Wednesday, October 20, 2010
Menanti Kebangkitan Semula Semangat Pemuda Melayu
SEJAK bertahun-tahun lalu, Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sangat ditunggu-tunggu oleh pemerhati politik. Ini kerana, selalunya di pentas tersebutlah dizahirkan banyak kenyataan tegas, kritis dan berani daripada para pemimpin generasi muda Melayu.
Dari dulu, seorang demi seorang pemimpin muda yang lantang membela nasib Melayu dilahirkan di pentas perhimpunan pergerakan itu. Suara mereka tidak terhenti selepas berakhirnya perhimpunan itu, malah ditiupkan pula ke seluruh negara supaya keberanian itu dikongsi generasi muda lainnya.
Namun, kini semarak perjuangan Melayu seperti tidak lagi dirasai dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Sebaliknya pergerakan itu pada masa ini seolah-olah tidak lagi meletakkan perjuangan Melayu di tempat teratas sebaliknya toleransi tidak bertempat telah mengambil alih.
Sepanjang lebih 60 tahun sayap Pemuda ditubuhkan oleh UMNO, pergerakan itu sentiasa terkehadapan memperjuangkan isu-isu Melayu dan berani mempertahankan hak bangsanya yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Namun selama tempoh itu tidak pernah pula mana-mana pihak menganggap Pemuda mahupun UMNO sebagai sebuah parti rasis seperti mana sekarang ini.
Bukannya mempersoalkan jiwa kemelayuan Pemuda UMNO ketika ini, sebaliknya berkongsi persepsi sama dengan banyak pihak termasuk di kalangan pimpinan UMNO malah dari dalam pergerakan itu sendiri.
Seorang bekas pemimpin Pemuda yang kini masih dekat dengan pergerakan itu, mengakui bahawa ketika ini Pemuda di mata umum tidak lagi segarang dulu, tidak seberani dulu dan tidak setegas dulu apabila berdepan dengan isu membabitkan kebajikan dan pembelaan nasib orang Melayu.
"Sekarang Pemuda bukan saja lesu dari segi aktivitinya, malah tidak lagi menjadi perhatian seperti dulu. Kalau dulu pendirian dan kenyataan Pemuda ditunggu-tunggu kerana ia juga akan memberi pengaruh besar kepada pendirian UMNO.
"Saya nampak ada orang dalam Pemuda yang tidak faham maksud gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga orang ini takut untuk mengangkat isu-isu Melayu kerana bimbang digelar sebagai rasis.
"Kenapa perlu takut? Sudah lebih 60 tahun kita membela orang Melayu dan sentiasa berani perjuangkan orang Melayu. Itu memang pun perjuangan UMNO, jadi tiada sebab sekarang hendak kata Pemuda atau UMNO rasis kalau perjuangkan bangsa sendiri," katanya.
Beliau menyimpulkan bahawa Pemuda UMNO kini sebenarnya dalam keadaan sangat lemah sehingga menyebabkan bukan saja pihak luar berani memberi tekanan kepada Pemuda malah pimpinan Pemuda sendiri tidak mampu untuk menepis tindakan pihak-pihak tersebut.
Sebab itulah, apabila pintu Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dibuka pada pagi ini, hampir 800 orang perwakilan Pemuda UMNO yang melangkah masuk sepatutnya membawa bersama suara-suara keramat perjuangan Melayu daripada sayap utama UMNO itu ke perhimpunan kali.
Sudah tiba masanya untuk melihat kebangkitan semula semangat Melayu dalam UMNO. Dan, ia bukan sesuatu yang pelik atau mengganggu gugat pihak lain kerana itu telah pun dilakukan oleh Pemuda dan juga UMNO sejak lebih separuh abad lalu.
Seorang lagi bekas pemimpin Pemuda berkata, perhimpunan tahun ini sepatutnya menjadi medan untuk pergerakan itu membuktikan kepada rakyat bahawa bahawa ia masih relevan malah sangat berperanan dalam perjuangan Melayu di negara ini.
"Saya akui bahawa Pemuda ada buat perubahan terutama dari segi pendekatan melaksanakan aktivitinya dengan mengambil kira perkembangan teknologi dan juga pembangunan pesat bidang lain di samping penyertaan lebih banyak pembinaan modal insan serta kebajikan.
"Namun, dalam soal Melayu, soal memperjuangkan hak Melayu dan soal kelangsungan parti Melayu ini, Pemuda UMNO bukan saja kurang bermaya malah hilang arah sehinggakan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kelihatan lebih aktif membela nasib Melayu," ujarnya.
Dalam pada itu, kelewatan Pemuda UMNO untuk tiba ke penghujung proses 'biduk lalu kiambang bertaut' akibat pemilihan pucuk pimpinannya juga mempengaruhi kedinginan Pemuda.
Di mana-mana masih kedengaran suara-suara tidak berpuas hati dengan kepimpinan sedangkan pemilihan sudah pun berlalu dua tahun lalu. Kata-kata 'marilah kita kembali rapatkan saf Pemuda' rupa-rupanya sekadar menjadi pemanis ucapan di atas pentas, sejurus berakhirnya pemilihan lalu.
Sepatutnya, jika semua pimpinan Pemuda dari peringkat atasan sehingga ke akar umbi memahami tuntutan penyatuan semula dan juga menghormati serta memberi taat setia kepada pemimpin yang terpilih, maka tidak akan berlaku perpecahan dalam pergerakan itu seperti sekarang.
Kedua-dua isu tersebut, iaitu tuntutan untuk membangkitkan semula semangat perjuangan Melayu dalam Pemuda dan perlunya perpaduan jitu di kalangan pimpinan dan ahli-ahli pergerakan itu, sepatutnya menjadi keutamaan untuk dibahaskan dalam perhimpunan kali ini.
Kepada semua pimpinan dan perwakilan Pemuda UMNO, mahu tidak mahu, anda semua sebenarnya penentu hala tuju UMNO dan pelaksana Model Baru Politik yang diumumkan Presiden parti baru-baru ini.
...utusan malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment