, maka bahagian Melayu akan semakin berkurangan,” katanya selepas merasmikan penutupan Kongres Ekonomi Melayu 2012, di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Syed Ali Alatas. Dr Mahathir turut melancarkan Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Bhd (TUPBB) yang ditubuhkan sebagai skim pelaburan kolektif menerusi dana bernilai RM1 bilion.

Lebih 500 peserta daripada hampir 100 pertubuhan Bumiputera menyertai kongres dua hari yang meluluskan 18 resolusi membabitkan pelbagai aspek termasuk hala tuju jihad ekonomi Melayu dan DEB.

Mengulas tuntutan DEB dianggap rasis oleh segelintir pihak, Dr Mahathir menegaskan kekayaan negara perlu diagihkan secara adil bagi mengelak konflik pada masa depan.

“(Kita) tak rampas hak orang lain, kita nak bahagian kita saja. Kita penduduk majoriti 60 peratus, tapi hanya minta 30 peratus. Ambillah yang lain bagi mereka.

“Perlu ada kajian supaya kita tahu kekayaan negara diagihkan secara adil. Ini bukan rasis, kalau tidak diagihkan secara adil akan timbul konflik, keganasan seperti di negara lain,” katanya.

Lihat juga disini

Friday, October 26, 2012

Jangan Menangis Lagi....

Aku melihat kau menangis pagi Aidil-adha yang lalu. Pagi itu kudus, kata kau. Sesuai benar dengan dengan suasana Aidiladha. Kau bertakbir penuh kekhusukan sehingga dibungkus rasa syahdu dan kudus. Lantas air mata kau mengalir menuruni pipi. Kemudian kau teresak-esak menahan kesayuan yang mencengkam di hati.

Apa yang menyebabkan kau menangis? Kerana takbir itu dilaungkan dalam nada mendayu, melenggang-lenggok. Jiwa kau sesuai dengan nada ini kerana persekitaran kau pun turut memberi warna; maka itu jiwa kau dibuai rasa sayu. Itulah takbir Aidiladha yang mengharukan, kata kau lagi.

Aku melihat keharuan itu pada wajah kau. Tetapi kau sebenarnya silap, seribu kali silap. Takbir itu bukan rakbir mendayu, melankolik, nada menghiris hati atau seumpamanya. Takbir yang dilaungkan sejak lebih 1400 tahun itu pada hakikatnya adalah takbir perang. Takbir membakar semangat. Takbir mencambah benih perjuangan. Bukan sendu duka lara yang membikin kita menangis keharuan. Bukan!

Kunci semangat, kunci benih perjuangan dalam takbir itu ialah pada ungkapan: Wahazamal Ahza bawahdah…dan(Allah) menghancurkan musuhnya (tentera bersekutu) sendirian. Perkataan Ahzab merujuk kepada peperangan al-Ahzab yang berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 Hijrah (627M).

Al-Ahzab ertinya golongan bersekutu iaitu kaum Yahudi Bani Nadir, ahli Kitab dan kaum musyrikin Quraisy Makkah, Bani Ghatfan, Bani Asad, Bani Salim dan Bani Asjad bersatu untuk menghancurkan Islam Madinah. Orang kafir itu bersatu walaupun mereka, budaya mereka dan bahasa mereka berbeza tetapi mereka sanggup bersekongkol dengan satu tujuan untuk menghancurkan Islam dan membunuh Rasulullah saw.

Persiapan orang kafir sangat lengkap dengan kuda dan unta serta senjata yang banyak. Jumlah tenteranya 10,000 orang dianggotai enam puak, mud-muda dan tegap-tegap belaka. Mereka bergerak ke Madinh bertujuan menghancurkan Islam untuk selama-lamanya.

Berita kedatangan angkatan perang musuh ini sampai kepada Rasulullah. Baginda mengumpulkan sahabat berbincang untuk menentukan strategi dan taktik menghadapi musuh. Orang Islam dikumpulkan, lalu jumlahnya diketahui seramai 3,000 orang yang terdiri daripada orang tua, perempuan, kanak-kanak, bayi dan remaja.

Wednesday, October 24, 2012

Memperingati Peristiwa Berdarah Tak Bai

25 Oktober 2012, genaplah lapan tahun peristiwa pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Tabal (Tak Bai) oleh tentera penjajah Thailand.Peristiwa berdarah Tak Bai yang berlaku pada 25 Oktober 2004 merupakan peristiwa di mana 78 orang penduduk Islam Pattani syahid akibat kerakusan tentera penjajah Thailand pada bulan Ramadhan yang mulia.

Bagaimanapun kerajaan penjajah Thailand kemudiannya memutuskan bahawa sesiapa pun tidak bersalah dalam kejadian tersebut.

Peristiwa menyayat hati ini telah didahului enam bulan sebelumnya dengan satu peristiwa sedih iaitu pembunuhan kejam beramai-ramai di Masjid Kerisek. Kedua-kedua peristiwa ini ada persamaannya , iaitu tentera Thai bertindak dengan niat untuk membunuh semua ummat Islam Melayu yang hadir di lokasi peristiwa tersebut. Strategi yang terancang ini adalah sebahagian dari kempen "Pembersihan Etnik" penjajahan Thailand terhadap ummat Melayu Islam Pattani.

Peristiwa kekejaman Kerajaan Penjajah Thailand terhadap ummat Islam Pattani ini adalah setara dengan tindakan zalim Serbia terhadap bangsa Bosnia dan Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin. Penindasan dan kekejaman ini bukan sahaja berlaku di Kerisek dan Tak Bai bahkan berlaku setiap hari tetapi Akhbar-akhbar di Thailand dan Malaysia dilarang membuat liputan luas mengenainya. Hanya berita-berita kematian orang Siam sahaja yang menjadi fokus supaya masyarakat dunia menghukum Islam yang bertanggungjawab. Bermula dari peristiwa-peristiwa sedih inilah tercetus kembali kebangkitan ummat Islam Pattani secara besar-besaran.

Peristiwa ini jugalah yang mencetuskan sumpah perjuangan oleh mujahidin-mujahidin yang berjuang. Mereka berikrar akan meneruskan perjuangan sehingga bumi Pattani dibebas kan sepenuhnya dari sebarang bentuk penjajahan. Peristiwa yang menyedihkan ini bukan sahaja diratapi oleh umat Islam Pattani bahkan oleh sesiapa sahaja yang mengaku Melayu dan ummat Islam di dunia ini. Peristiwa hitam 25 Oktober ini perlu diingati oleh seluruh ummat Islam kerana perjuangan pembebasan Pattani adalah perjuangan ummat Islam seluruhnya. Isu Pattani mesti menjadi isu yang wajib diperjuangkan oleh ummat Islam.

