Wednesday, January 5, 2022

Kolam Banjir: Rakyat Berhak Tahu

PADA 28 Disember lalu, media melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat enam kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Laporan itu mengejutkan banyak pihak terutama warga Lembah Klang kerana tindakan membenarkan kolam takungan banjir dibangunkan pastinya mendedahkan penduduk di kawasan berkenaan kepada risiko bencana banjir lebih besar pada masa depan.

Tidakkah tindakan itu seumpama sengaja mengundang malapetaka? Kita dimaklumkan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah akan segera meneliti dakwaan itu (yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh) bagi memastikan kesahihannya. Menurut Hannah, dakwaannya itu diasaskan kepada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yang menyatakan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, DBKL meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun bertentangan dengan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.

Perlu dinyatakan di sini, PBKL 2020 mula digubal pada 1998 dan siap 2012. Malangnya, ia tidak diwartakan sehinggalah 30 Oktober 2018. Keengganan menteri berkenaan mewartakan PBKL 2020 diselar banyak pihak tetapi tidak dipedulikan.

Kata Hannah lagi, laporan Ketua Audit Negara itu turut menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan, sekali gus memberi kesan kepada alam sekitar termasuk pertambahan kepadatan yang membawa kepada pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat dan kesesakan lalu lintas. Yang paling mengejutkan dalam laporan itu, tambah Hannah adalah kenyataan bahawa enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Perkara ini bukan hanya menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi pelan mitigasi banjir dan mendedahkan bandar raya Kuala Lumpur kepada risiko berlaku bencana banjir lebih kerap. Kata ahli Parlimen itu lagi, perkara ini telah dibangkitkan olehnya dalam persidangan Parlimen mengenai ‘kurangnya maklum balas’ daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan dan pendedahan ini.

“Malapetaka banjir besar baru-baru ini (yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan harta benda) sepatutnya menyedarkan SPRM dan DBKL untuk mengambil tindakan segera,” katanya lagi.

Seruan sama dibuat oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. Beliau berpendapat, laporan Ketua Audit Negara tersebut sudah cukup lengkap untuk dijadikan asas satu siasatan rapi dijalankan oleh SPRM.

Turut mengulas isu sama, sebuah akhbar harian yang mempersoalkan bagaimana kelulusan boleh diberi sepanjang 2015 hingga 2020 walaupun dalam tempoh itu, ibu negara mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali?

Enam kolam terlibat ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 ½ dan kolam Taman Desa.

REAKSI MENTERI
Mengikut sumber rasmi yang boleh dipercayai (Jabatan Parit dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), kelulusan terawal pemberian milik kolam bagi maksud pembangunan diberi pada Oktober 2015 (kolam-kolam Nanyang, Delima dan Taman Wahyu), dikuti Jun 2018 (melibatkan kolam Taman Desa). Kemudian pada Ogos 2020 (kolam Batu 4 ½) dan akhirnya September 2020 (kolam Batu).

Dalam reaksi awalnya terhadap kenyataan Hannah, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa ahli Parlimen pembangkang itu ‘memeriksa fakta’ terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan berhubung pemberi milikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur yang didakwa sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir.

“Kebanyakan tanah di Wilayah Persekutuan dimiliki oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Pemaju perlu memohon kepada Kerajaan Persekutuan jika mahu membina bangunan. Kalau kita menuduh menteri dan sebagainya (luluskan), saya kata kita semak fakta dahulu,” katanya.

Menjawab gesaan agar satu siasatan dijalankan, Shahidan meminta pemimpin pembangkang berkenaan membuat laporan rasmi. “Mereka nak buat laporan dan juga buat beberapa tuduhan di luar Parlimen, bererti mereka akan hadapi sendiri (kesannya) sebab mereka buat di luar Parlimen,” tambanya lagi.

Pada 31 Disember lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan penuh dalam sidang khas Parlimen khusus berhubung banjir besar yang berlaku baru-baru ini. Majlis itu juga meminta kerajaan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja selaras dengan titah Seri Paduka mengenai pascabanjir besar termasuk yang berlaku di Sabah dan Sarawak.

Majlis tersebut berharap penubuhan suruhanjaya siasatan itu akan dapat mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan, termasuk kepincangan yang disebutkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Perlu diingat, antara elemen penting tadbir urus baik (good governance) adalah ketelusan (transparency) dan penyertaan awam (public engagement). Rakyat berhak diberitahu, apakah sebenarnya yang berlaku? Kerajaan perlu berpegang kepada janjinya, gagasan Keluarga Malaysia bukan retorik.

No comments:

Post a Comment