Samka mahu sumbangan pekebun haram tak dipertikai
BANGI, – Lantang memperjuangkan nasib pekebun haram durian Musang King di Raub, Pahang, Save Musang King Alliance (Samka) menggesa supaya sumbangan mereka tidak dipertikai.
Atas alasan kononnya usaha keras pekebun haram telah berjaya meletakkan nama Raub di persada dunia sebagai pengeluar utama durian Musang King di Malaysia.
Selain itu, Samka turut meminta agar jasa mereka tidak diabaikan dan mahu keadilan ditegakkan.
“Keringat, kerja keras dan tenaga kerja mereka yang telah disumbangkan dalam pertanian durian tidak boleh dipertikai atau diabaikan. Mereka berjaya meletakkan Raub di peta dunia sebagai pengeluar durian Musang King Malaysia.
“Kami bangga dengan pekebun durian yang bekerja keras ini. Mereka tidak layak dilayan secara tidak baik dengan tawaran sepihak atau dibuli syarikat besar. Di mana keadilan?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook yang dimuat naik pada 14 Januari lalu.
Kenyataan Samka itu memetik komen netizen dikenali PurpleMoose5046 dalam segmen YOURSAY| Kerja keras pekebun durian ‘dihargai’ dengan perjanjian tidak adil terbitan MalaysiaKini pada 27 Ogos 2020.
Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.
Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S Nantha Balan dan Datuk M Gunalan membuat keputusan itu pada prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan pekebun itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah berkenaan.
Hakim terbabit berpendapat pekebun itu tidak seharusnya membuat permohonan itu kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan boleh disemak di mahkamah.
Selain itu, mahkamah mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman. - ismaweb.net
No comments:
Post a Comment