Walau pun mereka cuba menyembunyikan angka sebenar mangsa pembunuhan di Tak Bai tetapi amat diyakini bahawa jumlah mangsa kematian melebihi dari angka yang dilaporkan. Antaranya mangsa yang mati ketika cuba melarikan diri dalam sungai. Mereka ditembak seperti ikan. Begitu juga liang besar pembunuhan beramai-ramai turut dijumpai di Telubok Pattani, di tanah perkuburan cina di Jala (Yala) dan juga perkuburan Cina di Naratiwat. Jumlah kematian di ketiga-tiga kubur ini dijangka melebihi 500 orang .

Peristiwa ini bukanlah satu peristiwa yang luar biasa di bumi Pattani. Bahkan ianya adalah intisari daripada tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh penjajah Thai sejak dari 1786 lagi. Mereka membunuh ummat Islam Pattani seperti binatang buruan dan mereka sesekali tidak pernah menganggap ummat Melayu Islam Pattani sebagai manusia.

Pattani adalah sebahagian daripada ‘Tanah Melayu’. Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi mangsa dasar imperialisasi kerajaan Siam yang disokong secara sulit oleh kuasa barat. Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Pattani telah diiktiraf oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Pattani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban membawa kepada penghapusan sistem pemerintahan kesultanan Melayu Pattani. Melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Pattani telah diisytiharkan oleh British sebagai jajahan Siam tanpa kerelaan ummat Islam Melayu Pattani.

Semenjak penggulingan Kesultanan Islam Melayu Pattani, ummat Islam Melayu Pattani berada dalam keadaan tertekan dan dhaif. Ummat Islam Melayu menjadi mangsa pemerintahan siam yang zalim . Justeru, tidaklah hairan seringkali berlaku kebangkitan di Pattani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas Raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang dari Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti Siam menjadi lebih hebat apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mensiamkan ummat Islam Pattani melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua bersekutu dengan Jepun telah memberikan peluang baru kepada ummat Islam Melayu Pattani untuk membebaskan Pattani daripada penjajahan Siam. Oleh itu Tengku Mahmood Mahyideen, Putera Raja bekas Raja Pattani, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Pattani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Perancangan Tengku Mahmud itu berbetulan dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti. Peluang itu semakin cerah apabila Kuasa-Kuasa Berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima pakai prinsip hak menentu nasib sendiri sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan. Lantaran itu, tanggal 1 November 1945, sekumpulan pemimpin ummat Islam Melayu Pattani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Pattani dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu.

Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan penjajahan British di wilayah Asia Tenggara menjadi faktor utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Pattani. Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan beras untuk keperluan jajahannya. British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Tindakan penjajahan ini juga selaras dan bertepatan dengan perancangan Zionis Yahudi . Pattani menerima nasib yang sama dengan Palestin dari segi perancangan licik penjajah kuffar. Kemaraan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor penting kepada British dalam menentukan polisi dan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis dari China. Justeru, Kerajaan British ingin memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan blok Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi menghadapi kemaraan Komunis di perbatasan Tanah Melayu. Justeru, Pattani adalah taruhannya.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk melaksanakan pembaikan sistem pentadbiran dan sosio ekonomi di Pattani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh ummat Islam Pattani. Sejak , isu pembebasan Pattani mula pudar malah jika dibangkitkan ia kononnya disifatkan bakal menjejaskan hubungan dengan Siam. Seusai Persidangan Senggora pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula bertindak terhadap pemimpin-pemimpin pejuang pembebasan Pattani. Tengku Mahmood Mahyideen ditekan hebat manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Pattani semakin lemah dengan pembunuhan Tengku Mahmood Mahyideen dan Syahidnya Haji Sulung pada tahun 1954.

Sebelum Perang Dunia Kedua ummat Islam Melayu di Pattani melebihi 90 %, tetapi nisbah ini semakin berkurangan dengan pemindahan penduduk dari utara Thai dan pembunuhan beramai-ramai yang sering dilakukan oleh kerajaan Thailand di wilayah Pattani. Kerajaan Thailand juga memperalatkan pihak berkepentingan demi melagakan sesama ummat Islam Pattani. Mereka telah menggunakan berbagai helah bagi melemahkan ummat Islam Pattani. Antaranya mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan ini tidak syarie kerana Pattani ini asalnya adalah hak milik kerajaan Thailand.

Walau bagaimana pun perjuangan ummat Islam Pattani sudah sampai kepada apa yang disebut oleh Al Quran sebagai "Hari bertemunya dua ketumbukan", iaitu perjuangan pada hari ini hanya berlaku antara dua pihak, iaitu ummat Islam dan kaum Kafir yang zalim. Sesiapa yang memilih bersubahat dengan penjajah Thailand maka merekalah yang mengkhianati ummat Islam dan cenderung kepada kerajaan Thailand yang Zalim . Justeru, mereka yang bersekongkol dengan penjajah Thailand diberi amaran supaya kembali ke paksi perjuangan yang sebenar. Jangan sesekali menista para pejuang dengan tuduhan tidak berperi kemanusiaan kapada bangsa sendiri.

Perjuangan kemerdekaan Pattani bangkit di atas percikan darah para syuhada. Ummat Islam lebih rela mati berjuang dari hidup sesaat lagi di atas bumi Pattani yang di jajah. Kami memohon kapada Allah swt. Terimalah pengorbanan untuk mendaulatkan kalimatmu di bumi ini.

Ya Allah seandainya Dikau matikan kami semuanya maka tiadalah lagi hamba-hamba yang ikhlas menyembahmu di bumi Pattani.

Sumber Asal : Akhukum Pejuang Kecil

Monday, October 22, 2012

Putrajaya

Dr M kecewa seni bina Putrajaya hilang unik
SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi 'arkitek' pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru Kerajaan Pusat hampir dua dekad lalu, kecewa kerana ia sudah mula hilang keunikan asalnya.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri berkata, beliau berharap Putrajaya Holdings akan mengekalkan keunikan seni bina termasuk aspek ciri-ciri Islam seperti yang ditekankan di peringkat awal pembangunannya.

"Putrajaya Holdings, tolong, kekalkan keunikan seni bina Putrajaya," tulis beliau di blognya (klik disini) hari ini.

Dr Mahathir berkata, sebuah bangunan baru yang ditambah di Putrajaya terdiri daripada kaca tidak sedikit pun menggambarkan ciri-ciri Islam, yang tidak ada sifat-sifat imaginatif kerana ia kelihatan seperti kotak yang disusun antara satu sama lain.

“Saya tidak menafikan binaannya hebat, tetapi ia kelihatan hebat jika dibina di New York, bukan di Putrajaya,” kata beliau lagi yang bersara sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003.

Idea membangunkan Putrajaya, yang namanya diberikan sempena sumbangan Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri perrtama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, datang daripada Dr Mahathir, yang merupakan Perdana Menteri keempat dan menerajui pentadbiran Kerajaan Pusat dari pusat itu sejak 1999. Ia mula dibina awal 1990-an.

Mengikut makluman laman web Perbadanan Putrajaya, pelaksanaan pembangunan bandar baru ini telah bermula pada Ogos 1995.

Katanya, jika Putrajaya dibangunkan sepenuhnya, ia akan menawarkan sejumlah 64,000 unit perumahan yang dapat menampung keperluan lebih kurang 320,000 penduduk.

Putrajaya yang mempunyai keluasan 4,931 hektar terletak dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang strategik. Ia terletak di lokasi 25 kilometer ke selatan Kuala Lumpur dan 20 kilometer ke utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah menurut laman web Perbadanan Putrajaya, Putrajaya dibangunkan berasaskan tema “Bandar Dalam Taman”. Sejumlah 38 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan Putrajaya telah dibangunkan untuk kegunaan taman, tasik dan wetland, Manakala kawasan selebihnya meliputi kegunaan pejabat-pejabat.

Dr Mahathir turut menzahirkan kekecewaannya terhadap Putrajaya Holdings yang mengubah struktur binaan hingga melupakan ciri-ciri Islam yang sepatutnya diterapkan di setiap bangunan di Putrajaya.

“Saya ada mengunjungi London baru-baru ini, anda boleh lakukan apa saja yang anda suka di dalam rumah di sana, tetapi setiap unsur binaan di dalamnya akan membuatkan anda terus sedar yang anda berada di London.

“Jadi, saya berfikir, satu abad dari sekarang, saya mahu mereka yang mengunjungi Putrajaya sedar mengenai keunikan seni bina bandarnya,” ujarnya.

Beliau menambah, setiap negara mempunyai seni bina tersendiri dan pemaju di sana masih mampu menguruskan dan menjadikan negara mereka secara variasi dan terperinci agar ia tidak lari dari ciri-ciri asal negara mereka.

“Saya percaya setiap orang yang melihat seni bina tertentu di sana akan terus mengingati keunikan Putajaya dan jika ciri-ciri yang sedia ada hilang, tidak mungkin pengunjung dapat melihat keunikan sedia ada ini.

“Ini hanya pendapat saya, mungkin pihak lain akan berfikir sebaliknya,” katanya.

Sumber : sinarharian

Sunday, October 21, 2012

Sikap Ultra Kiasu

Tidak salah jadi `Cina pisang'
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengatakan, Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau juga menegaskan, ketika menjadi Menteri Pelajaran, Akta Pendidikan 1996 diwujudkan menggantikan Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran 1961 amat ditakuti kerana memberi kuasa penuh kepada Menteri Pelajaran untuk menukar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada sekolah kebangsaan.

Akta Pelajaran 1996, memberikan signifikan amat besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara langsung mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina (SPC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat kekal.

Sekadar makluman, selepas 1996, lebih banyak sumber kewangan diperuntukan pendidikan Cina. Pada masa itu, terdapat 78 sekolah menengah Cina yang memilih untuk mematuhi silibus dan pengajaran kerajaan dan ia menjadi SMJKC, manakala 60 lagi kekal sebagai SPC. Ini tidak termasuk sejumlah hampir 1,300 SJKC yang diterima masuk sebagai sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan SJKC terus bertambah setiap tahun melalui bantuan kerajaan sepenuhnya.

Akta 1996 yang lunak ini membolehkan kerajaan memberi bantuan kewangan, fiskal dan sumber perancangan kepada sistem pendidikan Cina. Namun, sedarkah kita bahawa akta ini juga ditentang oleh NGO Cina seperti Dong Jiao Zong, kerana mereka tidak mahu langsung sekolah Cina diganggu-gugat. Mereka mahu beroperasi dengan penuh kecinaan.

Najib turut menjelaskan kedudukan terkini permohonan pembinaan sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan, Pahang seperti yang dituntut komuniti di kawasan tersebut. Syarat yang dikenakan adalah pelajar-pelajar ini wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika pelajar mahu mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), itu terpulang kepada mereka.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membangunkan SJKC di seluruh negara. Selain itu, kerajaan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik UEC dan menyelesaikan segera isu kekurangan guru di SJKC. Itu pun masih ditentang kerana mereka mahu UEC diiktiraf sepenuhnya tanpa mengambil SPM.

Sebagai timbal balas, Perdana Menteri menaruh harapan melihat masyarakat Cina di negara ini fasih berbahasa Melayu. Persoalannya, bolehkah harapan Najib ini dipenuhi oleh komuniti Cina, terutama kumpulan ultra kiasu, setelah kerajaan memberi begitu banyak kemudahan dan begitu bertoleransi.

Tiada negara di dunia ini yang begitu bermurah hati dan bertoleransi seperti apa yang negara kita lakukan. Persoalannya, kenapa tidak dihargai? Apa jua cadangan kerajaan untuk penambahbaikan sekolah Cina adalah ditentang habis-habisan. Toleransi yang tidak ada tolok bandingnya ini masih lagi diterima.

Apa yang dimahukan oleh orang Cina? Apakah mereka mahu tinggal di pulau sendiri seperti Singapura dan sasaran mereka hari ini adalah Pulau Pinang.

Lebih memeranjatkan lagi, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan isu pendidikan dan kesaksamaan ekonomi, yang disebut sebagai road map, adalah daya penarik bagi menarik undi masyarakat Cina yang kebanyakannya kini beralih menyokong pakatan pembangkang. Road map yang dimaksudkan mengiktiraf UEC, seperti kerajaan mengiktiraf sijil dikeluarkan Kolej Tunku Abdul Rahman.

Selain itu, terdapat beberapa tuntutan utama lain yang mesti dipenuhi iaitu mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC; menghalau keluar guru-guru bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak mempunyai kredit Mandarin dalam SPM, kesukaran permohonan pendaftaran ahli lembaga pengarah pengelola sekolah Cina, mencinakan penubuhan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan, meluluskan penubuhan sekolah Cina persendirian Segamat, tambahan peruntukan pembangunan SJKC dan menyediakan rizab tanah sekolah Cina dan peruntukan yang diperlukan untuk membina sekolah.

Kata Saifuddin lagi, sekiranya isu-isu seperti itu berjaya diselesaikan, komuniti masyarakat Cina berkemungkinan besar akan kembali untuk menyokong kerajaan. Persoalan saya, jika semua tuntutan dipenuhi, identiti apa yang akan tinggal? Kita membina negara atau membina bangsa? Raikan bangsa majoriti atau minoriti?

Saya harap kerajaan buat audit akaun-akaun NGO-NGO ini termasuk PIBG dan sumbangan hartawan Cina kepada mereka. Percayalah, jutaan wang telah ditaburkan. Maka tidak hairan jika kemudahan sekolah Cina jauh lebih baik daripada sekolah kerajaan kerana sikap dermawan hartawan mereka. Perkara yang perlu difikirkan adakah pendidikan dan masa depan boleh dijual beli?

Jika semua tuntutan ini dipenuhi maka berlakulah proses pencinaan 100 peratus. Mereka lebih Cina daripada orang Cina di China. Ini tidak termasuk, proses pencinaan IPTS swasta yang hebat berlaku dan IPTS berasaskan parti politik perkauman.

Proses pencinaan berlaku daripada sekolah rendah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Jika semua ini terus dibiarkan berlaku, tidak ada ertinya nama Malaysia, kerana identiti Malay (Melayu) sudah tidak wujud lagi. Yang ada, hanya menonjol Chinesesia.

