Tuesday, January 11, 2022

Cabar Vernakular Bukan Kerana Anti Bahasa Mandarin, Tamil

BANGI – Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan saman ke atas sekolah vernakular di mahkamah bukan berniat mencabar atau mempertikaikan hak Perlembagaan kaum-kaum lain untuk belajar dan mengajar bahasa ibunda mereka sebagai subjek mata pelajaran di sekolah.

Sebaliknya, tujuan tindakan undang-undang itu dibuat adalah untuk mempersoalkan mengenai bahasa pengantar utama yang digunakan di sekolah vernakular, selain peruntukan Perlembagaan yang jelas menyatakan bahawa urusan rasmi pihak berkuasa dan institusi awam wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

Justeru, jangan menganggap bahawa tindakan saman itu adalah kerana NGO Melayu Islam bersikap anti terhadap bahasa Mandarin dan Tamil, jelas Peguambela dan Peguamcara Azam Aziz & CO, Mohd Khairul Azam.

“Kita tidak anti bahasa kaum lain, kita hormat bahasa mereka. Kita hadir ke mahkamah untuk membuat satu pertanyaan dan ketetapan mengenai bagaimana pula dengan kedudukan sekolah vernakular.

“Jadi pokok pangkalnya adalah pihak berkuasa awam itu yang menjadi premisnya. Kita melihat kes Universiti Merdeka sebagai asas utama yang kita pegang di mahkamah tinggi dalam kes sekolah vernakular,” katanya dalam Webinar ‘Sekolah Vernakular Sah!’ di Facebook Dialetika, malam tadi.

Merujuk kes pada tahun 1982 itu, Khairul Azam yang juga dikenali sebagai Buzze Azam berkata, jika Universiti Merdeka tidak boleh menggunakan bahasa pengantar lain selain bahasa Melayu, maka mengapa sekolah vernakular pula masih dibolehkan.

“Sebab itu kita bawa cabaran ini ke mahkamah selepas 43 tahun keputusan Universiti Merdeka, untuk kita bertanya pula kepada mahkamah, bagaimana berdasarkan kes Universiti Merdeka dengan kedudukan sekolah vernakular di Malaysia.

“Kerana kita menyatakan lihat kes Universiti Merdeka, mereka tidak boleh menggunakan selain bahasa Melayu sebagai pengantar jika mereka nak menjadi sebuah institusi pengajian tinggi awam,” katanya.

Namun, Buzze Azam berkata, keputusan hakim Mahkamah Tinggi menjarakkan penghakimannya dengan keputusan Universiti Merdeka kerana dikatakan kedudukan sebuah universiti berbeza dengan sekolah.

“Contoh dari segi lantikan naib canselor adalah lantikan Agong tetapi lantikan guru besar sekolah vernakular bukan lantikan Agong. Maka tidak sama. Itu satu contoh yang diberikan.

“Kemudian, dia beritahu bahawa untuk membina sebuah universiti, tanah yang nak dibina mestilah hak milik kerajaan, tetapi untuk vernakular ada sekolah-sekolah yang didirikan di atas tanah peribadi, jadi itu pun beza.

“Itu adalah dua contoh yang diberikan untuk menjarakkan penghakiman beliau untuk menyatakan beza universiti awam dan sekolah vernakular,” katanya.

Katanya, atas alasan dan perbandingan itu, mahkamah menyatakan sekolah vernakular tidak boleh dianggap pihak berkuasa awam, maka ia tidak boleh terikat dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk menggunakan bahasa kebangsaan sebagai pengantar.

“Pada saya ini adalah baru permulaan. Apabila isu ini dibawa ke mahkamah, ia tidaklah ada perhimpunan besar-besaran, tetapi keputusan mahkamah itu sebenarnya boleh memberikan impak besar terhadap polis dan dasar kerajaan.

“Dan kadangkala mahkamah membuat keputusan itu, Parlimen sendiri mungkin terpaksa meminda undang-undang tertentu untuk diselaraskan dengan keputusan mahkamah yang bakal dibuat nanti,” katanya. - ismaweb.net

1 comment:

  1. Kini, Taman Desa Jaya, Kepong adalah satu berita yang sangat buruk kerana salah seorang ahli politik melakukan kerja kotor di Kuil Buddha dan membawa sistem politik bermain di kuil sehingga ahli masyarakat lari dan presiden Kuil ini (Samnak Sambodhi). ) ialah Datuk Yip Kum Fook yang merupakan bekas pengerusi MCA di Taman Daya , Kepong dan pengerusi MCA Gombak

    Lelaki ini (Datuk Yip) selalu menelefon polis untuk menangkap sami Buddha dan menutup pintu Kaabah untuk tidak membenarkan sami Buddha masuk untuk menginap, semua sami Buddha terpaksa menyewa hotel untuk seketika...Mr Tan dan Kelemahan Encik Wah pada hari itu, pasukannya, samseng dan dua anggota polis datang mengganggu Ven. Phra Piyadhamma (Pulau Pinang atau bekas CID dari Singapura)

    Sejak kejadian itu, ramai penganut meninggalkan kuil, mereka melakukan perkara yang tidak baik, kini jawatankuasa mengambil sami Buddha Myanmar untuk berkhidmat kerana mereka tidak mengambil berat tentang masalah Kuil sebelum ini atau Datuk Yip Kum Fook...ini seorang yang sangat kotor kerana dia boleh menipu semua orang

    Kini Datuk Yip Kum Fook dan pasukannya akan menderita dan terluka kerana ramai yang tahu apa yang berlaku...ada yang ramai tidak suka Datuk Yip Kum Fook dan dia akan tahu apakah dosa terbesar dalam agama Buddha?

    Dikongsi oleh Ah Wah, Selayang Jaya
    Forwarded by Khoong, Cheras

    ReplyDelete