Tuesday, January 18, 2022

RFID: Mudahkan Pengguna Atau Bisnes?

PETALING JAYA: Penggunaan sis­tem teknologi Identifikasi Fre­­kuensi Radio (RFID) dengan memansuhkan kad Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTAG dianggap mencabuli hak pengguna dan lebih kepada kepentingan perniagaan.

Ini kerana pengguna seolah-olah ‘dipaksa’ beralih ke RFID apabila sistem TnG dan SmartTAG di plaza tol Lebuh Raya Uta­ra Selatan (PLUS) dimansuhkan secara berperingkat.

Pengguna juga mengeluh apa­bila mendapati proses pendaftarannya lebih rumit berbanding TnG dan SmartTAG. Selain itu, se­tiap penggunaan RFID juga dikenakan caj RM35 bagi setiap kenderaan berbanding sistem sebelum ini yang boleh dikongsi untuk beberapa kenderaan oleh pemilik yang sama.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, kerajaan tidak boleh membuat keputusan dengan sikap mengutamakan kronisme hingga menyukarkan pengguna

Menurutnya, kerajaan perlu jelas dalam memberi sebab kenapa sistem RFID diutamakan hingga ingin memansuhkan sistem lain kerana timbul sangkaan projek tersebut mengekspotasi hak pengguna.

“Ini menunjukkan mereka nak menawarkan satu ekosistem yang berat sebelah, memaksa pengguna untuk bertukar ke sistem baharu untuk kepentingan pihak tertentu. Adakah jika kroni baharu mereka muncul, pengguna pula berubah lagi?

“Daripada kaji selidik dibuat oleh CASSA, TnG dan SmartTAG adalah sistem paling popular digunakan rakyat. Banyak masyarakat sudah melabur di dalam sistem ini seperti mendepositkan duit ke dalam kad dan peranti sistem tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, transaksi tol menggunakan tag RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 10 malam, 15 Januari 2022.

Jacob berkata, masyarakat masih berada di dalam tekanan selepas dilanda wabak Covid-19 dan kejadian bencana banjir hingga terdapat mereka yang muflis dan hilang sumber pendapatan tetapi kini dipaksa untuk melaburkan duit lagi.

“Sepatutnya masyarakat diberi pilihan antara TnG, SmartTAG dan RFID, bukan beri monopoli pada satu sistem hingga mengeksploitasi hak pengguna. Tiada keadilan di dalam sistem ini, ia seperti merompak hak pengguna,” tegasnya.

Tambahnya, CASSA tidak akan kompromi jika projek RFID hanya dibuat untuk mencabul hak pengguna dan menekan masyarakat dengan memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, kerajaan perlu bersikap prihatin dengan melaksa­nakan projek yang tidak membebankan masyarakat.

“Demi meringankan beban pengguna, pemasangan RFID wajib diberikan secara percuma dalam tempoh masa tertentu contoh enam bulan.

“Selepas itu, pihak terbabit perlu melakukan tinjauan tentang respon para pengguna adakah mereka berpuas hati,” kata beliau.

Selain itu, Nan Sang memberitahu, kerajaan perlu memberi ganjaran kepada pemilik peranti SmartTAG tanpa mengambil kira sama ada pengguna baharu atau lama.

Kata beliau, pampasan tersebut boleh dilaksanakan dengan memberi pemasangan percuma kepada pemilik peranti yang sedia ada dan dengan cara ini mengurangkan rungutan kumpulan tersebut. - UTUSAN ONLINE

1 comment:

  1. Menyusahkan, tolong buat sesuatu, hapuskan rfid yang merepek ni.Kita tak untung satu sen pun!

    ReplyDelete