Hargai toleransi dan sikap murah hati PM. Ini tidak, mereka terus menerus mendesak kerajaan supaya terus mencinakan pendidikan Cina. Mereka langsung tidak memikirkan tentang bangsa majoriti yang semakin hilang identitinya semata-mata meraikan bangsa lain.

Sudahlah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak terdaulat. Hari ini sistem pendidikan tidak menyokong ke arah mendaulatkan bahasa kebangsaan. Peruntukan tahunan sudah menjadi sama rata. Di manakah maksud adil yang sebenarnya? Adil sudah tidak membawa makna meletakkan sesuatu pada tempatnya, tetapi sudah menjadi 1>1. Adilkah namanya?

Percayalah, jika orang Cina terus mengambil pendekatan tertutup yakni terus mencinakan sekolah Cina, lebih Cina daripada negeri Cina. Suatu hari ini orang Cina juga yang akan rugi dan menyesal. Mereka akan ketinggalan. Kecinaan yang keterlaluan tidak akan membawa keuntungan kepada orang Cina, kerana orang Cina tidak tinggal di lubuk sendiri.

Tidak salah menjadi 'Cina pisang' sedikit, sebab kita berada di tempat orang, bukan tempat asal kita dahulu. Saya tidak langsung membantah, jika orang Cina mahu menjadi secina-cinanya jika mereka berada di negara China.

Tetapi hari ini kita berada di Malaysia. Negara yang majoritinya adalah Melayu dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Bahasa untuk orang Cina berinteraksi dengan orang Melayu adalah bahasa Melayu. Bahasa perpaduan dan integrasi adalah bahasa Melayu.

Mustahil orang Melayu akan berkomunikasi dalam bahasa Cina dengan orang Cina. Itu pun orang Melayu sanggup korbankan lenggok dan gaya bahasa Melayu semata-mata meraikan orang Cina.

Janganlah kerana tidak mahu menjadi Cina pisang, kita turut mahu mencinakan negara ini. Sikap seperti tidak akan membawa kepada pembinaan negara bangsa yang sihat. Tetapi hanya akan menambah luka yang sedia ada. Mungkin ketika itu pemimpin NGO Cina yang ultra kiasu ini, sudah tidak ada lagi. Tetapi yang akan menjadi mangsa adalah generasi yang akan datang.

Saya langsung tidak anti Cina, sebab saya juga adalah Cina. Tidak salah jika kita menjadi Cina pisang atau kita tidak rugi sedikit pun jika kurang sedikit kecinaannya, kerana kita sudah dapat yang sepatutnya.

Oleh : Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Saturday, October 20, 2012

Meja Di Restoran Canggih Ini Semuanya Touchscreen

Saat ini bukan hanya alat iPad sahaja yang menggunakan skrin sentuh (touchscreen), tapi restoran ini juga menggunakan meja touchscreen. Anda tidak sedang tertipu. Ya benar, touchscreen.

Inamo Restaurant yang terletak di 134-136 Wardour Street, London ini, benar-benar unik dan canggih. Meja makannya adalah touchscreen. Dari meja touchscreen ini para pelanggan restoran boleh menempah makanannya, menempah teksi, dan keperluan-keperluan lain.









Sekilas meja touchsreen tersebut terlihat bagai peranti iPad berukuran raksasa, tetapi sebenarnya meja touchscreen ini dikendalikan oleh sebuah projektor yang menyoroti semua gambar di atas meja dan mempunyai sensor gerakan tangan.














Jual Lembu Korban Dengan Cara Yang Unik

DEPOK, Indonesia - Seorang ahli perniagaan, Ramdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi tempat jualan sejumlah lembu untuk dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.

Dia turut menggaji beberapa wanita yang memakai pakaian koboi untuk menjadi jurujual lembu dan melayan pelanggan-pelanggannya.

Jurujual wanita itu turut membawa komputer tablet yang mengandungi maklumat tentang lembu seperti umur, berat badan dan baka haiwan tersebut.

Para pembeli juga boleh membeli lembu itu dengan menggunakan kad kredit dan debit. - Agensi

Friday, October 19, 2012

Keistimewaan Surah Yasin

ALHAMDULILLAH, maka kali ini penulis ingin menumpukan kepada surah-surah pilihan untuk ditafsirkan. Ia bermula dengan surah Yasin yang sentiasa dibaca dan dilazimi oleh masyarakat Islam, khususnya di Malaysia.

Surah ini termasuk dalam golongan surah Makiyyah, kecuali ayat: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka daripada keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46) yang termasuk dalam ayat Madaniyyah.

Surah Yasin ini mengandungi 83 ayat dan ia turun selepas surah al-Jin. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya, Allah SWT berfirman: .......Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang memberi amaran….. (Fatir: 37), dan juga dalam ayat lain: Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh sumpahnya. Demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran… (Fatir: 42)

Namun, tatkala pemberi peringatan itu datang kepada mereka, mereka mendustakannya dan tidak mahu mengikutnya. Dengan demikian, Allah SWT pun memulakan surah ini dengan sumpah tentang kebenaran kerasulan Muhammad SAW dan menjelaskan bahawa Baginda berada di jalan kebenaran. Penjelasan ini adalah untuk memberi peringatan kepada suatu kaum yang sebelumnya belum pernah diberi peringatan.

Dalam surah yang lepas, Allah SWT berfirman: …dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Tiap-tiap satu daripada kedua-duanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan… (Luqman: 29), sedangkan dalam surah ini Allah S.W.T. berfirman: Dan (sebahagian daripada dalil yang tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya… (Yasin: 38), dan firman-Nya juga: Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat… (Yasin: 39)

Sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah Yasin ini, di mana tidak dibaca dalam keadaan sukar kecuali Allah mempermudahkannya. Begitu juga bacaan surah Yasin ketika berada dalam sakaratul maut, akan diturunkan rahmat dan berkat serta dipermudahkan keluarnya roh.

Memudahkan
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan tetapi mereka berpendapat sunat dibaca pada hari Khamis kerana keluasan rezeki, hari Selasa menolak daripada kezaliman dan selamat daripada musuh seterusnya hari Ahad untuk mencapai kedudukan yang terpuji.

Walaupun begitu, ramai ulama telah mengamal bacaan Yasin dan didapati cukup mujarab berkenaan dengan permintaan dan hajat yang diajukan kepada Allah Rabb al-Alamin.

Firman Allah SWT: Yaa, siin. Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 1-4)

Firman Allah SWT: Yaa, siin. (Yasin: 1)

Ibnu Kathir berkata: Huruf yang terputus telah dibicarakan pada permulaan surah al-Baqarah dengan panjang lebar. Pendapat yang paling kuat bahawa Allah sahaja yang mengetahui maksudnya.

Justeru, wajib kita beriman dan ini juga sebagai bukti kalam Allah sehingga lemah manusia untuk menafsirkannya.

