Friday, October 1, 2010

Apabila Proses Penyiasatan Polis Cuba Diganggu Gugat


Dari sudut kaca mata seorang perunding penyiasatan bebas serta bekas pegawai penyiasat kanan jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya terpanggil untuk memberi pendapat apabila melihat satu slot berita TV baru-baru ini menunjukkan gelagat Ahli Parlimen dari Kapar menjemput P. Usharani, warga India dari KLIA.

Kemudian menyusul pula adegan beliau dan konco-konconya membawa isteri ahli perniagaan dari India yang hilang itu untuk melawat lokasi kejadian kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Banting, Selangor.
Saya amat bersimpati kepada pasukan penyiasat polis yang dalam keadaan tertekan terpaksa bertungkus lumus mengumpul bukti dan menyiapkan kertas siasatan dalam jangka masa yang amat terhad.

Ekoran daripada tindakan melampau Ahli Parlimen Kapar tersebut, petikan akhbar menyebut pihak Polis Selangor telah memberi amaran kepada beliau supaya jangan memandai-mandai mencampuri hal siasatan polis.

Dari sudut pandangan pakar penyiasatan dan undang-undang jenayah, saya berpendapat tindakan memandai-mandai membawa saksi ke lokasi jenayah tanpa kebenaran polis oleh Ahli Parlimen Kapar dan konco-konconya, apatah lagi kawasan tersebut masih menjadi kawasan larangan polis, ia boleh menjejaskan kredibiliti hasil siasatan polis.
Seterusnya, ia sedikit sebanyak boleh mengganggu gugat kelancaran prosiding pengumpulan rangkaian bukti yang mungkin boleh terputus akibat gangguan foreign elements ini, terutama pada sesuatu kes yang berlandaskan keterangan keadaan semasa.
Jelas tindakan luar batasan wakil rakyat ini telah mengundang implikasi negatif pada kewibawaan penyiasatan polis serta membelakangi undang-undang dan boleh ditafsirkan sebagai cubaan mengganggu proses penyiasatan polis.

Walaupun beliau boleh memberi seribu satu alasan kononnya untuk memberi bantuan hak asasi kemanusiaan kepada saksi tersebut di atas kapasiti beliau sebagai the good Samaritan, tetapi tindakan beliau itu dilakukan pada 'keadaan, tempat dan waktu yang salah.' Bak kata pepatah, Ignorance of the law is no excuse.

Persoalannya, adegan slot ini yang persis filem Tamil ala gengterisme jika diulang tayang untuk siaran luar, jelas boleh mengundang persepsi negatif dan disalah tafsir oleh orang luar bahawa golongan 'wakil rakyat' di Malaysia ini dilihat sebagai power supreme, bermakna boleh bertindak dan mempunyai kuasa mengambil alih tugas polis.
Hakikatnya, insiden ini telah pun dipamerkan untuk tontonan umum dan jika ia dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan susulan mengikut merit undang-undang, pasti isu ini akan terpalit dalam sejarah kepolisan negara sebagai satu precedence yang amat berbahaya.

Mana mungkin orang awam boleh sesuka hati mengambil alih tugas penyiasatan polis? Apatah lagi mengganggu proses siasatan polis dengan sesuatu tindakan tanpa locus standi?

Adakah Akta Polis dan Undang-Undang Berkanun boleh dicabul begitu saja? Janganlah mereka ini terlalu ghairah dan berlagak sebagai the protector (salah satu elemen gengsterisme) untuk mendapat publisiti murahan demi kepentingan peribadi atau political mileage serta berlagak memandai-mandai dengan sengaja membelakangi undang-undang?

Tugas wakil rakyat atau sesiapa saja dalam konteks kes ini sepatutnya dilaksanakan sebagai pemberi maklumat sahaja, bukannya mengambil alih tugas polis dan kemudiannya membuat publisiti murahan di atas kepayahan dan kesengsaraan orang lain?

Kita khuatir, jika di peringkat kes masih dalam siasatan polis boleh diganggu gugat oleh pihak-pihak luar yang tidak bertanggungjawab, kononnya atas faktor hak asasi kemanusiaan dan demokrasi kebebasan bersuara, maka undang-undang dan penguatkuasaan boleh diperlecehkan begitu saja, dan fungsi keadilan untuk orang yang teraniaya boleh hilang begitu saja.

Ini bermakna orang yang suka mengambil kesempatan dan suka menangguk di air yang keruh akan lebih bermaharajalela. Kita khuatir juga isu gangguan siasatan sebegini akan dieksploit sepenuh-penuhnya oleh pihak lawan bagi tujuan melemahkan kes pendakwaan jika berlaku kes dibicarakan di mahkamah.

Di mana letaknya nanti keadilan sebenar? Tibalah masanya polis harus bertegas. Kita tunggu dan lihat.

...AB. RASHID YAAKOB
Penganalisis Bebas Jenayah dan Sosial

No comments:

Post a Comment