Saturday, October 23, 2010

Wanita Lemah Syahwat


SEBUT saja masalah ereksi disfungsi atau ED pastinya ramai segera menuding jari ke arah lelaki. Tidak ramai yang membicarakan masalah lemah syahwat di kalangan wanita kerana ia kurang diperkatakan. Jika lelaki lebih terbuka membicarakan kehebatan mereka di ranjang, wanita sebaliknya lebih berpegang kepada persepsi ‘masalah di ranjang seharusnya ditinggalkan dalam bilik tidur juga.’

Tidak hairanlah masalah wanita ini hanya berani diperkatakan secara terbuka sejak lima tahun kebelakangan ini berbanding isu ED di kalangan lelaki yang kerap dicanangkan.

Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian Kelantan, Prof Dr Shah Reza Johan, berkata jika dilihat proses embriologi (pembentukan janin) dan jaringan penyaluran darah ke sistem reproduksi wanita dan lelaki, wanita juga boleh mengalami masalah ED seperti lelaki.

Keadaan lebih sukar apabila wanita itu sendiri yang rata-ratanya tidak menyedari mereka berhadapan dengan masalah ini kerana ia tidak dapat dilihat secara fizikal seperti mana lelaki.
“Ereksi sistem reproduksi semasa hubungan kelamin sudah pun dibuktikan secara saintifik. Pengaliran darah ke sistem pembiakan seperti yang berlaku kepada golongan lelaki juga penting untuk syahwat dan fungsi fizikal. Bagaimanapun, di kalangan wanita isu ini tidak diperkatakan secara terbuka,” katanya.

Malah, kata Dr Shah Reza, masalah ED wanita tidak begitu menjejaskan emosi seperti mana lelaki.
“Lazimnya isteri yang berusaha supaya suami yang mengalami ED mendapatkan rawatan supaya langkah itu dapat mengeratkan lagi hubungan intim serta komunikasi di antara mereka. Inilah kelebihan pada wanita kerana bagi mereka hubungan kelamin adalah satu dari komponen perhubungan suami isteri dan bukannya perkara pokok dalam perhubungan,” katanya.

Dr Shah Reza berkata, masalah seksual itu di kalangan wanita berbeza dengan yang dialami lelaki. Biasanya kes ED membabitkan lelaki meningkat selari peningkatan usia, namun untuk bagi wanita pula sukar untuk memastikan dengan jelas apabila ia terjadi.

ED di kalangan wanita sebaliknya berlaku apabila usia makin matang dan berhadapan masalah lubrikasi dinding faraj serta vulva.

Pada 2007, kajian Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati wanita yang berusia 45 tahun ke atas, berkahwin dengan lelaki yang lebih tua dan tidak kerap melakukan hubungan seksual lebih cenderung mengalami masalah itu berbanding wanita muda yang berkahwin dengan lelaki sebaya dan kerap melakukan hubungan intim.

Bagaimanapun, jelas Dr Shah Reza, mengaitkan masalah itu sebahagian simptom wanita putus haid mungkin tidak tepat. Namun, peningkatan serta kematangan umur berkait rapat dengan kekurangan lubrikasi (mudah kering atau sukar basah) pada faraj, dingin pada hubungan intim dan juga kegagalan mencapai puncak semasa hubungan kelamin.

“Sukar untuk menentukan simptom masalah ini bagi wanita disebabkan struktur sistem reproduksinya di dalam berbanding lelaki yang mana kegagalan itu jelas kelihatan. Lazimnya fasa-fasa seksual wanita seperti fasa terangsang, fasa mendatar, fasa kemuncak dan akhir sekali fasa resolusi akan terencat. Hasilnya wanita menjalani hubungan kelamin dengan tidak memuaskan,” katanya.

Seperti mana isu ED yang kurang dibicarakan, begitulah juga kaedah rawatannya. Namun, Dr Shah Reza berkata mungkin ubat-ubatan ED untuk lelaki boleh membantu wanita yang mengalami masalah itu. Ini kerana, penggunaan ubat itu meningkatkan pengaliran darah ke bahagian sulit dan juga rahim seperti sifat semula jadi semasa rangsangan seksual berlaku.

“Masalahnya dalam kajian yang dilakukan terhadap kesan ubat itu terhadap wanita, wujud masalah seperti tiada pengukuran fisiologi, kesukaran berbentuk objektif serta kuantitatif dalam pengukuran kerangsangan secara klinikal.
“Banyak terbitan kajian-kajian di jurnal seksologi mendapati fungsi seksual wanita bertambah baik dari segi kualiti serta kuantiti dengan perawatan fungsi fizikal organ seksual pada suaminya. Kesimpulannya, wanita beroleh kebaikan sekiranya suami dapat dirawat sempurna,” katanya.

Info ED wanita
**Masih dianggap ‘rahsia’ di kalangan wanita berbanding ED dihidapi lelaki.
**ED wanita bukan sebahagian perkara biasa penuaan.
**Masalah ini juga boleh dirawat.
**Hampir 70 peratus pasangan berhadapan dengan isu kesihatan seksual. Biasanya lemah syahwat menjejaskan wanita menyebabkan mereka dingin dalam hubungan intim dan berasa sakit ketika bersama suami.

...bharian

1 comment:

  1. setiap penyakit ada ubat. cuba alternatif : http://sedapabangadek.blogspot.my/2018/03/pulihkan-kelelakian-di-tanjung-balai.html

    ReplyDelete