Firman Allah SWT: Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 2-4)

Syed Qutub berkata: Al-Quran yang amat bijaksana mendidik manusia dengan penuh kebijaksanaan mengikut metodologi akal dan psikologi yang membebaskan seluruh tenaga manusia serta membimbingnya ke arah jalan yang baik dan lurus. Allah SWT bersumpah dengan Yasin dan dengan al-Quran untuk menegaskan wahyu dan kebenaran risalah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah dengan al-Quran yang penuh hikmah dan tidak mengandungi unsur kebatilan sama ada dari depannya ataupun dari belakang. Wahai Rasul! Sebenarnya engkau benar-benar tergolong bersama orang yang diutus untuk menyampaikan agama yang lurus. Al-Quran menegakkan satu sistem hidup yang membenarkan manusia melakukan segala aktiviti yang berkait dengan matlamat kehidupan.

Penutup
Sebenarnya ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan betapa mulianya surah Yasin dan hubungan antara al-Quran dengan rasul amat kukuh, begitu juga kedua-duanya memandu dan memimpin ummah ke arah jalan yang benar-benar lurus dengan manusia akan mendapat hidayat serta petunjuk selama mana berpegang kepada kedua-duanya tanpa berpaling kepada yang lain.

Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang mendapat keredaan-Nya. Amin.

Sumber : utusan malaysia

Wednesday, October 17, 2012

Ketulenan Bahasa Melayu Harus Dimartabatkan

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu harus dimartabatkan ketulenannya demi memastikan bahasa itu yang jelik tidak diwarisi kepada generasi akan datang, kata seorang tokoh pejuang bahasa Melayu hari ini.

Profesor Dr Teo Kok Seong, 59, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata imej bahasa Melayu semakin tercemar dengan penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak yang kerap digunakan oleh generasi hari ini.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM itu berkata bahasa Melayu wajar digunakan di semua sektor awam serta swasta dan kualitinya mestilah berada pada tahap yang betul untuk memberi imej yang baik.

"Aspek tatabahasa, imbuhan dan kosa kata harus difahami. Apa yang penting kita kena mengubah sikap untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 di sini.

Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 22 Disember dengan pelbagai kegiatan bercorak bahasa dan sastera disediakan untuk orang ramai.

Anugerah tersebut adalah yang pertama seumpamanya bagi Teo setelah 33 tahun terbabit memperjuangkan bahasa Melayu melalui kuliah, ceramah dan penulisan.

Turut hadir Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Bernama

Tuesday, October 16, 2012

Renungi Perbezaan Pas Dahulu, Pas Sekarang...

"SEBURUK-buruk orang yang kamu kata kafir tetapi ia masih bina sekolah agama rakyat. Yang kamu kata sesat, dia masih bina masjid....
Yang kamu kata sekular... Dia boleh bina Maahad Tahfiz al-Quran. Tanya pada diri kamu...sendiri masjid mana yang kamu buat."

Itu petikan ungkapan daripada seorang ustaz yang kebetulan ditemukan saya (penulis) dalam ruang laman sosial.

Saya serahkan kepada pembaca untuk menilai dan buat pertimbangan yang adil.

Sebelum ini Pas mengatakan 'haram dan kafir' jika berkongsi kuasa dengan kafir untuk memerintah. Pas kata 'tidak ada perpaduan dengan orang-orang kafir'.

"Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram" - Hukum Dewan Ulama Pas Kelantan, Ogos 1963.

Terdengar lagi, sebelum ini Pas kata "pemerintah yang tak melaksanakan hudud bererti menolak Islam".

Kata Pas, "Perlembagaan negara adalah perlembagaan kafir tinggalan penjajah dan menentang UMNO kerana mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan tersebut". Dan Pas kata "Pas hanya akan guna al-Quran dan hadis sebagai Perlembagaan Negara dan sumber rujukan".

Tapi sekarang Pas sudah ubah terus hukum-hukum yang mereka buat dulu. Pas telah bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.

Pas sudah bersetuju dan berjanji dengan DAP dan PKR untuk sama-sama pertahankan dan amalkan perlembagaan negara sedia ada. Dan menggunakan buku jingga sebagai panduan untuk memerintah sekiranya pakatan menang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pas gugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

Pas isytihar bersama-sama dengan DAP dan PKR bahawa hudud bukan lagi agenda Pas/DAP/PKR, walaupun mendakwa DAP sudah faham Islam hasil penjelasan Pas dan membawa DAP ke masjid-masjid dan surau-surau supaya umat Islam menerima DAP sebagai rakan kongsi kuasa Pas.

Direnungi lagi. Suatu ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan puak-puak Anwarinas dalam Pas menolak sekeras-kerasnya tawaran UMNO untuk bermuzakarah dan menekan sesiapa sahaja dalam Pas termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden tempoh hari (kini bekas), Nasharudin Mat yang bersetuju dengan hasrat UMNO untuk bermuzakarah.

Tetapi apabila DAP mengatakan akan tetap membantah dan tidak menyokong pelaksanaan hudud, Nik Abdul Aziz membuat pengisytiharan bahawa Pas sedia bermuzakarah dengan sesiapa saja termasuk UMNO demi kepentingan ummah.

Adakah Nik Aziz betul-betul ikhlas nak bermuzakarah. Atau sengaja bersandiwara untuk nak gertak DAP supaya jangan bantah dan komen apa-apa tentang hasrat Pas untuk nak laksanakan hudud.

Hal demikian ini kerana Pas dan DAP sama-sama faham bahawa tanpa sokongan dan persetujuan DAP, Pas tidak boleh laksanakan hudud dalam perkongsian kuasa mereka.

Pas menolak sistem pendidikan negara tetapi sebaliknya menggalakkan pula anak-anak mereka untuk belajar di institut pengajian yang diusahakan oleh kerajaan. Pas tidak menyokong Dasar Pembangunan Nasional yang dibincangkan dalam Dewan Rakyat tetapi mereka juga yang memperoleh banyak faedah daripadanya.

Pas bekerjasama dengan parti-parti yang tidak membela Islam yang diperjuangkan olehnya, sedangkan parti-parti itu memandang rendah kepada usaha-usaha dan gerakan Islamiah serta perpaduan masyarakat Melayu.

Cuba toleh ke belakang. Bezanya Pas dulu dan Pas sekarang.

Oleh : Zulkifli Jalil

Friday, October 12, 2012

Malaysia Ketandusan Cerdik Pandai?

Ketika pelbagai pihak, khususnya rakyat asing yang berada di negara ini pada jangka masa yang lama serta pelawat asing lain kagum dengan suasana hubungan baik antara pelbagai kaum di sini, malangnya masih ada sesetengah rakyat tidak mahu mengakui wujudnya hubungan sedemikian.

Mereka berterusan menimbulkan sentimen perkauman kononnya keadaan di negara ini indah khabar daripada rupa. Kononnya bukan Melayu berterusan ditindas dan tidak diberi peluang untuk maju. Bukan Melayu kononnya sentiasa menghadapi diskriminasi dan semua peluang untuk maju dibolot orang Melayu.

Demikian juga akhbar Cina dengan nada sama juga menyiarkan makalah mahu pun surat yang berterusan membuat tohmahan sedemikian. Lebih membimbangkan ialah beberapa portal berita yang mendabik dada sebagai bebas tetapi sebenarnya dikuasai pertubuhan atau orang tertentu sering saja menyiarkan tohmahan yang amat berbahaya ini.

Mereka tidak habis-habis mengungkit kononnya terdapat diskriminasi terhadap orang bukan Melayu di sini. Kononnya mereka berterusan tidak diberi peluang mendapat pekerjaan, khususnya dengan pertubuhan berkaitan kerajaan atau peluang lain. Kalau benar mereka tidak diberi peluang masakan mereka berterusan menguasai sektor perdagangan dan perniagaan?

Tetapi apakah tuduhan itu berasas? Mungkin ada satu dua yang menghadapi kesulitan tertentu tetapi ini bukanlah suatu gejala berleluasa atau menjadi perkara yang dimaktubkan kerana orang Melayu juga ada yang menghadapi masalah serupa.

Terikat perjanjian biasiswa
Jadi tidak menghairankan persoalan pelajar Malaysia yang tidak mahu pulang disalahkan atas diskriminasi terhadap bukan Melayu. Gambarannya bukan Melayu saja yang tidak pulang untuk berkhidmat dan menyumbang bakti kepada negara sendiri.

Sememangnya kebanyakan daripada pelajar Melayu yang berkelulusan di luar negara pulang untuk berbakti kepada negara. Apakah ini kerana cerdik pandai Melayu tidak menghadapi diskriminasi sebagaimana ditohmah ditempuhi lulusan bukan Melayu?

Atau apakah ramai antara lulusan Melayu itu pulang kerana mereka tidak mahu berjauhan dari kampung halaman dan kaum keluarga? Ini tidak dapat dipastikan.

Mungkin juga kebanyakan daripada lulusan Melayu itu pulang kerana terikat dengan perjanjian biasiswa atau dermasiswa yang mereka terima. Sememangnya sejumlah besar daripada pelajar Melayu tidak mampu untuk belajar di luar negara dengan biaya ibu bapa mereka berbanding pelajar persendirian bukan Melayu.

Ini juga dengan sendirinya menunjukkan bahawa bukan Melayu lebih mampu untuk membiayai pengajian anak-anak mereka di luar negara. Sekiranya benar tohmahan bahawa bukan Melayu tidak diberi peluang untuk maju, bagaimana pula mereka ini boleh membiayai pengajian anak-anak mereka di luar negara?

Pendapat luar negara lebih tinggi
Tetapi apa yang tidak boleh dinafikan ialah lulusan itu yang bekerja di luar negara iaitu di negeri di mana mereka belajar dan lulus kerana menerima pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada yang mereka boleh harapkan di Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa gaji yang ditetapkan syarikat tempatan sememangnya tidak kompetitif.

Mengikut angka yang pernah dikeluarkan Bank Dunia sehingga 2010, dianggarkan seramai sejuta rakyat Malaysia bertaburan di seluruh dunia dan sepertiga daripada mereka terdiri daripada kumpulan cerdik pandai yang mempunyai kemahiran tinggi.

Kebanyakan mereka tertumpu di Singapura dan selebihnya di Australia, Amerika Syarikat, Britain dan juga di Brunei.

Malah di Singapura saja sebanyak 54 peratus daripada pekerja cerdik pandai di sana adalah rakyat Malaysia, demikian mengikut laporan Bank Dunia itu. Ini tidak menghairankan kerana bukan saja gaji di republik itu tinggi tetapi dengan tukaran S$1 bersamaan RM2.50, tentunya pendapatan mereka sungguh lumayan. Tetapi apa yang harus diambil kira ialah kos saraan hidup yang amat tinggi di republik itu.

Laporan Bank Dunia itu juga menyatakan bahawa kumpulan cerdik pandai Malaysia bekerja di luar negara kerana pekerjaan dan masa depan mereka yang kurang baik di sini. Ia juga disebabkan gaji yang terlalu murah dan ketidakadilan dalam masyarakat.

Laporan itu tidak pula menyatakan bagaimana ia boleh membuat rumusan wujudnya ketidakadilan demikian atau cerdik pandai bukan Melayu menghadapi masa depan yang kurang baik. Ini kerana sehingga kini tidak siapa pun pernah menjalankan kaji selidik mengenai sebab cerdik pandai itu bekerja di luar negara. Tanpa tinjauan sahih, ia tentunya akan berupa satu andaian saja.

Dalam pada itu, akhbar Nanyang Siang Pau pula ada menyiarkan wawancara dengan Ketua Pegawai Eksekutif ICLIF (Leadership & Governance Centre), Rajeev Peshawaria mengenai pelaburan asing di sini yang mentohmahkan bahawa di Malaysia tidak ada kumpulan orang cerdik pandai.

Malah, Rajeev berkata setiap CEO yang beliau temui berkata cabaran paling besar bagi mereka ialah mereka tidak menemui cerdik pandai yang sesuai untuk mereka.

Apakah tohmahan demikian benar? Apakah hanya kerana ramai cerdik pandai tidak kembali bekerja di sini setiap CEO yang beliau jumpa berkata Malaysia ketandusan cerdik pandai? Tuduhan ini satu tamparan hebat kepada rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan pelbagai syarikat di sini.

Oleh : Rejal Arbee

Thursday, October 11, 2012

Amra Babic, Datuk Bandar Wanita Pertama Bosnia

VISOKO, Bosnia-Herzegovina - Seorang ibu kepada tiga orang anak, Amra Babic merupakan datuk bandar wanita yang pertama memakai tudung di negara ini.

Menurut Amra, rakan-rakannya menunjukkan semangat yang jitu kerana memilih beliau sebagai datuk bandar.

Amra, 43, memenangi 30 peratus undi pada pilihan raya datuk bandar di sini yang didiami 40,000 penduduk.

Beliau merupakan ahli ekonomi dan pernah menjadi menteri kewangan untuk wilayah Zenica mewakili Parti Tindakan Demokratik.

"Saya percaya tudung kepala saya tidak akan menjadi penghalang (untuknya melaksanakan tugas)," katanya kelmarin.

"Saya tidak akan menyalahgunakan politik untuk kepentingan agama," tambahnya yang dipilih para pengundi pada Ahad lalu.

Suaminya terbunuh dalam Perang Bosnia yang berlaku pada 1992 hingga 1995. - AFP

Tuesday, October 9, 2012

Wanita Telanjang Ini Cuba Untuk Menjinakkan Paus

Seorang saintis wanita telanjang bila cuba untuk menjinakkan paus beluga di Kutub Utara yang membeku.

Natalia Avseenko, 36, dipujuk untuk telanjang sebagai ahli marin yang percaya bahawa paus beluga tidak suka disentuh oleh bahan buatan seperti pakaian menyelam. Penyelam dari Rusia itu nekad menyelam dengan suhu air mencapai minus 1.5 darjah Celcius.



Penjinakan paus berlaku di kawasan Wilayah Murmansk di hujung utara-barat Rusia di pantai Laut Putih dekat Lingkaran Kutub Utara

Rata-rata manusia boleh mati jika dibiarkan di sub-sifar suhu air laut selama lima minit.

Namun, Natalia adalah seorang ahli yoga dan teknik meditasi yang digunakan untuk menahan nafas dan tetap di bawah air selama 10 minit 40 saat

Paus beluga yang terkenal kerana cara wajah mereka yang mampu menyampaikan mesej kepada manusia seperti ekspresi.

Sumber : bestoneoffour

Bukan Mudah Tubuh KR1M

KUALA LUMPUR - Meskipun sudah berada dalam kelompok usahawan tempatan yang berjaya dan disegani dalam bidang peruncitan dengan jenama Mydin, Datuk Amer Ali mengakui pengalamannya yang terlibat secara langsung dalam penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bukan mudah.

Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd. itu berkata, cabaran itu timbul kerana pembukaan KR1M dipolitikkan tanpa mengetahui matlamat dan tujuan asal kerajaan mewujudkan kedai yang menjual produk pada harga cukup murah.

Menurutnya, beliau bersetuju untuk membantu kerajaan menubuhkan KR1M atas dasar mahu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang rendah tetapi sejak awal penglibatan Mydin dalam KR1M sehingga hari ini perkara itu dipolitikkan.

Peneraju perniagaan Mydin itu berkata, syarikat itu kini sudah berjaya menjalankan operasi 59 KR1M dan dalam proses untuk melengkapkan sasaran yang ditetapkan termasuk penglibatan sama empat usahawan lain.

"Jadi kalau ada pihak yang mahu kata Mydin mahu monopoli KR1M tidak benar sama sekali kerana pembabitan kami dalam KR1M atas dasar tanggungjawab korporat.

"Mungkin orang boleh berkata apa sahaja tetapi dalam usia saya yang semakin menginjak, bagi saya segala bantuan yang saya berikan kepada kerajaan melalui KR1M hanya untuk mendapat berkat, hendak dapat pahala.

"Saya terlibat atas niat hendak menolong. Sebagai seorang Islam, saya telah diajar untuk membantu golongan yang memerlukan. Yang lain-lain bukan keperluan saya lagi. Saya percaya dengan pertolongan ini, rezeki saya akan lebih baik," katanya ketika ditemui di sini.

Amer tidak menolak pelbagai tuduhan liar yang dibuat itu kerana banyak pihak tidak faham akan kerjasama antara kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya, kerajaan hanya memberi peruntukan bagi modal perbelanjaan sebanyak RM585,000 bagi sebuah kedai yang mempunyai dua pintu. Peruntukan berkenaan untuk kos-kos pengubahsuaian, sewa dan lain-lain.

Tetapi, bagi modal kerja iaitu membeli barangan, membayar gaji dan stok perlu dikeluarkan antara RM300,000 hingga RM400,000 oleh Mydin sepenuhnya, jelasnya.

"Dan, jualan pula bergantung kepada lokasi. Cuma apa yang boleh saya katakan ialah margin keuntungan yang saya boleh peroleh dari KR1M hanya satu hingga dua peratus sahaja berbanding lima hingga 15 peratus bagi kebiasaan untuk perniagaan runcit," katanya.

Ditanya dakwaan pihak tertentu kononnya KR1M akan membunuh peniaga-peniaga kecil, Amer berkata, perkara itu bukan isu kerana KR1M tidak diletakkan bersama kedai-kedai runcit yang lain.

Beliau hairan isu berkenaan terus diperkatakan sedangkan pada dasarnya perniagaan memang satu persaingan, cuma apabila dikaitkan dengan KR1M ia tidak berasas langsung.

"KR1M hanya ada 85 buah saja bukan 8,000 kedai. Kalau dibandingkan dengan jumlah pasar raya 99 Speedmart yang ada 362 buah cawangan atau KK Mart, tidak nampak logik langsung dakwaan itu.

"Saya pun tertanya-tanya mengapa KR1M pula dilihat memberi persaingan bukan pasar raya lain," katanya.

Ditanya mengapa Mydin masih menjadi sasaran dalam penubuhan KR1M, dengan selamba Amer berkata: "Kalaulah Bill Gates diminta bantu mungkin orang tidak akan mempertikaikan, tetapi kalau Mydin tolong, orang akan bertanya mengapa Mydin bantu," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Amer berkata, tidak semestinya Mydin sahaja yang boleh membantu kerajaan menjalankan KR1M tetapi syarikat-syarikat milik kerajaan atau individu serta organisasi lain juga boleh berbuat demikian.

"Contohnya Sime Darby Bhd. atau Felda, kedua-duanya boleh membuka KR1M kerana mereka juga boleh membantu komuniti masing-masing," jelasnya.

Sumber : utusan

Filipina, MILF Berdamai

Perjanjian damai Filipina-MILF dimeterai 15 Okt

MANILA - Perjanjian damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan ditandatangi secara formal 15 Oktober ini susulan persetujuan yang dicapai lewat malam tadi.

Malaysia memainkan peranan signifikan dalam perundingan antara kedua-dua pihak itu.

Rangka kerja itu menyediakan wilayah autonomi yang baru lagi meluas di Mindanao, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bercakap di sini hari ini, Presiden Filipina Benigno Aquino berkata, satu rangka kerja telah dicapai hasil perbincangan dengan MILF.

Perkembangan itu dijangka akan menamatkan konflik 40 tahun yang telah meragut lebih 120,000 nyawa.

Antara perkara utama rangka kerja dipersetujui ialah:

- Mewujudkan wilayah autonomi baru, lebih luas
- Pengunduran tentera Filipina secara berperingkat
- Menjamin hak asasi manusia dan demokrasi
- Menjanjikan pembangunan dan pengagihan kekayaan semula jadi secara adil
- Mengembangkan mahkamah syariah bagi penduduk beragama Islam

Perundingan antara MILF dan Kerjaaan Filipina berlarutan lebih 15 tahun, yang turut tergendala disebabkan keganasan di wilayah selatan itu.

"MILF sangat gembira dengan perjanjian ini," kata Naib Pengerusi (Hal Ehwal Politik) MILF, Ghazali Jaafar.

MILF berharap kandungan perjanjian dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum tempoh khidmat Aquino sebagai Presiden Filipina berakhir pada 2016.

Laporan media asing menyebut bahawa rangka kerja itu akan membolehkan 'perjanjian komprehensif' dicapai menjelang akhir tahun ini.

"Perjanjian rangka kerja ini akan menyediakan ruang bagi keamanan yang muktamad dan berkekalan di Mindanao," kata Aquino ketika mengumumkan kandungan rangka kerja di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, "kerja-kerja ke arah itu tidak selesai di sini (hari ini)."

"Masih ada butiran yang perlu diperincikan oleh kedua-dua pihak," kata beliau lagi.

Sunday, October 7, 2012

Protes Anti-AS Di Pakistan Tambah Rezeki Pembuat Bendera


ISLAMABAD - Susulan tunjuk perasaan membantah filem Innocence of Muslims sejak awal bulan lalu, pembuat-pembuat bendera di Pakistan senyum lebar kerana tempahan menjahit bendera Amerika Syarikat (AS), yang digunakan untuk dipijak dan dibakar, meningkat berkali ganda.
"Setiap kali tunjuk perasaan akan berlaku, saya mampu untung10 kali ganda berbanding hari biasa," kata Naveed Haider kepada AFP ketika ditemui di kedainya di Rawalpindi.
Semenjak tunjuk perasaan di jalanan meletus, Naveed tidak pernah aman, bukan kerana bunyi bising atau tembakan, tetapi dia tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan bendera yang sangat banyak.

Bendera AS dijual antara AS$1.25 (RM3) dan AS$16 (RM48), bergantung kepada saiz dan kualiti pembakaran bendera itu yang dikehendaki oleh pelanggannya.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa, permintaan tinggi terhadap bendera ini sebenarnya mempunyai kaitan perasaan rakyat Pakistan yang anti-Amerika berhubung keganasan Taliban dan serangan AS meletus selepas Washington isytihar perang ke atas pengganas bermula pada penghujung 2001.

Di India, bendera asal AS, Old Glory turut dibakar dan dianggap sebagai musuh nombor satu negara itu.
Dengan hanya Rp$1,500 (RM49), sehelai bendera berukuran tiga suku meter boleh didapati dengan jaminan ia mudah dibakar - perkara yang menjadi keutamaan penunjuk perasaan terutamanya ketika mereka mahu jurukamera stesen televisyen merakam aksi mereka.
"Ia memberikan saya kepuasan maksimum, bukan kerana perbuatan jenayahnya tetapi perasaan itu sukar digambarkan," kata seorang pelayan, Assim, 22.
Sebelum itu, tunjuk perasaan memprotes filem yang membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia itu telah membunuh 50 orang sejalk 11 September lalu.
Di Pakistan sahaja, tunjuk perasaan itu telah merebak ke seluruh negara membabitkan 45,000 orang dengan 21 terbunuh manakala 229 lagi cedera ketika bertempur dengan polis.
Sementara itu, parti Shiite Islam, Majlis-e-Wahadatul dilaporkan membekalkan bendera-bendera itu kepada kumpulan mahasiswa untuk digunakan pada tunjuk perasaan itu.
"Kami mampu mengedarkan 500 bendera dalam masa sejam," ujar Mazhar Shigri, jurucakap kumpulan itu ketika ditemui di Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan.
Kumpulan itu turut dilaporkan sedang mempersiapkan diri untuk tunjuk perasaan dalam masa terdekat dengan menghasilkan bendera AS berukuran 500 meter panjang dan 60 meter lebar.
“Ini supaya pemandu kenderaan dan pejalan kaki juga dapat melihat bendera ini,” jelas Shigri lagi.


Friday, October 5, 2012

Kemelayuan Kita Semakin Terhakis

Sajak bertajuk Bersatulah Melayu ciptaan Dr Lim Swee Tin membawa maksud sudah tiba masanya Melayu kembali bertaut walaupun mempunyai perjuangan politik masing-masing. Mesejnya boleh diterjemahkan dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 bahawa apa yang lebih penting ialah Melayu mesti memikirkan masa depan bangsa dan apa akan berlaku jika perpecahan itu tidak dibendung dan dibiarkan berlarutan.

Maka benarlah pepatah Melayu yang menyatakan ‘jangan retak mencari belah’ kerana apabila ini berlaku, maka tercetuslah perpecahan. Sajak Swee Tin itu dideklamasikan seorang penduduk, Sarina Omar pada majlis sambutan Merdeka Raya anjuran Persatuan Penduduk Taman Changkat Desa/Melewar Fasa 2, Gombak, 16 September lalu.

"Bersatulah Melayu, Melayu itu cermin, Dalam jernihnya kita menilik, Kita menilik mencari wajah, Wajah Melayu wajah kita;" - Swee Tin

Swee Tin menarik perhatian kerana seruannya terhadap penyatuan Melayu, apatah lagi apabila dihasilkan oleh bukan Melayu.

Justeru apabila beliau menegaskan: "Bersatulah Melayu, Melayu itu cermin, Dalam jernihnya kita menilik, Kita menilik mencari wajah, Wajah Melayu wajah kita;" mesejnya membawa maksud yang begitu mendalam sekali apabila ia dipadankan dengan keadaan Melayu masa kini.

Ternyata perpecahan bukan hanya berlaku antara kaum tapi juga sesama Melayu sehingga kini wujud tiga kelompok terbesar dalam masyarakat berdasarkan sokongan politik.

Swee Tin mengakhiri nukilannya itu dengan menganjurkan supaya Melayu merintis jalan untuk bersatu semula.

Sebarang usaha untuk merintis perpaduan ini hendaklah disokong walaupun ideologi kepartian tidak sama. Apa gunanya kalau menang tapi kuasa dipegang pihak lain?

Sebenarnya usaha ke arah itu sudah beberapa kali dirintis pada pertemuan antara wakil UMNO dan PAS tapi gagal kerana halangan politik kepartian.

Penulis ingin memetik pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai nasib Melayu di negara jiran.

Katanya, di Singapura tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa pengantar di sekolah ialah Inggeris dan Cina. Segala urusan rasmi dan tidak rasmi pula menggunakan bahasa Inggeris atau Cina, maka Melayu sudah tidak menggunakan bahasa Melayu.

Mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika bercakap dengan anak, anggota keluarga dan kawan. Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanya agama Islam mereka.

Dr Mahathir berpendapat kemelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan kemelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

Di selatan Thai pula, kata bekas Perdana Menteri itu, orang keturunan Melayu tidak dapat bertutur kata dalam bahasa Melayu walaupun beragama Islam. Bahasa rasmi mereka ialah bahasa Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ.

Di Malaysia, tambah beliau, kehilangan Melayu juga sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya mengakui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan Melayu.

Walaupun Dr Mahathir tidak menyebutnya, penulis ingin mengimbas kenyataan seorang menteri beberapa tahun lalu yang mendabik dada dengan berkata beliau orang Malaysia dan lepas itu baru Melayu.

Malangnya sesiapa yang bercakap mengenai Melayu dituduh rasis menyebabkan orang Melayu tidak berani menyebut perkataan Melayu. Justeru, malulah Melayu sehingga terpaksa penyair Cina seperti Swee Tin mencipta sajak untuk mereka.

Hang Tuah pernah berkata ‘Tidak Melayu Hilang di Dunia’. Justeru, janganlah kerana perpecahan, ungkapan itu hanya tinggal kenangan.

Sampai bilakah Melayu harus bercakaran sesama sendiri? Sekiranya apa yang berlaku di sekeliling kita pun tidak dapat menyedarkan Melayu, entah apa lagi?

Oleh : Razak Rashid Ghows